Menyebar Nilai Ukhuwah, Rahmah dan Wasatiyyah

Menyebar Nilai Ukhuwah, Rahmah dan Wasatiyyah | IKRAM

“Setelah lima tahun tiada PTI, saya yakin hati-hati yang berkumpul pada hari ini adalah kerana Ikhlas dan cinta dengan perjuangan dakwah, serta mahu hidup mati kerana Allah Taala.”

Demikian permulaan Ucapan Dasar Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj Badlishah Sham Baharin pada Perhimpunan Tahunan IKRAM (PTI) 2023 yang bertemakan “Teguhkan Ukhuwah, Sebarkan Rahmah’ pada Sabtu. 

PTI 2023 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam dihadiri kira-kira 2,000 ahli IKRAM dari seluruh negara yang merangkumi 15 Negeri dan 103 kawasan. 

Acara pembukaan turut diserikan oleh kehadiran Rektor Universiti Fatoni (Thailand), Syeikh Dr Ismail Lutfi dan mantan Gabenor Jawa Barat (Indonesia), Dr Ahmad Heryawan yang memberikan syarahan khas dalam slot seterusnya.

Dalam pembukaan ucapan dasar, Presiden IKRAM berkata bahawa slogan ‘Ukhuwah Teras Kegemilangan’ tetap menjadi pasak dalam organisasi IKRAM. Beliau mengingatkan, ukhuwah yang dibina atas landasan akidah dan perjuangan dalam menegakkan syariat-Nya merupakan teras kepada pembinaan jamaah. 

Haji Badlishah Sham berulang kali menegaskan bahawa jalinan ukhuwah yang dianugerahkan ini penting untuk dipelihara agar seseorang dapat pergi lebih jauh dan tinggi.

“Dengan ukhuwah, ia dapat memberikan kekuatan kepada jamaah ini, seterusnya mendorong perkongsian maklumat, hubungan erat dan kerjasama yang lebih baik dan efektif dalam pelbagai usaha, inisiatif dan projek dalam IKRAM.”

Beliau menyebut, nilai ukhuwah akan mengajar ahli-ahli IKRAM untuk menghargai perbezaan dan menerima pelbagai latar belakang dan pandangan, seterusnya membina persekitaran yang inklusif dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam.

Pendekatan rahmah

Seterusnya, beliau menjelaskan pengertian rahmah menurut Ibnu Mandzur sebagai kelembutan yang berpadu dengan rasa hiba, manakala menurut al-Raghib al-Isfahani, rahmah membawa makna kelembutan, kebajikan, kebaikan dan kenikmatan dan juga kasih sayang.

“Perkataan rahmah dan kata terbitannya diulang dalam al-Quran sebanyak 300 kali, jika ditambah lagi sifat dan perkataan yang membawa tema yang sama, terdapat lebih 1,000 ayat, menjadikannya hampir satu per enam daripada al-Quran.”

Jelas beliau, penegasan dan pengulangan Allah tentang rahmah dan pengutusan Nabi Muhammad sebagai pembawa rahmah amat penting.

“Oleh itu, amat penting agar konsep rahmah ini dipraktikkan dalam segala aspek kehidupan, bahkan disebarkan bagi melahirkan individu, keluarga, kejiranan, masyarakat dan negara yang maju, makmur dan sejahtera.”

Rakan strategik

Dalam ucapan dasarnya, beliau menyatakan bahawa konsep Malaysia MADANI yang digagaskan Kerajaan Perpaduan melalui enam tonggak iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan, sebenarnya selari dengan visi IKRAM ‘Malaysia Menjadi Negara Rahmah’.

Ini kerana kedua-dua gagasan ini melihat kepada pencapaian sesebuah negara berasaskan nilai sebagai acuan membangunkan negara bagi mencapai kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.

Hj Badlishah Sham turut menghuraikan peranan penting IKRAM sebagai rakan strategik pembinaan negara melalui kerjasama aktif dengan pelbagai badan kerajaan seperti Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Komunikasi Digital dan Kementerian Pendidikan.

Kerjasama ini katanya, melibatkan perbincangan, projek dan inisiatif yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat secara keseluruhannya.

Dukungi wasatiyyah

Selain itu, ucapan dasar beliau turut menggariskan usaha memerangi naratif ekstrem berkaitan agama dan bangsa, IKRAM bersama-sama pertubuhan Islam lain seperti WADAH, ABIM dan HALUAN dengan menubuhkan Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HGIM).

HGIM mendukung prinsip wasatiyyah yang seimbang, adil dan cemerlang, serta bekerjasama yang rapat dengan kerajaan untuk menentang ekstremisme, menegakkan keadilan dan menyumbang kepada keharmonian keseluruhan masyarakat.

“Wasatiyyah dalam Islam merupakan pendekatan sederhana kepada pemahaman Islam berasaskan iman, ilmu dan takwa, menghasilkan umat adil dan terbaik (ummatan wasatan) yang menekankan keseimbangan, keadilan dan kecemerlangan, serta menolak segala bentuk kecurigaan, ekstremisme dan radikalisme yang merosakkan keharmonian masyarakat.”

Jelas beliau, tanggungjawab mempromosi wasatiyyah bukan hanya terletak pada gerakan Islam tetapi juga kepada ahli-ahlinya, pendakwah, para asatizah (cendekiawan Islam), dan pempengaruh. 

Mereka perlu bersatu untuk menghapuskan naratif ekstrem yang mengancam pemikiran umat Islam dan rakyat Malaysia, serta menggugat jalinan perpaduan dalam negara.

Hj Badlishah Sham turut menggesa agar gerakan dakwah seperti IKRAM dan HGIM memainkan peranan penting dalam islah (pembaharuan), menawarkan penyelesaian yang bernas kepada pelbagai isu yang dihadapi masyarakat hari ini. 

“Gerakan-gerakan Islam kini perlu menjadi rakan kongsi dalam pembinaan negara (partner in nation building) kerana ia memiliki takungan pemikir, intelektual dan bijak pandai yang ramai dan mampu menyumbang kepakaran dalam mengemukakan model-model solusi yang efektif terhadap permasalahan yang dihadapi negara.”

Bangun untuk islah

Pada akhir ucapan, Hj Badlishah Sham menyeru ahli-ahli IKRAM untuk bangun mengislahkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. 

“Persiapkan diri kita dengan tarbiah, pilihlah relung dakwah yang sesuai dan aktiflah menyantuni masyarakat yang memerlukan.”

“Ibadah kita bukan sekadar di sejadah, bahkan ia melangkaui khidmat kita untuk ummah.”

Selain Ucapan Dasar dan Syarahan Khas, PTI 2023 juga diserikan dengan Rahmah Talks, Townhall bersama JKP, Memorial Night: Awaken Your Soul dan Malam Anugerah PTI 2023 yang julung kali diadakan. 

PTI 2023 merupakan penganjuran kali keenam dan merupakan acara yang ditunggu-tunggu oleh ahli-ahli IKRAM setelah perhimpunan terakhirnya pada tahun 2018, iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia. 

Pada hari yang sama, Karnival Kita Anak Malaysia (KAMI 2023) turut berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 3,500 pengunjung di hadapan IDCC Shah Alam. Turut diadakan Persidangan Ekonomi Usahawan IKRAM (PEAK) 2023 melibatkan penyertaan usahawan-usahawan dalam kalangan ahli IKRAM.

Pada hari sebelumnya di tempat yang sama, IKRAM menganjurkan Konvensyen Malaysia Negara Rahmah (KMNR 2023) dengan penyertaan kira-kira 500 peserta.

Semoga keempat-empat program besar ini memberikan impak positif dan manfaat yang besar, bukan sahaja kepada ahli-ahli IKRAM, bahkan kepada ummah dan masyarakat, insya-Allah.

Disediakan oleh:
Basmin Maarof
Nusaybah Maszlee

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia