PADA setiap 1 Mei, semua kakitangan awam, swasta dan persendirian akan menyambut Hari Pekerja.
Selain mendapat satu hari cuti istimewa, objektif sambutan Hari Pekerja adalah untuk memberi peluang kepada semua pekerja bermuhasabah dengan diri sendiri berkaitan dengan tuntutan tanggungjawab dan amanah mereka kepada kerjaya masing-masing.
Islam begitu menitikberatkan etika kerja cemerlang. Etika kerja cemerlang sebenarnya bukanlah milik atau hak seseorang individu atau mana-mana kelompok masyarakat, sebaliknya ia meliputi keseluruhan pegawai dan kakitangan kerajaan dalam sesebuah organisasi itu.
Kesan daripada etika atau budaya kerja cemerlang ini akan menjadikan sesebuah organisasi itu maju dan berjaya kerana mempunyai pegawai dan kakitangan yang berkeupayaan tinggi.
Mereka berkhidmat dengan penuh dedikasi, patuh kepada setiap arahan atau peraturan yang telah ditentukan oleh pihak pengurusan dari semasa ke semasa.
Budaya Kerja Cemerlang sebenarnya adalah hak setiap individu dalam setiap organisasi, bermula dari peringkat atasan hinggalah ke peringkat bawahan seperti buruh, tukang kebun, pelayan pejabat dan jawatan-jawatan seumpamanya.
Apabila Budaya Kerja Cemerlang ini dapat diserapkan ke dalam minda setiap pegawai dan kakitangan kerajaan, hasilnya akan tinggilah kualiti dan kuantiti kerja setiap individu itu dan seterusnya meningkatkan produktiviti.
Apabila setiap orang pegawai dan kakitangan dapat menunjukkan tahap kecemerlangan dalam bidang kerjaya masing-masing, negara akan bertambah maju dan rakyatnya pula akan dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik dan sempurna.
Islam sebagai agama yang syumul sangat menggalakkan setiap umatnya bekerja keras dan berusaha meningkatkan taraf hidup agar bebas daripada belenggu kemiskinan kerana kemiskinan adalah musuh bagi setiap manusia.
Dengan kata lain, apabila Budaya Kerja Cemerlang itu ada pada setiap diri individu, sudah pasti ia akan mendapat keuntungan, bukan sahaja selama hidup di dunia ini, tetapi juga di akhirat kelak.
Hal ini demikian kerana setiap apa jua yang kita kerjakan yang dapat memberi sumbangan kepada orang lain termasuk diri, keluarga, bangsa dan seterusnya negara akan dikira sebagai satu amalan ataupun ibadah yang dituntut oleh Islam.
Apa jua yang kita buat atau lakukan, ia hendaklah disertai dengan niat. Ia samalah juga seperti kita menunaikan sembahyang fardu lima waktu sehari semalam.
Tanpa niat, sudah pasti amalan kita tidak akan diterima. Demikian juga halnya dalam mencari kerja atau mencari rezeki, tentu ada matlamat dan disertai dengan niatnya sekali.
Tujuan kita bekerja sebenarnya adalah untuk menyara diri sendiri, keluarga dan seterusnya memberikan sumbangan bakti kepada agama, bangsa dan negara.
Justeru, setiap pekerjaan yang kita lakukan, termasuk makan gaji sama ada dengan pihak kerajaan ataupun swasta hendaklah seimbang.
Jika kita mendapat gaji penuh, maka waktu bekerja pula hendaklah cukup atau menepati waktunya kerana jika kita bekerja sambil lewa atau sering ponteng daripada menjalankan tugas dan kewajipan kita sudah pasti ia akan ditanya Allah di akhirat nanti.
Sesungguhnya sikap malas dan kurang bersemangat untuk memajukan diri, terlalu mementingkan diri sendiri dan rapuh dengan pegangan ugama sudah pasti akan membantutkan usaha untuk melahirkan generasi pekerja yang cemerlang dan terbilang.
Pekerja sebeginilah yang selalunya menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan ‘seada-adanya’ sahaja. Apabila ada arahan daripada ketua, barulah bekerja, selepas itu kembali duduk hingga sampai waktu balik bekerja atau rehat.
Pegawai dan kakitangan yang menghadapi sindrom atau tabiat yang kurang baik ini perlulah diberikan kursus atau motivasi diri dan memerlukan pengawasan secukupnya terutama sekali hubungannya dengan pemberian rezeki yang menjadi sumber kehidupan di sepanjang perkhidmatan, sama ada dengan pihak kerajaan ataupun swasta.
Dan dalam hubungan ini, Allah Taala telah berfirman dalam Surah al-Asr ayat 3 yang bermaksud:
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal salih dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menepati kebenaran.”
Mafhum ayat ini antara lain ialah memberi peringatan kepada mereka yang tidak dapat menggunakan masa dengan sebaik-baiknya kerana mereka telah tergolong dalam golongan mereka yang rugi kerana banyak membuang masa di luar pejabat atau menyalahgunakan kuasa bagi mereka yang telah diamanahkan oleh pihak yang berkenaan.
Kesan daripada sikap yang tidak bertanggungjawab ini sudah tentu akan melibatkan banyak pihak termasuklah para pelanggan yang sentiasa berurusan dengan mereka.
Akhir sekali, marilah kita renungkan pula kata-kata seorang negarawan Amerika iaitu John F. Kennedy yang berbunyi, “Jangan ditanya apakah sumbangan negara kepada kamu, tetapi tanyalah apa yang boleh kamu sumbangkan kepada negara.”
Kata-kata hikmat dan padat ini harus menjadi pedoman yang berguna jika kita ingin maju dan memberikan sumbangan ke arah kecemerlangan bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling.
Wan Marzuki Wan Ramli
Guru Pendidikan Islam