Tragedi di Persekitaran Sekolah: Seruan Perancangan Ruang yang Prihatin

Tragedi di Persekitaran Sekolah: Seruan Perancangan Ruang yang Prihatin | IKRAM

Kenyataan Media
Wanita IKRAM Malaysia

Tragedi di Persekitaran Sekolah: Seruan Perancangan Ruang yang Prihatin Terhadap Keperluan dan Suara Hati Kanak-kanak

Wanita IKRAM Malaysia menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas rentetan tragedi maut melibatkan murid sekolah baru-baru ini.

Tragedi yang menimpa seorang murid Tahun 2 akibat dilanggar sebuah van di Batu Pahat pada 5 Mei 2026, serta kes Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa (13 tahun) di Kelantan pada April lalu, merupakan peringatan keras bahawa persekitaran sekolah kita masih belum cukup selamat buat anak-anak.

Naratif yang hanya menumpukan kepada kecuaian pemandu adalah satu pengabaian terhadap punca masalah yang lebih besar iaitu kegagalan sistem perancangan persekitaran.

Sebagai sebuah NGO yang membawa nilai rahmah, kita bertanggungjawab memastikan ruang awam tidak meminggirkan keselamatan kanak-kanak. Kita tidak boleh membiarkan kenderaan besar seperti SUV dan van berkongsi ruang sempit yang sama dengan murid tanpa perlindungan fizikal yang jelas.

Tragedi ini bukan sekadar kemalangan. Ia adalah kegagalan sistemik dalam menyediakan persekitaran yang responsif terhadap keperluan mereka. 

Wanita IKRAM menggariskan tiga hujah utama berdasarkan perspektif pakar:

1. Kegagalan titik buta (blind zone)

Kenderaan tinggi seperti SUV mempunyai titik buta hadapan yang luas [1]. Bagi kanak-kanak di bawah aras tiga kaki, atau pelajar yang sedang duduk, mereka menjadi “halimunan” dalam zon maut ini kerana berada di bawah paras penglihatan pemandu.

2. Keperluan psikologi dan reka bentuk yang melindungi

Mengikut standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia, persekitaran jalan raya haruslah bersifat melindungi dan sedia selamat (forgiving environment). Hal ini bermakna, reka bentuk fizikal jalan raya itu sendiri mestilah mampu mencegah kematian atau kecederaan parah walaupun berlaku kesilapan manusia [2].

Tindakan membebankan kanak-kanak untuk sentiasa berhati-hati adalah tidak adil memandangkan sistem persekitaran kita tidak direka untuk melindungi mereka apabila berlaku kesilapan.

3. Kepentingan suara hati kanak-kanak

Audit keselamatan selama ini sering dibuat daripada perspektif orang dewasa semata-mata. Suara hati dan naluri kanak-kanak sangat kritikal untuk memahami titik kebimbangan fizikal serta psikologi mereka yang mungkin terlepas pandang oleh perancang bandar.

Mengambil iktibar model kejayaan luar negara

Wanita IKRAM mendesak kerajaan Malaysia mencontohi keberkesanan model luar negara yang telah berjaya menurunkan kadar kematian secara drastik:

  • Belanda (Aspirasi Sifar Kemalangan – Vision Zero): Melalui konsep Woonerf, Belanda membuktikan kadar kematian kanak-kanak boleh dikurangkan secara besar-besaran apabila jalan raya direka untuk memberi keutamaan mutlak kepada pejalan kaki [3].
  • India (Pune – Urban95): Membuktikan intervensi praktikal seperti penghadang fizikal dan pelebaran kaki lima mampu menyelamatkan nyawa di kawasan yang mempunyai kepadatan trafik yang tinggi [4].

 

Seruan bertindak melalui projek CELOTEH

Bagi menyokong usaha besar kerajaan dalam menjamin keselamatan rakyat, Wanita IKRAM turut berhasrat menyumbang melalui Projek CELOTEH. Walaupun ia merupakan sebuah inisiatif kecil, projek ini membawa misi strategik melalui teknik Cakap, Explore, Lukis, Observe, Terjemah, Empati dan Harapan (C.E.L.O.T.E.H).

Inisiatif ini dirangka untuk mengangkat suara hati kanak-kanak sebagai pelengkap kepada pembentukan polisi awam, sekali gus membantu merapatkan jurang antara perancangan makro orang dewasa dengan keperluan sebenar anak-anak di lapangan.

Penetapan had laju 30 km/j di zon sekolah sebenarnya bukan lagi sekadar teori atau cadangan tempatan. Komitmen besar ini telah pun dipersetujui sebagai polisi nasional oleh Jawatankuasa Kabinet (JKMKKJR) pada Julai 2024, malah mendapat sokongan penuh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pakar-pakar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Keputusan ini bukan sahaja selari dengan Global Plan for the Decade of Action for Road Safety 2021–2030, malah menjadi teras utama dalam Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022–2030.

Justeru, kami mendesak agar pindaan kaedah-kaedah di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 disegerakan bagi menguatkuasakan had laju maksimum 30 km/j di zon sekolah sebagai polisi nasional yang menyeluruh.

Sudah tiba masanya infrastruktur negara tidak lagi bersifat ‘dingin’, sebaliknya mencerminkan kemajuan yang berpaksikan nilai kasih sayang dan keprihatinan. Malaysia harus menjadi sebuah negara yang menjamin setiap anak yang melangkah keluar ke sekolah, dapat pulang semula ke pangkuan keluarga dengan selamat.

Mendengar suara mereka hari ini adalah pelaburan untuk sebuah negara yang lebih manusiawi pada masa hadapan.

Prof. Dr. Norhasmah Sulaiman 
Ketua Wanita 
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

Rujukan:

  1. Kids and Cars (2024). The Danger of Blind Zones and Frontover Tragedies. https://www.kidsandcars.org/how-it-happens/frontover
  2. World Health Organization (WHO) (2022). Global Plan for the Decade of Action for Road Safety 2021-2030. https://www.who.int/publications/i/item/9789240035713
  3. SWOV (2020). Sustainable Safety: 3rd Edition – Principles for Road Safety in the Netherlands. https://swov.nl/en/fact-sheet/sustainable-safety-3rd-edition
  4. Bernard van Leer Foundation (2023). Urban95: Scaling child-friendly urban planning in Pune, India. https://bernardvanleer.org/cases/pune-india-it-takes-a-village-to-build-a-child-friendly-city/

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia