Lailatulqadar: Tanda & Cara Hidupkan Malam Istimewa

Lailatulqadar: Tanda & Cara Hidupkan Malam Istimewa | IKRAM

Setiap kita yang beragama Islam pasti mendamba dipertemukan dengan Malam al-Qadar. Ketika tibanya Ramadan, kita menjalani ibadah puasa, bersedekah, melaksanakan sunat tarawih, witir dan ibadah-ibadah lain. 

Hinggalah tiba pada sepuluh malam terakhir, seharusnya kita berlumba-lumba mempertingkatkan ibadah.

Sebagaimana diketahui, antara keutamaan bulan Ramadan adalah dengan adanya lailatulqadar. Maka, bergembiralah kita kerana masih berada pada bulan Ramadan ini.

Malam ini adalah malam yang sangat istimewa, kerana itulah ketika Rasulullah SAW bergembira dengan kedatangan Ramadan, baginda memberitakan bahawa sebab kegembiraan baginda itu kerana pada bulan ini terdapat lailatulqadar. 

Baginda bersabda:

قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ اللهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ يُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا فَقَدْ حُرِمَ

“Sungguh telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh berkat. Allah mewajibkan puasa atas kamu. Pada bulan ini, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan ini juga, ada suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang terhalang daripada kebaikannya, maka sungguh ia terhalang untuk mendapatkannya.” (HR Ahmad, No. 7148, Disahihkan al-Arnaouth)

Seribu bulan itu jika dijadikan tahun, maka sama dengan 83 tahun 4 bulan. Inilah keutamaan yang sangat luar biasa, ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih besar nilainya dengan ibadah yang dilakukan selama 83 tahun 4 bulan.

Padahal, umur umat Nabi Muhammad SAW jarang yang mencapai demikian, hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

أَعْمَارُ أُمَّتِي مَا بَيْنَ السِّتِّينَ إِلَى السَّبْعِينَ ، وَأَقَلُّهُمْ مَنْ يَجُوزُ ذَلِكَ

“Umur umatku antara enam puluh hingga tujuh puluh tahun. Sedikit sekali yang lebih dari itu.” (HR Ibnu Majah No. 4236, Hadis Hasan)

Cara Menghidupkan Lailatulqadar

Daripada Ummul Mukminin Aisyah radiallahuanha, ia mengatakan:

كَانَ النَّبِيُّ ﷺ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

“Nabi SAW apabila memasuki sepuluh akhir (dari bulan Ramadan), baginda mengencangkan (mengikat) sarungnya, menghidupkan malamnya dengan beribadah dan membangunkan keluarganya.”  (HR Bukhari, No. 2024)

Pada dasarnya, cara menghidupkan malam Ramadan adalah dengan solat malam, berdasarkan sebuah hadis, baginda SAW bersabda:

مَنْ قامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang mengerjakan solat malam di bulan Ramadan kerana keimanan dan mengharap pahala Allah, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.”  (HR Muslim, No. 759)

Selain itu, pernah seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri:

“Wahai Abu Sa’id, apa amalan yang paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah?” Hasan al-Basri menjawab:

مَا أَعْلَمُ شَيْئًا يَتَقَرَّبُ بِهِ المُتَقَرَّبُونَ إِلَى اللهِ أَفْضَلَ مِنْ قِيَامِ اللَّيْلِ

“Tidaklah aku mengetahui satu amalan pun yang dilakukan oleh orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah yang lebih afdal daripada solat malam.”

Beliau menganggap bahawa asal dalam menghidupkan malam adalah dengan solat. Hanya saja, sebahagian ulama berpendapat bahawa menghidupkan malam Ramadan mencakupi semua jenis ketaatan. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan:

وَأَحْيَا لَيْلَهُ أَيِّ سَهَرَهُ بِالطَّاعَةِ

“Menghidupkan malam maksudnya menghidupkan dengan mengerjakan amalan ketaatan.”

Imam Nawawi mengatakan: “Beliau menghidupkan malamnya untuk solat dan yang lainnya.”

Disebutkan dalam kitab Aunul Ma’bud:

أَيْ بِالصَّلَاةِ وَالذِّكْرِ وَتِلَاوَةِ القُرْآنِ

Iaitu dengan solat, zikir dan membaca al-Quran.

Oleh sebab itu, cara menghidupkan malam-malam Ramadan terutama pada sepuluh malam terakhir ini adalah dengan pelbagai ibadah ketaatan iaitu solat, zikir, doa, baca al-Quran dan lain-lain.

Antara doa yang dianjurkan untuk diperbanyak membacanya iaitu doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada Aisyah, ketika beliau bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ بِمَ أَدْعُو قَالَ قُولِي اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Wahai Rasulullah! Apabila saya menjumpai Lailatulqadar, dengan apa saya harus berdoa?” beliau bersabda, katakanlah: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau mencintai seorang pemaaf, maka ampunilah aku.” (HR Ahmad, No. 24322, Sahih)

Waktu Lailatulqadar

Lailatulqadar hanya dianugerahkan Allah SWT pada bulan Ramadan, utamanya adalah pada sepuluh malam terakhir sebagaimana dalam yang direkodkan dalam buku ‘Fatwa dalam Panduan Lengkap Puasa Ramadan Menurut Al-Quran dan Sunnah’. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

“Carilah malam lailatul Qadar pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.”  (HR Bukhari No. 2020 dan Muslim No. 1169)

Utamanya lagi pada malam-malam ganjilnya. Rasulullah SAW bersabda:

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الوتر من الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

“Carilah malam Al Qadar di malam ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.” (HR Bukhari No. 2017)

Dan sangat ditekankan sekali pada malam kedua puluh tujuh (27), sebagaimana berdasarkan hadis Ubay bin Ka’ab riwayat Imam Muslim, nombor 762.

Akan tetapi ini tidak ditetapkan kerana lailatulqadar selalu berganti-ganti pada setiap tahunnya. Abu Qilabah berkata: “Lailatulqadar itu berganti-ganti pada sepuluh terakhir malam-malam ganjil.” (HR Abdurrazaq 4/252, Ibnu Abi Syaibah 3/76)

Al-Hafiz Ibnu Hajar berkata:

“Aku menguatkan pendapat bahawa Lailatulqadar itu pada sepuluh hari terakhir dan berganti-ganti. Para ulama mengatakan: Hikmah tersembunyinya kepastian waktu lailatuqadar itu agar manusia bersungguh-sungguh untuk mencarinya. Seandainya kepastian malamnya diberitahu, maka manusia hanya akan bersungguh-sungguh pada malam itu saja (sedangkan malam lainnya tidak).’” (Fathul Bari 4/266)

Tanda-Tanda Lailatulqadar 

Lailatulqadar dapat diketahui melalui tanda-tandanya yang tertulis dalam kitab Sahih Fiqh as-Sunnah: 2/149-150, antaranya:

1. Cuaca malam itu redup dan anginnya tenang. Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, ia berkata, Rasulullah SAW bersabda:

لَيْلَة الْقَدْرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلْقَةٌ لا حَارَّةٌ وَلا بَارِدَةٌ تُصْبِحُ شَمْسُها صَبِيحَتَهَا ضَعِيفَةً حَمْرَاءَ

“Lailatul qadar adalah malam yang tenang, cerah tidak panas dan tidak pula dingin. Pagi harinya matahari terbit dengan cahaya yang lemah dan berwarna kemerahan.” (HR Thayalisi No. 2802, Ibnu Khuzaimah No. 2192, Disahihkan al-Albani)

2. Ada ketenteraman dan ketenangan pada malam itu yang dibawa turun oleh para malaikat, sehingga manusia merasakan ketenteraman hati, lapang dada dan kelazatan beribadah pada malam itu yang tidak pernah dirasakan pada malam-malam yang lain.

3. Sebahagian orang melihatnya dalam mimpi, sebagaimana pernah dialami oleh sebahagian sahabat Nabi SAW.

4. Pagi harinya matahari terbit jernih tanpa memancarkan sinarnya. Diriwayatkan daripada Ubay bin Ka’ab, Nabi SAW bersabda:

صَبِيحَةَ لَيْلَةِ الْقَدْرِ تَطْلُعُ الشَّمْسُ لا شُعَاعَ لَهَا كَأَنَّهَا طَسْتٌ حَتَّى تَرْتَفِعَ

“Matahari terbit pada pagi lailatulqadar tanpa cahaya menyilaukan seolah-olah seperti bejana hingga tinggi.” (Sahih al-Jami’, No. 3754, Sahih)

Namun, sebilangan masyarakat umumnya mempunyai beberapa mitos dan keyakinan yang rosak tentang tanda-tanda lailatulqadar ini. Amat jelas lagi, ia tidak temaktub dalam mana-mana hadis mahupun riwayat kitab.

Antaranya mitos yang sering disebarkan ialah pada malam itu pohon-pohon sujud, semua daun pokok menghadap kiblat, rasa garam berubah tawar, anjing-anjing berhenti menggonggong, air tetap tidak bergerak walau dibaling batu dan beberapa mitos lainnya yang jelas tiada dalilnya.

Penampilan Terbaik

Dahulu para salafussoleh ketika sepuluh akhir Ramadan, mereka mandi, memakai wangian, mengenakan pakaian terbaik. Imam Ibnu Jarir mengatakan:

كَانُوا يَسْتَحِبُّونَ أَنْ يَغْتَسِلُوْا كُلَّ لَيْلَةٍ مِنْ لَيَالِي العَشْرِ الأَوَاخِرِ

Dahulu mereka (salafussoleh) menyukai mandi setiap malam pada sepuluh malam terakhir.

Tsabit mengatakan:

كَانَ لِتَمِيْمِ الدَّارِي حُلَّةٌ اشْتَرَاهَا بِأَلْفِ دِرْهَمٍ، وَكَانَ يَلْبِسُهَا فِي اللَيْلَةِ الَّتِي تُرْجَى فِيْهَا لَيْلَةُ القَدْرِ

Tamim Ad-Dari memiliki sebuah pakaian yang ia beli berharga seribu dirham. Ia memakainya pada malam yang diharapkan terjadi lailatulqadar.

Hamd bin Salamah berkata:

كَانَ ثَابِتٌ البُنَانِي وَحُمَيْدٌ الطَّوِيْلُ يَلْبِسَانِ أَحْسَنَ ثِيَابِهِمَا وَيَتَطَيَّبَانِ، وَيُطَيِّبُوْنَ المَسْجِدَ باِلنُّضُوْحِ وَالدُخْنَةِ فِي اللَيْلَةِ الَّتِي تُرْجَى فِيْهَا لَيْلَةُ القَدْرِ

Tsabit al-Bunani dan Humaid Ath-Thawil memakai pakaian terbaik mereka, menggunakan minyak wangi dan membuat masjid menjadi harum dengan nudhuh (sejenis minyak wangi) dan gaharu pada malam yang diharapkan terjadi lailatulqadar.

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali berkata:

Jelaslah daripada hal ini bahawa dianjurkan pada malam-malam yang diharapkan terjadi lailatulqadar bersih-bersih, berhias, memperindah dengan mandi, memakai wangian dan mengenakan pakaian yang bagus, sebagaimana disyariatkan hal itu saat acara perkumpulan, hari raya. Demikian pula disyariatkan mengenakan pakaian yang bagus setiap kali solat sebagaimana firman Allah: “Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah setiap memasuki masjid.”

Semoga Allah menganugerahkan kepada kita dengan lailatulqadar pada bulan Ramadan ini. Insya-Allah, terus tingkatkan amal ibadah semata-mata mengharapkan reda dan keampunan Allah hingga kita berjaya meraih takwa sebagaimana yang dikatakan Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Sesiapa berpuasa Ramadan atas dasar iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.”  (HR Bukhari, No. 2014)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

Ayuhlah! Selagi punya kesempatan, kita usahakan mencari dan mengisi malam-malam yang dijanjikan Allah yang ganjarannya melebihi seribu bulan.

Moga kita adalah termasuk dalam golongan hamba-Nya yang bertakwa dan terpilih menemui lailatulqadar, amin Ya Rabbal Alamin.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia