Sebilangan rumah tangga tidak berfungsi dengan baik kerana jangkaan yang tidak realistik. Ia disebabkan oleh pengaruh dan khayalan yang tidak berasas tentang kehidupan berkeluarga. Ringkasnya, mabuk dengan fantasi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan ARBA, Azlan Shah Nabees Khan, “Movie menayangkan watak yang gentleman, berkulit licin, sangat romantik, sedangkan itu adalah candu-candu yang dipasang untuk melupakan realiti pahit kehidupan.”
Tambah beliau lagi, media sering memberikan gambaran fantasi yang sering memerangkap orang-orang muda. Hal ini terbukti apabila kadar perceraian tinggi dalam kalangan pasangan muda yang mempunyai anak satu adalah antaranya akibat mimpi-mimpi yang tidak terealisasi.
Hal ini termasuk faktor tidak mendapat percutian yang diidamkan, tidak dilayan dengan hadiah-hadiah sepertimana kehidupan yang ditonjolkan para pempengaruh dan pelbagai lagi kekecewaan melalui gambaran sempurna yang cuba diciptakan. Hakikatnya, kebanyakan perkara yang dilihat itu adalah palsu atau cubaan membawa naratif yang “indah khabar dari rupa”.
Realitinya, tidak ada perkahwinan yang sempurna kerana manusia itu sendiri dicipta bersama kekurangan di sana sini di sebalik kelebihan yang dimilikinya. Namun apabila hakikat ini tidak dibumikan dalam diri, fantasi ini yang menjadi faktor penyumbang keruntuhan institusi kebapaan mahupun institusi keibuan.
“Orang sudah tidak ada kefahaman yang jelas tentang apa itu manhood dan motherhood kerana peranan ini diserang dalam dunia fantasi ini,” ujar beliau. Azlan menasihatkan agar pasangan menguruskan jangkaan bersifat realistik dan jangan berada di dunia fantasi.
Sinergi tenaga hasil perkongsian peranan suami dan isteri dapat menjayakan sebuah perkahwinan yang merupakan tanggungjawab besar dalam hidup seorang individu.
“Perkahwinan ini adalah tanggungjawab yang sangat besar terutamanya apabila menjadi ibu bapa, jadi jangan masuk gelanggang ini main-main,” tegas beliau ketika dalam program Sembang Santai Anak Muda Hero Keluarga anjuran bersama IKRAM dan JAKIM pada 29 Jun lalu.
Program yang bertujuan memupuk dan mendidik generasi muda tentang tanggungjawab dan peranan mereka sebagai hero keluarga dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar.Â
Dalam pada itu, ramai orang muda pada hari ini berbolak-balik dalam hasrat untuk mendirikan rumah tangga apabila menimbangkan konflik rumah tangga yang mengiringi sebuah perkahwinan. Perlu disedari, cabaran hidup sentiasa akan wujud kerana itu hukum alam kehidupan.
Terdapat segelintir orang muda merasakan perkahwinan sebagai hal yang sangat rumit untuk dihadapi. Hal ini benar sekiranya perkahwinan itu tidak diuruskan dengan baik melalui bekalan ilmu, amalan agama mahupun bantuan yang wajar.
Mereka yang memukul rata bahawa kehidupan selepas perkahwinan sukar untuk dihadapi hanya menakutkan diri sendiri untuk berkahwin atau mendapatkan anak. Namun ada hikmah apabila Tuhan memerintahkan perkahwinan itu sunah bagi mereka yang memenuhi syaratnya.
Menurut Azlan lagi, terlalu ramai orang berikan tip atau solusi tetapi tidak membincangkan perkara utama iaitu golden rule.
“Golden rules adalah dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, seseorang tidak boleh menentukan atau mengawal hasil tetapi hanya boleh mengawal usaha yang dilakukan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, “Dalam konteks kehidupan dan Tuhan, al-Quran menceritakan bahawa manusia tidak akan diukur berdasarkan hasil tetapi atas usaha yang dilakukan.”
Sirah Nabi merupakan rujukan terbaik bagi memahami isu kekeluargaan. Dalam konteks kedudukan Nabi Adam sebagai seorang ayah, baginda memiliki dua orang anak yang dinamakan Qabil dan Habil. Salah seorang telah membunuh seorang lagi dan peristiwa ini membawa kepada persoalan bahawa, “adakah Nabi Adam seorang ayah yang gagal?”
Azlan juga membawakan kisah Nabi Nuh yang tidak berjaya memujuk anak dan isterinya untuk menaiki bahtera yang dibina bagi menyelamatkan diri daripada dilemaskan banjir. Di sini, timbul persoalan yang sama, “adakah Nabi Nuh seorang suami dan bapa yang gagal?”
Kemudian Azlan menceritakan kisah Nabi Ibrahim yang berasal daripada persekitaran yang tidak baik, masyarakat yang rosak dan keluarga yang menentang Allah tetapi kemudian menjadi bapa para Nabi dan seorang ayah yang sangat baik.
Azlan menekankan bahawa kisah Nabi Ibrahim adalah contoh bagaimana rantaian rosak boleh dipatahkan (breaking the cycle) dengan usaha yang betul dan sokongan yang baik. Menurut beliau, perkara ini menjadi sebab yang kuat untuk seseorang tidak terus-menerus memangsakan diri sendiri sebagai hasil trauma masa lalu.
Jelas beliau, sifat untuk terus-menerus memangsakan diri boleh menjadi satu bentuk ketagihan yang sukar untuk membawa seseorang untuk mara maju ke depan mencapai perubahan.
Sebaliknya, Azlan menyeru agar setiap kita memasakkan diri sebagai pejuang hidup yang berusaha untuk keluar daripada persekitaran yang tidak baik demi memajukan diri.
Jangan hidup dengan mematerikan diri sendiri pada kehidupan lalu kerana ia boleh jadi penyumbang kepada kegagalan hidup. Rosaknya perkahwinan mengakibatkan domino effect yang menjadi titik permulaan kepada kerosakan masyarakat.
Masyarakat sekarang berada pada era serangan institusi kekeluargaan yang merangkumi isu rasa tidak mahu berkahwin, meletakkan peranan lelaki atau wanita bukan pada tempatnya, tidak mahu ada anak dan sebagainya yang kelak nanti berupaya merosakkan keseluruhan sistem kemanusiaan sendiri.
Sebagai seorang Muslim, institusi kekeluargaan adalah nukleus terpenting yang perlu dipertahankan sekiranya mahu melihat generasi masa hadapan yang cerah.
“Agama-agama lain turut menekankan prinsip prokeluarga dan kerana ini, semua pihak harus bekerjasama untuk membawa manusia kembali kepada fitrah asal dalam hidup berkeluarga,” jelas Azlan.
Kehidupan keluarga yang harmoni memberi impak positif yang meluas dan mendalam terhadap pembangunan masyarakat dan negara.
Ia bukan sahaja membentuk individu yang berkualiti tetapi juga menyumbang kepada kestabilan sosial, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan budaya yang diperlukan untuk membentuk negara yang progresif dan berdaya saing.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia