Isu Keseimbangan Kerja dan Kehidupan: Apa Solusinya?

Kehidupan & Kerja

Baru-baru ini, saya berpeluang menghadiri International Work Life Balance Forum 2025 anjuran Advisory Development Learning Achievement (ADLA). Sebagai salah seorang daripada warga dewasa yang berkerjaya, isu-isu yang diwacanakan sangat dekat dengan apa yang dihadapi saban hari.

Antara isu yang diketengahkan ialah konflik yang dihadapi oleh pekerja dan majikan dalam menyeimbangkan antara tuntutan pekerjaan dan rutin harian sebagai individu dan ahli dalam sebuah keluarga.

Timbul satu pertanyaan dalam diri, mengapa persoalan ini timbul? Mengapa ia masih menjadi isu yang berpanjangan dalam masyarakat?

Apakah isu sebenar?

Isu keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan semakin ketara akibat tekanan ekonomi, perubahan gaya hidup dan kemajuan teknologi digital yang mengaburkan sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi.

Pekerja sering dibebani waktu kerja panjang, tuntutan prestasi tinggi dan budaya “sentiasa terhubung” melalui platform digital, menyebabkan keletihan fizikal dan mental serta kekurangan masa berkualiti bersama keluarga.

Budaya materialistik dan persaingan kerjaya turut memburukkan keadaan apabila ramai mengabaikan kesihatan dan kesejahteraan diri. Fenomena ini akhirnya menjejaskan motivasi, produktiviti, hubungan kekeluargaan serta kestabilan sosial masyarakat secara keseluruhan.

Pandangan sarwa syariah: Tiada pemisahan antara kerja dan kehidupan 

Dalam pandangan Islam, kehidupan manusia adalah satu kesatuan yang menyeluruh. Setiap tindakan, jika diniatkan kerana Allah SWT dan dilakukan dengan adab yang betul, dikira sebagai ibadah. Firman Allah SWT bermaksud:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.” (Surah al-An‘am, 6:162)

Ayat ini menunjukkan bahawa tidak wujud dikotomi antara kerja (work) dan kehidupan (life) dalam Islam. Kerja bukan sesuatu yang berasingan daripada kehidupan, malah ia adalah ibadah yang merupakan sebahagian daripada kehidupan yang dituntut oleh syariah

Dalam erti kata lain, konsep keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan dalam Islam bukan bermakna memisahkan dunia kerja daripada dunia peribadi, tetapi menyatukan kedua-duanya dalam kerangka ibadah dan tanggungjawab khalifah.

Bunyinya mudah dan ringkas, namun adakah ia sebuah solusi yang bersifat magis? Bagaimana pula dalam konteks Muslim yang menghadapi isu-isu berkaitan kerja dan kehidupan yang tidak seimbang hingga mengganggu-gugat kesihatan fizikal dan mental?

Keseimbangan bermula dengan diri sendiri 

Islam mengajar umatnya menghormati diri dan memberikan hak yang wajar demi kesihatan dan kesejahteraan yang holistik. Jika kita meninjau kisah para sahabat, Rasulullah SAW pernah menegur sahabat yang terlalu beribadah tanpa rehat dengan sabdanya:

“Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak ke atasmu, bagi dirimu ada hak ke atasmu, bagi keluargamu ada hak ke atasmu. Maka berilah setiap yang berhak akan haknya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memberi panduan yang jelas bahawa keseimbangan dalam hidup tidak dicapai dengan bekerja tanpa henti atau beribadah secara melampau, tetapi dengan menunaikan setiap tanggungjawab secara adil. Ertinya, keseimbangan ialah keadilan kepada diri, memberikan hak pada setiap aspek termasuklah keperluan fizikal, mental dan persekitaran.

Tawazun dan ihsan formula keseimbangan dari langit

Dalam Islam, konsep tawazun (keseimbangan) dan ihsan (keindahan dalam amal) menjadi asas penyelesaian isu keseimbangan kerjaya dan kehidupan. Tawazun menuntut keadilan dalam memenuhi hak Allah, diri, keluarga dan masyarakat tanpa mengabaikan salah satu daripadanya.

Ia mengingatkan agar kerja tidak mendominasi hingga menjejaskan kesihatan, keluarga dan ibadah. Islam menolak sikap ghuluw (melampau) dalam bekerja. Melalui prinsip ini, individu diajar mengurus masa, tenaga dan emosi secara seimbang supaya setiap tanggungjawab dapat ditunaikan dengan harmoni, membawa keberkatan dan manfaat kepada diri serta orang lain.

Manakala ihsan pula bermaksud melakukan sesuatu dengan sebaik-baiknya, penuh kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhati. Dalam konteks keseimbangan kerjaya dan kehidupan, ihsan membentuk sikap profesional yang berasaskan nilai spiritual bekerja dengan ikhlas, amanah dan penuh tanggungjawab, tanpa mengabaikan kesejahteraan diri dan orang lain.

Seorang Muslim yang berpegang kepada ihsan tidak akan bekerja secara cuai atau berlebihan, kerana dia sedar bahawa keseimbangan dan kualiti kerja adalah tanda kesyukuran terhadap nikmat masa dan tenaga yang dikurniakan Allah.

Jika tawazun berfungsi sebagai prinsip keseimbangan luaran, maka ihsan menjadi panduan keseimbangan dalaman menyucikan niat dan memperindah tindakan. Apabila kedua-duanya diamalkan bersama, individu akan mencapai keharmonian antara tanggungjawab dunia dan tuntutan akhirat, mewujudkan keseimbangan kerjaya dan kehidupan yang berteraskan nilai spiritual, etika dan kemanusiaan.

Mengurus tekanan dari luar 

Ketidakseimbangan boleh berpunca daripada faktor luaran. Sebagai contoh, apabila seseorang menghadapi tekanan kerja daripada majikan atau rakan sekerja, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan.

Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengurus emosi dan menilai situasi dengan tenang. Tekanan di tempat kerja boleh berpunca daripada beban tugas yang tidak seimbang, gaya kepimpinan yang menekan atau konflik peribadi yang berlarutan.

Dalam keadaan ini, individu perlu mengenali had kemampuan diri serta mengamalkan teknik pengurusan stres yang pelbagai. Ambillah tempoh bertenang seperti bercuti atau mengambil masa rehat seketika bagi menstabilkan minda dan emosi sebelum bertindak.

Islam menggalakkan kesabaran dan kebijaksanaan dalam menghadapi tekanan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud

“Dan bersabarlah kamu; sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (al-Anfal, 8:46)

Sabar di sini bukan bererti pasif, tetapi memberi ruang kepada diri untuk berfikir secara rasional sebelum menyuarakan masalah dengan hikmah.

Sabar juga bukan bererti diam dan pasrah. Suarakan masalah anda melalui komunikasi yang berani tetapi beradab. Keberanian yang dimaksudkan bukanlah konfrontasi, tetapi kesediaan untuk bercakap dengan jujur dan berhemah.

Gunakan pendekatan assertive communication iaitu menyampaikan pandangan secara jelas tanpa menyinggung pihak lain, contohnya dengan ayat seperti, “Saya rasa terbeban dengan tugasan ini dan berharap kita boleh berbincang tentang pengagihan kerja.”

Komunikasi berani yang berpaksikan adab Islam melibatkan kejujuran, hormat dan niat untuk mencari penyelesaian, bukan menyalahkan. Jika tekanan berterusan, individu wajar mendapatkan sokongan daripada pihak pengurusan sumber manusia atau pegawai kaunseling. 

Memberi makna dalam tindakan 

Dalam erti sebenar, keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan menurut syariah bukan sekadar tentang mengurangkan tekanan kerja, tetapi menyusun semula makna hidup  bahawa bekerja, berehat, berkeluarga dan beribadah semuanya adalah jalan menuju keredaan Allah.

Kerjaya bukan musuh kepada kehidupan, dan kehidupan bukan ruang melarikan diri daripada kerjaya. Kedua-duanya adalah amanah yang harus diurus dengan hikmah, berpaksikan niat yang tulus dan nilai spiritual yang tinggi.

Keseimbangan sebenar tidak datang daripada “bekerja kurang”, tetapi daripada bekerja dengan hati yang sedar bahawa setiap usaha duniawi adalah ibadah yang menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan akhirat.

Prof Madya Dr Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia