Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum laporan berhubung penahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap tiga (3) individu di Hulu Selangor yang disyaki terlibat dalam siasatan berkaitan pengurusan dana zakat.
IKRAM memandang serius perkara ini dan menegaskan bahawa integriti serta amanah merupakan asas utama yang sentiasa menjadi keutamaan dalam seluruh gerak kerja organisasi.
Sehubungan itu, IKRAM ingin menyatakan perkara berikut:
1. Kerjasama dengan Pihak Berkuasa
IKRAM menghormati sepenuhnya proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak SPRM dan akan terus memberikan kerjasama yang sewajarnya, selaras dengan keperluan undang-undang serta prinsip keadilan.
2. Status Individu yang Terlibat
Sebagai langkah pentadbiran dan tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak, individu yang terlibat telah direhatkan serta-merta daripada semua jawatan dan tanggungjawab dalam organisasi. Langkah ini diambil bagi memastikan kelancaran serta ketelusan proses siasatan.
3. Kedudukan Organisasi
IKRAM ingin menjelaskan bahawa perkara ini melibatkan tindakan individu dan tidak melibatkan organisasi secara langsung. Selaras dengan perlembagaan IKRAM, jika didapati bersalah, tindakan tatatertib akan diambil bagi memastikan integriti organisasi terus terpelihara.
4. Menghormati Proses Undang-Undang
IKRAM akan terus menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan tidak akan membuat sebarang ulasan lanjut berhubung perkara ini. Segala keputusan dan penjelasan adalah tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.
5. Tadbir Urus dan Penambahbaikan Berterusan
IKRAM komited untuk terus menilai dan memperkukuh amalan tadbir urus organisasi agar telus, berintegriti serta selaras dengan tuntutan syarak dan prinsip kedaulatan undang-undang. Semakan dalaman sedang dan akan diteruskan bagi memastikan penilaian yang menyeluruh.
IKRAM menghargai keprihatinan semua pihak dan memohon agar ruang diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan sewajarnya.
IKRAM kekal berpegang bahawa amanah adalah tanggungjawab besar yang perlu dipelihara dengan penuh integriti dan akan terus diperkukuhkan.
Haji Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia




