Negara dikejutkan dengan berita hiba dari Kuala Terengganu mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah komplikasi iskemia anggota badan akut akibat kecederaan patah tulang paha yang menekan salur darah utama. Malangnya, komplikasi ini membawa maut apabila mangsa dilaporkan tidak menerima rawatan segera.
Bagi Jawatankuasa Advokasi Kanak-Kanak di bawah Wanita IKRAM Malaysia, insiden ini bukan sekadar statistik, tetapi peringatan tegas untuk memperkasakan advokasi SALAM (Sayangi dan Lindungi Anak-anak Malaysia).
Kelewatan membawa anak sekecil itu mendapatkan rawatan menunjukkan adanya kelompangan dalam sistem pengawasan dan keprihatinan di peringkat akar umbi.
Realiti keselamatan kanak-kanak di Malaysia kian mencabar. Statistik kematian akibat didera melonjak daripada 25 kes (2018) kepada 81 kes (2022). Data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula merekodkan 7,533 kes penderaan pada 2023, dan unjuran bagi tahun 2024 sehingga 2025 menunjukkan trend ini terus meningkat tanpa tanda-tanda penurunan ketara.
Walaupun JKM mempunyai prosedur jagaan percubaan selama dua tahun, risiko sering timbul sebaik sahaja pemantauan rasmi berakhir selepas pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selesai. Kami mengusulkan:
- Pelanjutan Pemantauan Mandatori: Mewajibkan lawatan susulan tahunan oleh JKM sehingga anak berumur tujuh tahun, khususnya bagi keluarga berisiko tinggi (penjaga dengan sejarah keganasan domestik, isu ketagihan atau tekanan ekonomi melampau).
- Saringan Menyeluruh: Semua kategori pengangkatan wajib melalui saringan JKM bagi memastikan keselamatan anak terjamin sepenuhnya.
Kes yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 ini menuntut peranan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) diperkukuh.
Dengan nisbah 1 ahli bagi setiap 8,000 kanak-kanak, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu proaktif menambah keahlian profesional agar mereka dapat berfungsi sebagai “sistem amaran awal” terhadap pengabaian anak.
Dalam masa yang sama, IKRAM komited bekerjasama dengan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Hak Kanak-Kanak yang dipimpin oleh YB Puan Hajah Rodziah Ismail. Sinergi ini penting bagi memastikan cadangan reformasi polisi ini diangkat dan diberikan keutamaan di peringkat Parlimen.
Tragedi ini merupakan peringatan bahawa isu keselamatan kanak-kanak adalah masalah kompleks yang menuntut perhatian serius.
Walaupun punca sebenar kes ini masih dalam siasatan, secara umum kajian menunjukkan faktor seperti tekanan ekonomi (kemiskinan/pengangguran), ketidakstabilan keluarga (perceraian) serta kitaran keganasan domestik sering menjadi pemangkin kepada risiko penderaan.
Oleh itu, perlindungan kanak-kanak memerlukan pendekatan holistik; selain pemantauan pelbagai pihak yang lebih ketat serta intervensi awal terhadap keluarga yang berdepan tekanan sosial.
Dr. Safiya Amaran
Jawatankuasa Advokasi Kanak-Kanak
Wanita IKRAM Malaysia
Sumber:
- Laporan Berita: Kes kematian kanak-kanak 3 tahun di Kuala Terengganu (15 April 2026).
- Kenyataan PDRM: Statistik kematian didera (2018–2022) & siasatan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
- Data JKM: Statistik 7,533 kes penderaan (2023) & unjuran 2024–2025.
- Artikel Ilmiah (MDPI): “The Impacts of Poverty, Unemployment, and Divorce on Child Abuse in Malaysia”(2022).
- Prosedur JKM: Garis panduan tempoh jagaan percubaan 2 tahun (Anak Pelihara).




