Politik merupakan satu medium penting dalam sesebuah negara demokrasi untuk menentukan hala tuju pentadbiran, pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan masa depan sesebuah negara.
Namun begitu, apabila politik mula didominasi oleh sentimen seperti perkauman, agama, wilayah atau kebencian terhadap kelompok tertentu, ia akan menghakis perpaduan masyarakat dan menjejaskan kemajuan negara.
Politik sentimen merujuk kepada pendekatan politik bagi meraih sokongan dengan mengeksploitasi emosi yang mewujudkan prasangka negatif dan akhirnya melahirkan identiti masyarakat.
Politik sentimen tidak menawarkan dasar, solusi, idea dan data yang membina dan mengukuh. Fenomena ini semakin ketara dalam era media sosial apabila maklumat dapat disebarkan dengan pantas tanpa tapisan dan kajian yang mencukupi.
Politik sentimen menjatuh dan meruntuh
Politik sentimen sering menjadikan isu kaum, agama dan budaya sebagai modal utama kempen demi mendapat laba politik yang sangat lumayan. Perbezaan yang sepatutnya menjadi kekuatan sesebuah negara dipersembahkan sebagai ancaman kepada kumpulan tertentu.
Akibatnya, masyarakat menjadi lebih mudah berpecah-belah, saling mencurigai, bersangka buruk dan hilang kepercayaan antara satu sama lain. Keadaan ini bukan sahaja mengganggu keharmonian sosial, malah boleh mengancam kestabilan politik dan keselamatan negara.
Selain itu, politik sentimen menyebabkan rakyat membuat keputusan berdasarkan emosi berbanding fakta. Dalam keadaan ini, prestasi, integriti dan prestasi seseorang pemimpin tidak lagi menjadi indikator utama. Sebaliknya, sokongan diberikan atas dasar identiti kaum, sensitiviti agama atau sentimen tertentu
Akibatnya, budaya politik yang matang sukar berkembang kerana diskusi tentang dasar, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan rakyat sering tenggelam di sebalik polemik yang bersifat emosional. Lahirlah rakyat taasub yang suka menghina, mencela, memperlekeh malah mempersendakan antara satu sama lain.
Media sosial turut mempercepat penyebaran politik sentimen. Algoritma platform digital cenderung memaparkan kandungan yang mengundang reaksi emosi kerana ia lebih mudah menarik perhatian pengguna.
Berita palsu, fitnah, ucapan kebencian dan maklumat yang tidak disahkan dan tidak sempurna boleh tersebar dalam tempoh yang singkat. Situasi ini menyukarkan rakyat membezakan antara fakta dan propaganda, sekali gus meningkatkan polarisasi dalam masyarakat.
Dari sudut ekonomi, politik sentimen juga memberi kesan yang besar. Politik sentimen menyebabkan ketidakstabilan politik.
Ketidakstabilan politik bermaksud keadaan sesebuah negara yang tidak tenteram akibat pertukaran kerajaan yang kerap, krisis kepimpinan dan konflik antara parti. Keadaan ini menyebabkan pentadbiran kerajaan tidak kukuh dan menjadi lemah serta hilang arah tuju yang jelas.
Ketidakstabilan politik akan mengurangkan keyakinan pelabur tempatan dan asing. Pelabur lazimnya mencari negara yang mempunyai kestabilan politik, dasar yang konsisten dan masyarakat yang harmoni.
Apabila negara sering dilanda konflik politik berasaskan sentimen, maka lahirkan risiko kepada keharmonian masyarakat dek saling mencurigai dan bersangka buruk menyebabkan masyarakat berpecah-belah.
Keadaan ini mewujudkan risiko terhadap pelaburan dan pertumbuhan ekonomi. Kesannya ialah peluang pekerjaan berkurangan, nilai mata wang terjejas dan taraf hidup rakyat turut menerima kesan.
Dalam sektor pendidikan pula, politik sentimen boleh mempengaruhi cara generasi muda melihat dan berhadapan dengan masyarakat majmuk. Sekiranya mereka sering didedahkan kepada retorik yang memecahbelahkan masyarakat, impaknya nilai toleransi, hormat-menghormati dan semangat perpaduan akan semakin luntur.
Pendidikan sepatutnya menjadi medium melahirkan warganegara yang berfikiran kritis dan matang yang meraikan kepelbagaian, bukannya menjadi medan penyebaran sentimen politik. Sesungguhnya, sentimen membunuh rakyat yang kritis dan saling membina.
Impak sentimen menjatuhkan negara
Beberapa negara berpecah dek sentimen yang melampau. Yugoslavia berpecah pada awal 1990-an akibat sentimen nasionalisme etnik yang kuat antara Serb, Croat dan Bosnia sehingga mencetuskan perang saudara dan membentuk beberapa negara baharu seperti Slovenia, Croatia dan Bosnia.
Perpecahan Yugoslavia adalah contoh klasik yang membuktikan bahawa apabila sentimen perkauman dan keagamaan dimanipulasikan oleh politikus, ia mampu meruntuhkan sebuah negara berbilang etnik dalam masa yang singkat. Apabila ketakutan dan dendam mengatasi akal fikiran, integrasi dan interaksi sosial hancur dan digantikan dengan konflik yang menjamah keharmonian sesebuah negara.
Selain itu, Sudan merupakan satu lagi contoh sejarah yang sangat jelas iaitu gabungan sentimen identiti (agama dan etnik) yang dimanipulasi serta ketidaksamaan pengagihan sumber membawa kepada pemisahan sesebuah negara iaitu melahirkan Sudan dan Sudan Selatan.
Kajian dan analisis
Pelbagai kajian menunjukkan bahawa negara yang mempunyai tahap polarisasi politik yang tinggi cenderung mengalami kesukaran untuk mencapai pembangunan yang mampan.
Laporan World Bank melalui World Development Report (WDR) 2017:
Governance and the Law melaporkan bahawa apabila institusi sesebuah negara gagal menguruskan persaingan kuasa secara inklusif (contohnya terperangkap dalam konflik identiti, etnik atau puak), dasar awam menjadi tidak cekap. Ini mengakibatkan kebocoran sumber, pengurangan pelaburan swasta/FDI dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan berbanding negara yang mengamalkan komitmen dasar berasaskan prestasi. (Sumber: World Bank)
Laporan ini menyatakan bahawa negara yang sering mengalami konflik politik berasaskan identiti lazimnya menghadapi pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan berbanding negara yang mengamalkan politik berteraskan dasar dan prestasi.
Dalam konteks Malaysia, masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Kepelbagaian ini sebenarnya kelebihan sekiranya diurus dengan bijaksana. Namun, sekiranya sentimen perkauman atau agama terus dimainkan secara berlebihan, ia boleh menghakis semangat perpaduan yang menjadi asas kepada pembentukan sesebuah negara sejak merdeka.
Oleh itu, semua pihak termasuk pemimpin politik malah parti politik, media, institusi pendidikan dan masyarakat perlu memainkan peranan mengelakkan penyebaran naratif yang boleh mencetuskan kebencian dan perpecahan.
Kajian dalam bidang psikologi politik turut menjelaskan bahawa manusia lebih mudah dipengaruhi dan didominasi oleh mesej yang membangkitkan emosi seperti ketakutan, kemarahan dan ancaman berbanding hujah yang berasaskan data.
Oleh sebab itu, politik sentimen sering menjadi strategi yang berkesan untuk meraih perhatian dalam jangka pendek, tetapi kesannya boleh merosakkan hubungan sosial dan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi dalam jangka masa panjang.
Kesimpulannya, politik sentimen bukanlah jalan terbaik untuk membangunkan sesebuah negara. Walaupun ia mampu memberikan keuntungan politik kepada pihak tertentu dalam tempoh yang singkat, malangnya kesan jangka panjangnya amat besar terhadap perpaduan masyarakat, kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan masa depan generasi muda.
Rakyat perlu menjadi pengundi yang matang dengan menilai pemimpin berdasarkan integriti, prestasi dan dasar yang ditawarkan, bukannya dipengaruhi oleh sentimen yang memecahbelahkan masyarakat.
Hanya dengan mengamalkan politik yang matang, beretika, bertanggungjawab dan berasaskan fakta, sesebuah negara mampu mencapai kemajuan yang mampan serta mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk.
Mohamad Sazmani Abdul Samat
Sungai Petani, Kedah Darul Aman




