PRU15: Bijaklah Mengundi, Penentu Masa Depan Negara

PRU15: Bijaklah Mengundi, Penentu Masa Depan Negara | IKRAM

Pengundian awal telah dijalankan pada hari Selasa melibatkan anggota tentera, polis serta pasangan mereka dengan tidak kurang daripada 78 peratus yang telah keluar di 50 pusat mengundi. Kini tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum giliran rakyat awam pula turun melunaskan tanggungjawab mengundi pada hari Sabtu ini.  

Kemuncaknya adalah pada keesokannya, Ahad yang akan menentukan kerajaan baharu dan Perdana Menteri Malaysia ke-10. 

Rakyat boleh mula menilai tindakan manifesto yang dilaung-laungkan sebelum ini bagi memenangi hati rakyat. Adakah ia retorik semata-mata atau hasrat telus ahli politik yang sama-sama ingin melihat Malaysia yang lebih baik untuk rakyat dan negara?

Dalam pada itu, para pelabur turut sama juga menunggu  sama ada kerajaan yang baharu dilantik ini akan meneruskan dasar dan polisi sebelum ini ataupun tidak.

Telah dicatatkan sejumlah penarikan modal yang signifikan daripada pelabur luar akibat ketidakstabilan politik dan rasuah di negara ini.

Ujian Mengundi

Sejajar dengan kesuntukan masa yang ada, bendera, poster dan panji parti politik semakin hari semakin banyak dipacakkan memperlihatkan pertarungan sengit. Rakyat sudah mula merasakan debaran. 

Sebilangan pengundi yang mengundi melalui pos berasa gelisah kerana kertas undi masih belum sampai ke tangan mereka. Kerisauan timbul kerana khuatir undian mereka tidak sempat sampai sebelum tarikh akhir.

Media melaporkan melalui tinjauan Jom Undi PRU15, sebanyak 96.7 peratus daripada 339 pengundi pos masih belum menerima undi pos mereka pada tarikh 12 November 2022.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) masih berdiam diri tanpa memberi penjelasan berkenaan dakwaan kelewatan undi pos dan kebocoran data MySPR. 

Cuaca musim tengkujuh yang menyaksikan kejadian banjir di beberapa tempat di seluruh negara turut menimbulkan kecemasan dan dilema kepada para pengundi. 

Media melaporkan bahawa mangsa banjir semakin meningkat dengan 2,984 orang berlindung di 28 pusat pemindahan sementara yang melibatkan enam negeri.

Rakyat berada dalam keadaan terpaksa memilih untuk utamakan keselamatan diri serta keluarga atau tanggungjawab terhadap negara.

Walaupun tempoh waktu mengundi telah dilanjutkan, para pengundi dinasihatkan melakukan persiapan teliti, merancang perjalanan dan waktu mengundi dengan baik ekoran cuaca tidak menentu akhir-akhir ini.

Pengundi Berjiwa ‘Tuan’

Gunakan kuasa lima tahun sekali dengan bijaksana sebagai rakyat yang akan memilih wakil-wakil rakyat yang benar-benar mahu bekerja untuk rakyat dan masa depan negara. Gugurkanlah mereka yang tidak berprestasi dengan baik pada pemerintahan sebelum ini.

Mereka yang terpilih kelak akan masuk dalam saf barisan kepimpinan sebagai penggubal undang-undang, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan bajet dan cukai-cukai baru serta membawa suara rakyat dalam persidangan parlimen.

Seperti yang disarankan oleh ramai bijak pandai, lakukan pemilihan  dengan jiwa besar sebagai ‘tuan’ yang mencari orang-orang selayaknya dalam posisi terpenting negara.

Jangan memilih dengan jiwa ‘hamba’, sekadar mengharapkan pemberian dan manfaat jangka pendek. Jangan juga termasuk dalam pihak yang merajuk kerana muak dengan kerenah ahli politik. 

Tidak mengundi memberikan peluang kepada orang lain mengundi untuk masa depan hidup anda dan generasi mendatang.

Perjuangan memerlukan masa dan sekecil-kecil usaha adalah penting, lebih-lebih lagi apabila digabung bersama usaha orang-orang lain yang mampu memberi impak yang besar. 

Pastikan Maklumat Tepat 

Pilihan raya merupakan lambang demokrasi negara bagi rakyat memilih calon-calon perwakilan melalui pembuangan undi. Malaysia menggunakan sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) yang memberikan kemenangan pada parti yang mendapat undi majoriti.

Susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang telah berkuat kuasa pada Disember 2021 berkaitan Undi18, PRU15 akan datang bakal menyaksikan pertambahan signifikan pengundi baharu lebih 50 peratus melalui pendaftaran automatik kepada pengundi berumur 18 tahun dan ke atas. 

Ini menjadikan pemilih berdaftar dalam rekod SPR terkini adalah seramai 21.2 juta orang.

Anda selaku pengundi yang layak sudah pasti menjadi rebutan parti-parti politik untuk dipengaruhi agar menyokong atau mendukung aspirasi mereka.

Perlengkapkan diri dengan fakta dan data yang betul daripada sumber yang dipercayai agar tidak mudah diracuni atau digula-gulakan. Semak berita yang diperoleh daripada pelbagai sumber sebagai perbandingan.

PRU15: Tiada Parti Dominan

Para penganalisis politik, penyelidik dan jentera-jentera politik dari masa ke masa mengumpul data bagi menganalisis kecenderungan undian rakyat dan membuat jangkaan senario politik yang bakal berlaku.

PRU15 memperlihatkan pertarungan 945 calon yang akan bertanding untuk 222 kerusi parlimen. Kehadiran empat gabungan politik besar pada kali ini memperlihatkan saingan sengit sehingga ada kawasan yang mempertaruhkan sehingga 10 orang calon yang bertanding.  

Pilihan raya ini turut menyaksikan kehadiran calon berprofil tinggi yang mempertaruhkan karier politiknya di kubu kuat pihak lawan. Ini sekali gus memberi bayangan kecenderungan undi rakyat pada calon atau parti.

Situasi ini membuatkan para penganalisis politik membuat telahan bahawa tidak akan ada kemenangan dominan daripada mana-mana parti atau gabungan parti politik walaupun.

Sebaliknya, parti atau gabungan parti ini mungkin perlu membuat penawaran sesama mereka untuk membentuk gabungan yang lebih kuat bagi membentuk kerajaan. 

Tawaran ini tentunya menguntungkan pihak ‘king maker’ yang barangkali melibatkan rundingan kedudukan dan harta menidakkan kepentingan rakyat dan negara.

Maka, pastikan parti yang memiliki barisan calon-calon berperibadian mampu, jujur dan amanah diangkat menjadi kerajaan.

Wakil-wakil tersebut mestilah mampu menjadi pejuang rakyat sebenar sebagai prioriti pertama dan bukan pejuang parti.

Pemimpin sebegini sekiranya dihidangkan peluang dan tawaran yang tidak beretika, ia akan menolaknya walaupun beliau memerlukan atau mahukannya. Malaysia perlukan pemimpin sebegini. 

Rakyat mampu melakukannya dan pernah melakukannya. Suara rakyat yang kuat akan kelihatan penting dan tidak mampu untuk dipinggirkan. Abraham Lincoln pernah mengatakan, “The ballot is stronger than the bullet,” iaitu kuasa undian itu lebih kuat daripada peluru.

Turunlah mengundi sebagai lambang usaha menjadikan masa depan Malaysia yang lebih baik. Mengundi adalah hak rakyat Malaysia.

Ingatlah, dengan tidak mengundi, anda  membiarkan orang lain tentukan masa depan anda. Jadilah sebahagian daripada perwira negara yang melakukan perubahan demi tanah air tercinta melalui undian anda. 

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia