Ada satu perasaan halus yang menyentuh naluri setiap kali kita melihat anak kecil mula meneroka dunia dengan langkah beraninya. Di sebalik kecomelan itu, sebenarnya mereka sedang berhadapan dengan dunia yang saiznya berkali-kali ganda lebih besar daripada mereka.
Namun, tanpa kita sedari, dalam keghairahan merancang kemajuan negara, sudut pandang si kecil ini sering kali tertinggal di belakang tabir. Kita terlalu sibuk membina “untuk” mereka, sehingga kita terlupa betapa pentingnya mendengar dan membina “bersama” mereka.
Memandang dunia dari ketinggian 95 cm
Cuba kita rendahkan sedikit pandangan, biar separas dengan ketinggian tiga kaki mereka. Baru kita akan nampak realiti yang mereka hadapi setiap hari. Di mata anak kecil, koridor bangunan yang megah boleh terasa seperti lorong gergasi yang dingin dan asing.
Berdiri di tepi jalan raya pula bukan sekadar menunggu kenderaan lalu, tetapi ibarat berhadapan deru enjin yang membingitkan, angin kenderaan yang menolak tubuh kecil mereka, serta asap yang menyesakkan pernafasan. Malah, setiap longkang besar yang kita anggap infrastruktur biasa, bagi mereka adalah jurang dalam yang mengancam keselamatan nyawa.
Jurang antara skala dewasa dan realiti kanak-kanak
Dunia yang kita labelkan sebagai “selamat” ini sebenarnya dirancang mengikut skala orang dewasa, manakala anak-anak dipaksa menyesuaikan diri dalam ruang yang tidak direka untuk saiz dan keperluan mereka.
Hakikatnya, pengalaman deria (sensory experience) dan keresahan anak-anak sebegini jarang sekali sampai ke meja rundingan atau mesyuarat polisi pembangunan bandar.
Kita perlu sedar, kanak-kanak bukan sekadar “warga masa depan”, tetapi mereka adalah warga masa kini yang menanggung risiko setiap hari. Inilah jurang yang ingin kita rapatkan, menterjemah kebimbangan mereka menjadi data yang mampu mengubah polisi.
Bukti global: Apabila suara kecil mengubah bandar
Keberkesanan usaha ini bukan sekadar teori, malah telah terbukti melalui transformasi bandar di peringkat dunia. Di Rotterdam, Belanda, melalui projek Child-Friendly City, kerajaan tempatan melaburkan sumber yang besar untuk merancang semula kawasan kejiranan berdasarkan perspektif kanak-kanak.
Mereka tidak hanya membina taman permainan, tetapi melantik “Duta Kanak-kanak” untuk melukis laluan selamat dari rumah ke sekolah.
Hasilnya sangat luar biasa; bandar yang dulunya kaku menjadi lebih “hidup” dengan laluan pejalan kaki yang kreatif, sekali gus berjaya menarik semula ribuan keluarga untuk menetap di pusat bandar dan meningkatkan aktiviti fizikal kanak-kanak secara drastik. (Van der Burgt, 2015)
Begitu juga di New Delhi, India, melalui inisiatif Humara Bachpan, kanak-kanak di kawasan setinggan diberikan kuasa untuk melakukan “pemetaan sosial” di kejiranan mereka. Mereka menandakan lokasi yang dirasakan berisiko dan audit tersebut mendedahkan titik bahaya seperti kawasan semak terbiar dan lorong gelap yang sering menjadi tempat gangguan keselamatan.
Dapatan jujur daripada kanak-kanak ini telah memaksa pihak berkuasa untuk memasang lampu jalan dan membersihkan kawasan semak di lokasi yang tepat. Impaknya, persekitaran mereka bukan sahaja menjadi lebih terang, malah risiko jenayah sosial dapat dikurangkan dengan intervensi yang jauh melebihi sasaran. (Humara Bachpan, 2014)
Sebagai contoh, melalui Inisiatif Urban95 (2020-2022) yang dijalankan di kawasan di sekitar sekolah-sekolah awam dalam bandar Pune, India, pihak berkuasa mula merancang persekitaran dari ketinggian 95 sentimeter, iaitu ketinggian purata seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
Hasilnya, mereka berjaya mengenal pasti risiko pencemaran asap kenderaan tepat pada paras muka kanak-kanak dan kesesakan melampau yang selama ini terlepas daripada radar orang dewasa.
Begitu juga halnya di Bellevue, Amerika Syarikat pada tahun 2021, penglibatan kanak-kanak dalam audit keselamatan jalan raya telah mengubah kod landskap bandar tersebut.
Kanak-kanak mendedahkan bahawa hiasan jalanan yang nampak cantik di mata dewasa sebenarnya menjadi “halangan visual” yang membahayakan nyawa mereka kerana ketinggian aras mata mereka yang terhad. Dapatan jujur ini telah memaksa intervensi keselamatan dilakukan secara lebih tepat dan praktikal.
Projek CELOTEH: Merakam realiti anak
Wanita IKRAM memperkenalkan Projek CELOTEH, satu pendekatan sistematik merakam perspektif kanak-kanak melalui mekanisme Cakap, Explore, Lukis, Olah, Terjemah, Empati dan Harapan.
Inisiatif ini bukan sekadar mendengar luahan santai, tetapi mengumpul “Bukti Berasaskan Realiti Anak”, hujah kukuh yang menggabungkan analisis kualitatif dengan aspirasi tulus mereka dari seluruh Malaysia.
Manifesto Suara Kanak-Kanak yang terhasil merupakan nadi advokasi yang akan menyuntik perspektif baharu ke dalam polisi pihak berkepentingan.
Kita mahu mengangkat suara ini kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, pihak berkuasa, perancang bandar, mahupun pengurusan masjid dan surau agar setiap ruang, dari sekolah hingga ke rumah ibadah, boleh menjadi lebih inklusif. Ia juga satu panduan buat pengusaha taska, tadika dan masyarakat untuk mula melihat dunia dari aras 95 cm.
Matlamat kita jelas, memastikan Malaysia dibina berasaskan realiti pengguna terkecilnya, bukannya sekadar bersandarkan tekaan orang dewasa.
Dr. Safiya Amaran
Pakar Perubatan Kesihatan Awam &
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Malaysia
Nota: Artikel ini ialah artikel pertama Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.
Rujukan:
- Gemeente Rotterdam (2015). Rotterdam: A Child-Friendly City.
- Bernard van Leer Foundation (2023). Humara Bachpan: Turning slums into child-friendly neighbourhoods in India.
- UNICEF (1992). Children’s Participation: From Tokenism to Citizenship (Roger Hart).
- Kyttä, M. (2004). The extent of children’s independent mobility and the number of actualized affordances as criteria for child-friendly environments. Journal of Environmental Psychology.
- United Nations Convention on the Rights of the Child (UNCRC). Article 12: The Right to be Heard.
- City of Bellevue (2021). The Kids’ Perspective on Road Safety: A Child-Led Mobility Audit Report.
- Bernard van Leer Foundation (2020). Urban95 Starter Kit: Ideas for Action in Your City.




