Ramadan & Lailatulqadar: Kedatangan yang Dirindui

Berpuasa pada bulan Ramadan merupakan ibadah yang telah difardukan ke atas semua umat Islam. Firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183)

Ibadah ini bukanlah semata-mata hanya menahan lapar dan dahaga, bahkan untuk meraih darjat ketakwaan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Bulan Ramadan mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaannya. Antaranya ialah bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah SWT, para malaikat memohon keampunan untuk orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, syurga dihias setiap hari pada bulan ini, syaitan-syaitan dibelenggu, pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu neraka ditutup.

Malam yang lebih baik

Dalam bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu lailatulqadar. Anas r.a. berkata:

“Telah masuk bulan Ramadan lalu Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Dalam bulan Ramadan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terlepas daripadanya maka dia telah terlepas daripada segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia benar-benar rugi.” (HR Ibnu Majah, [1644], Hasan)

Selain itu juga, orang-orang yang berpuasa akan mendapat keampunan pada malam yang terakhir dalam bulan ini.

Banyak amalan yang boleh dilakukan sepanjang berada dalam bulan Ramadan, antaranya ialah membaca al-Quran dan melakukan qiamullail. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala), maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.” (HR Bukhari [37] dan Muslim [759])

Berhati-hati dengan amalan

Selain itu, bersedekah, memberi makan kepada orang untuk berbuka, berdoa, berzikir, beristighfar serta mengerjakan umrah juga merupakan antara amalan yang sangat digalakkan untuk dilakukan pada bulan ini.

Bagaimanapun, dalam keterujaan kita menyambut bulan suci ini, ada amalan dan perbuatan yang perlu dielakkan agar ibadah puasa kita bukan sekadar beroleh lapar dan dahaga. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiamnya melainkan hanya berjaga malam.” (HR Ibnu Majah, [1690], Hasan)

Antara perbuatan yang perlu dielakkan pada bulan Ramadan ialah berbuka puasa dengan sumber yang haram. 

Sebanyak mana seseorang itu telah mendapat pahala daripada puasanya, dosa yang didapati kerana memakan yang haram lebih besar daripada pahala yang diperolehnya daripada berpuasa. Oleh yang demikian, dia tidak mendapat apa-apa selain daripada berlapar sepanjang hari.

Selain itu, memandang sesuatu yang tidak patut sehingga mendatangkan syahwat juga perlu dielakkan. Penglihatan adalah salah satu daripada anak-anak panah syaitan. Orang yang tidak menjaga penglihatan mereka boleh mengalihkan tumpuan hati daripada mengingati Allah SWT.

Seterusnya ialah tidak menjaga lidah iaitu tidak meninggalkan perkataan yang keji dan sia-sia, berbohong, mengumpat, membuat fitnah, mengadu domba, merendah-rendahkan orang lain, bergaduh dan sebagainya.

Sekiranya kita terdorong untuk melakukan perbuatan-perbuatan tersebut, segeralah mengingatkan diri kita bahawa kita sedang berpuasa.

Tidak menjaga telinga juga merupakan antara perbuatan yang perlu dielakkan dalam bulan ini. Setiap perkara yang dibenci serta yang haram untuk diperkatakan, maka haram juga untuk kita memasang telinga mendengar perkara itu. 

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tahukah kamu, apakah ghibah (mengumpat) itu?” Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih tahu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Engkau menyebut tentang hal saudara kamu yang ia tidak sukai.” Baginda ditanya lagi, “Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku bicarakan?” Baginda menjawab: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada, maka engkau telah berbuat ghibah, namun jika tidak benar, maka engkau telah berbuat fitnah.” (HR Muslim, [2589])

Yang sentiasa dirindui

Bulan Ramadan hanya setahun sekali. Kedatangannya sangat dinanti-nantikan oleh semua umat Islam. Apabila ia berlalu pergi, pasti kita akan merindui kerana pada tahun hadapan belum tentu kita direzekikan bertemunya lagi.

Manfaatkanlah bulan suci ini dengan menghindari sifat mazmumah kerana walaupun ia tidak membatalkan puasa, namun boleh menyebabkan kita kehilangan pahala. 

Kita semua adalah hamba-Nya. Maka, jadilah hamba-Nya yang sentiasa mengharapkan keampunan, keredaan serta rahmat daripada Allah SWT.

Jadikan bulan Ramadan kali ini sebagai permulaan kita bermujahadah untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik daripada sebelum ini. Jangan berlengah untuk bersihkan segala kekotoran dosa yang telah kita normalisasikan selama ini. 

Jika tahun-tahun sebelum ini kita masih belum berjaya mengawal sepenuhnya adab pada bulan Ramadan, seharusnya kita bertekad untuk memelihara adab dan batas-batas dalam bulan suci ini agar ia tidak berlalu dengan sia-sia.

Justeru, sekiranya kita berjaya menyemai benih-benih mahmudah dalam diri, kita sebenarnya sedang menjemput rahmat keampunan daripada Ilahi. Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan, kemudian tahu batas-batasnya serta memelihara apa yang perlu dipelihara, maka dosa-dosanya yang lalu diampunkan.” (HR Ibnu Hibban, [3433], Isnad Daif)

Raihan Hanin Mohamad

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia