5 Manfaat Universal di Sebalik Puasa Ramadan

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 183) 

Ramadan sering dikenali dengan ibadah berpuasa dan disebutkan dalam ayat di atas tentang kewajipan berpuasa ini persis ibadah yang pernah dilakukan umat-umat terdahulu. Ibadah yang merentasi masa, umat mahupun bangsa ini dilihat masih relevan untuk membina jati diri umat yang luhur dan beriman.

Kepentingan berpuasa juga disebutkan dalam ayat yang sama, bertujuan untuk menyasarkan pembinaan generasi yang bertakwa. Perkataan ’kamu’ yang diulang beberapa kali didatangkan bentuk dhamir mukhatab lil jami’ yang bersifat kolektif atau menunjukkan ramai.

Justeru, ia menunjukkan bahawa ibadah puasa ini tidak khusus bersifat individual malah lebih dominan atau bersifat universal (sejagat). 

Ibadah yang universal dan kolektif ini sebenarnya suatu ibadah yang mengandungi gagasan atau kerangka tujuan yang meliputi banyak perkara. Lagi pula ia diwajibkan dalam tempoh waktu yang tetap yang melibatkan kalendar hijri.

Maka berpuasa tidak hanya suatu perintah yang memberikan faedah kepada individu malah kepada umat keseluruhan jika ia dilaksanakan dengan sebaik mungkin. 

Menyatukan hati dan hubungan kemanusiaan

Seringkali ibadah puasa dikaitkan dengan kesihatan tubuh badan dan faedah fizikal. Namun dalam erti yang lebih luas, berpuasa dapat menyumbang manfaat atau kebaikan buat manusia keseluruhan. 

Yang pertama, kebaikan berpuasa itu dapat membina kesatuan dan kekitaan yang erat.

Secara idealnya, kesatuan manusiawi atau perpaduan bangsa suatu yang agak sukar untuk dicapai. Ibadah puasa salah satu cara yang dapat menyatukan hati dan hubungan kemanusiaan.

Puasa menyediakan ruang suatu kumpulan manusia, bangsa atau umat yang melaksanakannya untuk menghayati kesusahan golongan yang kurang bernasib baik.

Mempertimbangkan semula rasa simpati dan rasa belas kasihan yang dirasai oleh individu atau kumpulan mahupun umat manusia yang melakukan ibadah puasa ini dapat membina rasa kekitaan terhadap masalah yang dihadapi.

Hal ini demikian kerana rasa lapar dan dahaga atau kekurangan perihal keperluan harian adalah sesuatu yang tidak dapat diciptakan atau dialami oleh golongan atasan atau yang berada, kecuali keadaan individu dan umat itu berada dalam kondisi berpuasa yang bersama mengisi tuntutannya. 

Kedua, seorang atau umat yang mengamalkan ibadah yang memupuk nilai yang mulia ini dapat menyatukan kesedaran hati murni yang terpencar-pencar khususnya pada era kemodenan ini dalam mencari kekayaan jiwa atau kerohanian yang semakin diabaikan. Sudut kejiwaan dan kerohanian sebenarnya suatu yang tersirat dan sangat dihajati manusia terutamanya untuk membina watak manusia yang penuh sedar dan seimbang.

Hari ini terlalu ketara tipisnya kesedaran kerohanian sehingga membawa kepada krisis tekanan, ketidakyakinan diri dan sebagainya yang membawa kepada kesengsaraan manusia meskipun dalam era serba canggih dengan penemuan sains dan teknologi.

Oleh yang demikian, dalam melaksanakan ibadah puasa, ia dapat mengawal jiwa dan nafsu seseorang juga komponen umat itu daripada kelakuan sumbang, kebejatan identiti atau rasa individualistik maupun kekeliruan nilai. 

Ketiga, masyarakat yang berpuasa dapat menghayati erti keluhuran nilai dan akhlak yang terpuji terutamanya yang dikongsikan seluruh umat manusia. Berpuasa memperteguh kesedaran kemanusiaan melalui rasa insaf kewujudan manusia itu sendiri yang tinggal di bumi yang sama.

Nilai saling berkongsi, membantu, menyokong dan menghormati satu sama lain akan dapat mewujudkan kesejahteraan. Umat itu juga terhindar daripada gejala maksiat atau kerosakan yang umumnya membekaskan kesan negatif seperti pelanggaran hak manusia, penghinaan maruah, permusuhan dan pencabulan sempadan atau batasan moral.

Keempat, masyarakat atau umat yang akur dengan ibadah puasa ini lebih mengangkat sifat kesederhanaan daripada sikap keborosan atau pembaziran yang melampau, walaupun realiti menunjukkan umat Islam turut terpercik dengan sikap pembaziran sepanjang melaksanakan puasa.

Kesilapan itu harus dapat dicegah dan diperbaiki dengan lebih baik apabila menghayati maksud puasa itu sendiri iaitu mendidik hati dan menyederhanakan kemahuan atau kehendak nafsu yang sentiasa tamak lagi cenderung kepada sikap berlebih-lebihan.

Hal ini juga menunjukkan puasa itu sendiri menjadi ujian kepada umat Islam agar tidak terjebak ke lembah kegagalan dalam pada merasakan diri yang serba kecukupan segala keperluan harian. 

Kelima, berpuasa dapat menyedarkan umat bahawa kesusahan dan kepayahan manusia adalah sebahagian daripada tanggungjawab manusia itu sendiri untuk merasainya, bukan melepaskan atau menidakkan kenyataan itu atau menutup mata terhadap isu-isu kelaparan, kemelaratan dan yang seumpamanya.

Isu global yang menyentak sedar

Penindasan dan kelaparan antara isu yang masih berlegar di peringkat global yang menyentak kesedaran mana-mana individu. Ia menunjukkan betapa kemanusiaan itu suatu yang lumrah dan berakar dalam akal budi setiap manusia. Cumanya mungkin ada individu yang tidak mengambil berat bahkan menanggapinya sebagai suatu takdir atau semata-mata nasib yang menimpa suatu golongan atau kelompok disebabkan kelemahan mereka.

Ia memberikan pencerahan terhadap individu bahawa apabila manusia itu berada di tahap keegoan ataupun ’keasabiayahan’ atau tertumpu kepada kebangsaan tertentu, terkadang manusia itu sanggup membiarkan golongan atau kumpulan manusia lain berada dalam kesusahan dan ditimpa pelbagai musibah. Seakan-akan naluri rasa belas kasihannya sudah kian tipis dan kian tidak dipedulikan atau bukan suatu yang penting. Hal ini dapat dilihat pada sebahagian manusia apabila mereka menanggapi tragedi yang berlaku di Gaza, Palestin hari ini, sedangkan ia menjadi contoh musibah yang amat tragis dalam sejarah umat manusia itu sendiri. 

Akhirnya, jiwa yang berpuasa dapat mengelak daripada kebobrokan sifat-sifat mazmumah yang lainnya sepertimana yang diajarkan agama agar mereka yang berpuasa dapat menjaga lidah atau lisannya daripada menuturkan sesuatu yang tidak baik dan kesannya adalah kepada ganjaran yang bakal diterima.

Penghayatan umat tidak sekadar menjaga ibadah secara sendirian tetapi mengelak sifat-sifat yang merosakkan. Adakah suatu kelompok manusia yang rosak integritinya tidak mustahil boleh merosakkan kumpulan atau umat yang lain sekiranya penghayatan sepertimana nilai yang dipupuk dalam ibadah berpuasa di tahap ’nol’ atau sifar?

Maka, berpuasa bukan saja ibadah yang bersifat individual tetapi lebih bersifat universal untuk memperbaiki keadaan umat manusia itu sendiri secara umumnya, secara fizikal dan kerohaniannya.   

Mohd Fadzil Yusof

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia