Pasca-PRU15: Terjagakah Mandat Rakyat?

Pasca-PRU15: Terjagakah Mandat Rakyat? | IKRAM

Sehingga kini telah lebih 48 jam setelah rakyat Malaysia selesai mengundi sejak 19 November dan situasi Parlimen masih tergantung.

Lebih 70 peratus daripada 21 juta pemilih berdaftar yang telah mengundi sedang menunggu keputusan blok gabungan parti yang berjaya mengambil alih kuasa membentuk kerajaan pasca-PRU15

Pilihan Raya  Umum ke-15 (PRU15) telah mencatatkan keputusan seperti yang dijangkakan oleh para penganalisis politik iaitu tiada mana-mana gabungan yang memperoleh kemenangan dominan. 

Tiga blok utama yang mendapat keputusan majoriti diungguli oleh Pakatan Harapan (PH) yang memenangi 82 kerusi parlimen, diikuti dengan Perikatan Nasional (PN) sebanyak 73 kerusi dan disusuli oleh Barisan Nasional (BN) yang mendapat 30 kerusi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya membolot kebanyakan kerusi di negeri Sarawak iaitu sebanyak 22 kerusi parlimen, manakala Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperolehi 6 kerusi. 

PRU kali ini memperlihatkan era politik Malaysia menuju kematangan daripada pihak pengundi. Elit politik terutamanya yang telah lama menguasai sebahagian besar landskap politik Malaysia sudah tidak lagi berasa selesa dengan kedudukan masing-masing. 

Malah, sejumlah nama-nama besar dalam politik juga telah ditumbangkan rakyat. 

Bahkan, telah berlaku peralihan undi yang ketara daripada BN dan PH berbanding semasa PRU14, manakala PN muncul sebagai blok politik yang kuat dalam pembentukan landskap parti politik Malaysia. 

Rundingan membentuk kerajaan telah bermula. Ketua-ketua gabungan parti sedari awal  cuba memperlihatkan kekuatan sokongan yang diperolehi kepada umum. Masing-masing ingin memberikan bayangan telah memperolehi mandat terbanyak untuk membentuk kerajaan. 

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah telah menitahkan supaya ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik mengemukakan  gabungan parti-parti politik yang layak membentuk kerajaan baru.

Pertemuan yang sepatutnya berlangsung pada jam 2.00 petang Isnin telah ditangguhkan sehingga esok hari, iaitu pada 2.00 petang Selasa. 

Berdasarkan situasi politik sekarang, BN yang telah mengalami kekalahan teruk dilihat mendapat peluang menjadi ‘kingmaker’ dalam menentukan gabungan kerajaan yang bakal terbentuk.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menutup jalan kerjasama dengan PH dan mendapat sokongan terbuka daripada GPS untuk membentuk kerajaan. Walaupun PN, GPS dan GRS bergabung, namun ia tetap tidak mencukupi untuk beroleh minimum 112 kerusi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu tanpa penyertaan BN. 

Dalam waktu yang sama, BN telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka belum lagi menentukan akan berpakat dengan mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan pusat walaupun telah berunding dengan PH dalam membentuk kerajaan negeri PH-BN di Perak. 

Berikutan ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad dari BN terus mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar lewat petang tadi.  Di DUN Perak, PN memperolehi 26 kerusi, diikuti oleh PH sebanyak 24 kerusi dan BN 9 kerusi. 

Terkini, PN telah mengemukakan Surat Akuan Berkanun (SD) daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jumlah SD yang dihantar dikatakan melebihi 112 tandatangan, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Nampaknya Akta Anti Lompat Parti dilihat tidak mampu mengekang tindakan ahli parlimen yang menang kerusi memberikan sokongan kepada parti politik lain. Jika dulu dirisaukan ahli parlimen lompat parti, sekarang dirisaukan gabungan parti berpakat dengan gabungan parti yang lain.

Akhirnya, urusan pelantikan kepimpinan diserahkan kepada ahli politik sebagai wakil kepada rakyat. Di mana suara rakyat ketika ini? Adakah ia masih dilihat penting sepertimana ketika berkempen untuk PRU? 

Walhal mandat rakyat yang mengangkat mereka sehingga ada yang sanggup mengharungi perjalanan jauh, meredah banjir, basah lencun dalam hujan dan gigih beratur dengan kerusi roda untuk memangkah undi bagi memastikan wakil rakyat mereka menang. 

Percaturan pakatan daripada gabungan-gabungan ini membangkitkan pelbagai reaksi daripada ahli-ahli parti dan para penyokong mereka. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang meluahkan rasa kekecewaan. 

Benarlah tiada musuh mahupun kawan yang kekal dalam politik. Musuh boleh jadi kawan dan kawan boleh jadi musuh dalam perang menentukan jajaran kuasa.

Sejauh mana pakatan ini akan bermanfaat untuk rakyat, ia hanya akan diketahui dalam tempoh pemerintahan selama lima tahun ini. 

Terpenting, kerajaan yang stabil perlu dibentuk dalam waktu terdekat ini kerana tiada parti atau gabungan parti yang dominan di parlimen. Ketidakstabilan dan ketidaktentuan politik di negara ini telah banyak merugikan rakyat dan negara selama ini.

Krisis global semakin menghampiri dan Malaysia harus bersedia untuk mengharunginya. Kerajaan yang bakal ditubuhkan harus bekerja keras untuk memulihkan keadaan rakyat dan negara demi masa depan Malaysia yang makmur dan harmoni.

Mandat jawatan yang diberikan bukan untuk selama-lamanya. Sepertimana disebut oleh penganalisis ekonomi, politik dan hubungan antarabangsa, Herizal Hazri kepada media, “Ketika rakyat membuang undi, bermaksud rakyat telah membuang sebahagian hak mereka sebagai rakyat kepada wakil-wakil rakyat terpilih untuk diuruskan.” 

Ingatlah, rakyat akan menilai perkembangan dari masa ke masa dan kembali menentukan nasib wakil-wakil rakyat ini pada masa akan datang. Moga suara rakyat terangkat lebih tinggi dalam perjuangan yang panjang ini. 

Basmin Maarof

Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia