Bina Keharmonian: Beralih kepada Tindakan Bersama

Presidem IKRAM

MELAKA – Semua komuniti agama diseru untuk beralih daripada medan dialog kepada medan tindakan bersama bagi menawarkan khidmat dan kebajikan yang ada kepada rakyat negara ini, menurut Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj. Badlishah Sham Baharin.

“Dialog ini penting, tetapi ia tidak sepatutnya menjadi destinasi terakhir. Dialog yang baik memerlukan keberanian untuk mendengar, kerendahan hati untuk membetulkan salah faham, disiplin untuk tidak bersetuju tanpa merendahkan orang lain,” jelasnya.

Perkara itu diulas oleh beliau, yang menjadi salah seorang panelis sesi Plenary I yang bertajuk “Interfaith Understanding, Respect and Acceptance in a Troubled World Foundations for Peaceful Coexistence” sempena International Interfaith Peace Conference & Youth Congress (IIPC) 2026 pada Sabtu, 8 Ogos lalu di sini.

Persidangan itu bertemakan “Melaka dan Malaysia sebagai Pusat Pertemuan Agama, Budaya, Kepelbagaian dan Keharmonian ke Arah Pembinaan Negara Kohesif” dan disertai lebih 200 pemimpin agama, ahli akademik, pembuat dasar, wakil belia dan masyarakat sivil tempatan serta luar negara.

Tambah Hj. Badlishah Sham Baharin, sesuatu dialog akan menjadi lebih berwibawa dan dipercayai apabila ia menghasilkan perkhidmatan, pengalaman dan tindakan bersama.

Beliau berpandangan, komuniti agama boleh bekerjasama dalam menangani kemiskinan dan kekurangan makanan, bantuan bencana, kesihatan mental dan kesejahteraan, perlindungan kanak-kanak dan warga emas, kelestarian alam sekitar, literasi digital dan kesalahan maklumat.

Ketika timbulnya isu COVID-19 pada 2020, beliau berkongsi pengalaman IKRAM bersama-sama organisasi masyarakat sivil lain yang bekerjasama dengan persatuan Buddha seperti Tzu Chi, termasuk juga Kristian, Islam dan organisasi agama yang lain dengan semangat “Kita Jaga Kita”.

“Kami telah mengumpul berjuta-juta Ringgit untuk hospital, untuk orang yang terjejas oleh pandemik COVID-19.”

“Jadi apabila kita berkhidmat bersama, kita mula melihat satu sama lain bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai rakan kongsi dalam tanggungjawab manusia bersama dan perjalanan manusia bersama,” tambahnya lagi.

Bagi IKRAM, menurut beliau, keharmonian antara agama bukanlah satu latihan perhubungan awam, bahkan ia sebahagian daripada pembinaan sebuah negara yang berasaskan rahmah, keadilan, kesejahteraan dan penghormatan terhadap maruah manusia.

Beliau menggariskan empat komitmen praktikal yang perlu dilakukan iaitu berkata-kata secara bertanggungjawab, membina hubungan sebelum krisis, menterjemah dialog kepada perkhidmatan bersama, serta melindungi golongan muda dan ruang digital.

Turut menjadi panelis dalam sidang pleno itu ialah sejarawan Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, paderi Rev. Fr. Lionel Thomas dan mantan sami, Mr Zhi-Harn Wang.

Persidangan IIPC 2026 selama dua hari itu dianjurkan oleh Allied Coordinating Council of Islamic NGOs Malaysia (ACCIN) dengan kerjasama Doha International Centre for Interfaith Dialogue (DICID) dan Kementerian Perpaduan Negara.

Persidangan itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr. Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ahli Lembaga Pengasas DICID, Profesor Dr. Hamed Abdulaziz al-Marwani, serta Ketua Pegawai Eksekutif ACCIN, Ir. Hj. Mohd Jamaludin Shamsudin.

Persidangan ini antaranya bertujuan bagi menyediakan platform untuk berkongsi nilai dan prinsip merentasi pelbagai kepercayaan yang menggalakkan keamanan, keharmonian dan saling menghormati, seterusnya membina rangkaian penting untuk kerjasama masa depan dalam dialog antara agama dan budaya.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia