Syurga Bukan Milik Kelompok, Ukurannya ialah Takwa

penunggang agama

Allah SWT berfirman dalam Surah az-Zumar, ayat 73:

“Dan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka dibawa ke dalam syurga secara berombongan. Sehingga apabila mereka sampai kepadanya, sedang pintu-pintunya telah dibuka, berkatalah para penjaganya mengalu-alukan mereka: ‘Salam sejahtera ke atas kamu. Kamu telah menjadi baik dan suci, maka masuklah ke dalamnya dalam keadaan kekal.’”

Sebenarnya, ayat ini perlu dibaca dengan jiwa yang tunduk, bukan dengan nafsu yang mahu menguasai manusia. Allah menyebut bahawa orang bertakwa akan dibawa ke syurga secara berombongan, tetapi sedarlah kita bahawa Allah SWT tidak pernah menamakan rombongan itu berdasarkan parti, organisasi, kumpulan, mazhab pemikiran atau tokoh tertentu.

Ukuran yang dinyatakan ialah takwa, bukan tanda keahlian atau kebaikan amal, bukan juga warna perjuangan kesucian jiwa mahupun kesetiaan yang membuta tuli kepada manusia.

Milik mutlak Allah SWT

Syurga adalah milik mutlak Allah SWT. Pintu-pintunya tidak berada di ibu pejabat mana-mana organisasi. Kuncinya tidak dipegang oleh mana-mana pemimpin, pendakwah, penceramah atau ahli politik.

Senarai penghuninya tidak ditentukan melalui kad keahlian, kertas undi, slogan perjuangan atau sorakan dalam perhimpunan. Manusia boleh mengajak kepada jalan kebaikan, tetapi manusia tidak memiliki kuasa untuk mengeluarkan jaminan syurga bagi penyokongnya.

Inilah perkara yang wajib diperjelas ketika masyarakat sedang hangat memperkatakan dakwaan bahawa menyokong atau menyertai wadah tertentu boleh menjadi jaminan menuju syurga. Kita tidak perlu menyerang sesiapa, tetapi pemikiran sebegini mesti dibetulkan. Agama tidak boleh dijadikan alat untuk menakutkan masyarakat, mengikat kesetiaan atau memberi gambaran bahawa satu kelompok mempunyai hubungan eksklusif dengan Allah.

Imam at-Tabari menjelaskan ungkapan “tibtum” dengan maksud amal mereka telah menjadi baik di dunia, lalu baiklah tempat tinggal mereka pada hari akhirat. Ertinya, mereka memasuki syurga kerana membawa iman dan amal yang diredai Allah SWT, bukan kerana membawa nama, lambang atau identiti kelompok tertentu. (Tafsir Tabari)

Al-Sa‘di pula menghuraikan bahawa hati mereka menjadi baik dengan mengenal, mencintai dan takut kepada Allah; lidah mereka menjadi baik dengan mengingati-Nya; anggota badan mereka menjadi baik melalui ketaatan. Syurga ialah negeri yang baik, maka yang memasukinya ialah manusia yang telah disucikan dengan iman, taubat dan rahmat Allah SWT. (Tafsir as-Sa’di)

Jelaslah bahawa perkataan tibtum tidak bermaksud “kamu menjadi ahli kelompok tertentu.” Ia bermaksud jiwa, iman, tutur kata dan perbuatan telah diperbaik. Barangkali seseorang mungkin lantang membawa nama agama, tetapi jika lidahnya gemar memfitnah, tangannya mengambil hak orang, kuasanya menindas dan hatinya dipenuhi kesombongan, nama agama yang dibawa tidak secara automatik menjadikan dirinya suci.

Kesombongan dalam beragama

Begitu juga halnya apabila seseorang berada di luar kelompok, kita tidak boleh sesuka hati menghukumnya sebagai jauh daripada Allah SWT. Kita tidak mengetahui seluruh amalnya, air mata taubatnya, keikhlasan doanya, kebajikan yang disembunyikannya atau bagaimana pengakhiran hidupnya. Ingatlah kita dengan ayat-ayat Allah SWT:

“Maka janganlah kamu menganggap diri kamu suci. Dialah yang paling mengetahui siapa yang benar-benar bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)

Ayat ini meruntuhkan kesombongan keagamaan. Kita tidak berhak mengisytiharkan diri atau kelompok kita sebagai pemilik tunggal kebenaran, kemudian memandang hina orang lain. Allah SWT sahaja mengetahui siapa yang benar-benar bertakwa.

Rasulullah SAW juga menegaskan bahawa tiada seorang pun memasuki syurga semata-mata kerana amalnya. Para sahabat bertanya, “Termasuk engkau, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab bahawa termasuk diri baginda, melainkan Allah melimpahkan rahmat-Nya.

Hadis sahih ini meletakkan seluruh manusia di hadapan pintu kerendahan hati iaitu kita beramal bersungguh-sungguh, tetapi kita tidak membeli syurga dengan amal tersebut. Kita tetap bergantung pada keampunan dan rahmat Allah. (Sahih Muslim)

Siapakah kita untuk menjamin syurga?

Jika Baginda Rasulullah SAW sendiri mengajar umat agar tidak berasa pasti berdasarkan amal semata-mata, siapakah kita untuk menjamin syurga kepada pengikut sendiri? 

Dakwaan sedemikian bukan sahaja berbahaya kepada masyarakat, bahkan boleh menumbuhkan rasa ujub dalam kalangan penyokong iaitu seolah-olah mereka sudah rasa selamat, tidak perlu lagi bermuhasabah dan segala tindakan kelompok mereka sentiasa benar.

Perkataan “zumara” iaitu berombongan, juga tidak boleh dimanipulasi sebagai bukti bahawa satu kelompok dunia tertentu ialah rombongan syurga. Ibn Kathir menerangkan bahawa penghuni syurga datang dalam kumpulan berdasarkan tingkat keimanan, ketakwaan dan amal mereka.

Ibn ‘Ashur turut mengaitkannya dengan perbezaan darjat ketakwaan. Pengelompokan itu berada dalam pengetahuan dan penghakiman Allah, bukan berdasarkan pembahagian politik yang dicipta manusia. (Tafsir Ibn ‘Ashur)

Kita boleh berorganisasi, menyertai gerakan, berpolitik dan memperjuangkan sesuatu yang diyakini membawa kebaikan. Namun, semua wadah manusia bersifat relatif. Ia boleh melakukan perkara yang benar dan boleh juga tersilap.

Pemimpinnya boleh berlaku adil dan boleh juga terkhilaf. Oleh sebab itulah kesetiaan kepada organisasi tidak boleh mengatasi kesetiaan kepada kebenaran. Apabila sesuatu tindakan benar, kita menyokongnya, apabila berlaku kesalahan, kita menegur dan membaikinya.

Syurga ialah anugerah Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya

Politik yang matang tidak memerlukan ancaman neraka atau janji syurga untuk mendapatkan sokongan. Ia sepatutnya dinilai melalui amanah, integriti, keadilan, kebijaksanaan, kemampuan mentadbir dan kesungguhan membela rakyat.

Rakyat perlu memilih berpandukan dasar dan prestasi, bukannya kerana takut keselamatan akhirat mereka tergugat jika membuat pilihan politik yang berbeza. Seruan semasa daripada Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) turut mengingatkan agar syurga dan neraka tidak dijadikan retorik mendapatkan sokongan. HIKAM juga menekankan agar perbezaan politik diurus dengan adab.

Perbezaan pilihan tidak semestinya bermaksud perbezaan akidah. Dua orang Islam boleh bersama-sama mencintai agama dan negara, tetapi berbeza pandangan tentang dasar, calon atau pendekatan pentadbiran. Perbezaan itu perlu dijawab dengan hujah, fakta dan akhlak, dan bukan dengan menghukum iman atau menentukan tempat seseorang di akhirat.

Surah az-Zumar ayat 73 sepatutnya menjadikan kita semakin rendah hati, bukannya sibuk menentukan siapa yang akan masuk syurga sedangkan kita sendiri belum mengetahui pengakhiran hidup kita. Jangan menghalau orang daripada rahmat Allah SWT kerana mereka tidak bersama kelompok kita. Jangan pula menjadikan agama sebagai tangga untuk mendapatkan kuasa.

Syurga bukan hak eksklusif mana-mana pihak. Syurga ialah anugerah Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya melalui rahmat, iman, takwa dan amal soleh. Tugas kita bukan menjaga pintu syurga untuk menghalang orang lain, tetapi menjaga hati, lidah dan perbuatan sendiri agar layak memohon dan mendapatkan rahmat-Nya.

Jika benar kita mahu membawa masyarakat menuju syurga, jangan jual syurga melalui slogan. Sebaliknya, sebarkan salam, tegakkan keadilan, lawan rasuah, bela yang tertindas, santuni perbezaan dan jadilah manusia yang menghadirkan rasa aman.

Itulah antara tanda rombongan yang sedang berjalan menuju Allah SWT bukan kerana nama yang dipakai, tetapi kerana kebaikan yang dibawa, insya-Allah.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan MAsyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Zamalah YADIM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia