Banjir kilat di Lembah Klang sudah lama dan bukan lagi berita mengejutkan. Ia telah menjadi “norma baharu” yang ditakuti tetapi dijangka, seolah-olah dimasukkan dalam kalendar tahunan rakyat seiring dengan ketibaan musim hujan.
Namun kali ini, ketika beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang sekali lagi dilanda banjir kilat pada 8 Mei 2026 susulan hujan lebat berterusan, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan kepada pengguna jalan raya di Lembah Klang, kesabaran rakyat sudah sampai ke tahap muktamad.
Soalan yang sama diulang-ulang: bilakah “norma” ini akan berakhir?
Kekerapan yang membimbangkan
Data saintifik memperkuat apa yang dirasai rakyat. Menurut pakar klimatologi, Prof. Dr. Fredolin Tangang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), jumlah kejadian banjir di Malaysia meningkat sejak 20 tahun lalu dengan kerugian dianggarkan melebihi RM8 bilion. Di Kuala Lumpur sahaja, kajian menunjukkan intensiti kejadian ribut petir dan hujan ekstrem meningkat sebanyak 30 peratus sejak 30 tahun lalu.
Lebih membimbangkan, saintis menjangkakan kondisi ekstrem tersebut akan semakin memburuk dalam tempoh 20 tahun ke hadapan. Hal ini demikian kerana setiap satu darjah peningkatan suhu dunia akan meningkatkan tujuh peratus kelembapan di atmosfera lalu meningkatkan kekerapan episod cuaca ekstrem seperti banjir kilat.
Hal ini bermakna banjir kilat bukan sekadar masalah hari ini, bahkan ia akan semakin parah jika tiada tindakan drastik dilaksanakan sekarang.
Punca utama banjir kilat
Masalah ini bukan disebabkan alam semula jadi semata-mata. Campur tangan manusia memainkan peranan yang tidak boleh diabaikan.
Sistem perparitan yang tidak efisien dikenal pasti menjadi salah satu punca utama, dengan banyak parit dan longkang yang sempit, cetek atau dipenuhi sampah menyebabkan aliran air tersekat dan akhirnya melimpah ke jalan raya serta kawasan perumahan.
Pembangunan pesat tanpa kawalan turut menyumbang kepada masalah ini. Banyak projek perumahan dan komersial tidak dilengkapi pelan mitigasi banjir yang lengkap, sementara kawasan tadahan air semula jadi seperti paya dan hutan pula telah digantikan dengan permukaan konkrit.
Fenomena air pasang besar turut menyebabkan paras air sungai meningkat, manakala kekurangan kesedaran awam dalam kalangan penduduk yang sering membuang sampah ke dalam longkang atau parit menyebabkan sistem saliran dan perparitan tersekat. Kesemua perkara ini menjadi satu kitaran ganas yang memperburuk keadaan setiap kali hujan lebat turun.
Apa solusinya?
Persoalannya kini ialah: apa yang boleh dan perlu dilakukan oleh kerajaan, sama ada pusat atau negeri?
Pertama, menaik taraf infrastruktur saliran secara menyeluruh. Tindakan ini merupakan langkah paling asas namun paling kritikal.
Contohnya, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah menyediakan Pelan Tindakan Mitigasi Banjir yang dikenali sebagai KLASS, dengan pelaksanaan fasa pertama bermula 2025 hingga 2030, bertujuan menaik taraf sistem saliran utama perbandaran ke arah reka bentuk yang boleh menanggung banjir sekurang-kurangnya 20 tahun.
Langkah ini perlu diperluas ke seluruh kawasan Lembah Klang, bukan hanya Klang semata-mata, dan dilaksanakan dengan penuh komitmen tanpa tangguh.
Kedua, membina Terowong SMART kedua. Terowong SMART yang sedia ada terbukti tidak lagi mencukupi untuk menangani isipadu air yang semakin besar.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menerima beberapa cadangan daripada syarikat swasta untuk membina Terowong SMART kedua di Lembah Klang bagi mengatasi isu banjir yang semakin teruk. Cadangan baik ini perlu dikaji dengan serius dan dipercepat prosesnya.
Ketiga, mengawal pembangunan hartanah secara lebih ketat. Setiap projek pembangunan baharu perlu diwajibkan menyertakan kajian impak hidrologi yang telus, memastikan sistem perparitan yang mencukupi serta mengekalkan kawasan hijau dan tadahan air dalam pelan susun atur bangunan.
Kelulusan OSC (Pusat Setempat) di pihak berkuasa tempatan perlu mengambil kira risiko banjir sebagai kriteria mandatori, bukan sekadar formaliti.
Keempat, menggunakan teknologi untuk ramalan dan amaran awal. Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam meramalkan cuaca perlu diperkenalkan bagi menaik taraf sistem ramalan banjir di Malaysia, berserta penggunaan pemetaan kawasan berisiko banjir berdasarkan data satelit dan Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta penggunaan dron bagi memantau kawasan banjir.
Amaran awal yang lebih tepat dapat mengurangkan kerugian nyawa dan harta benda secara signifikan.
Kelima, mendidik masyarakat dan mengukuhkan penguatkuasaan. Selagi masyarakat masih membuang sampah ke dalam longkang dan parit, selagi itulah masalah banjir akan berterusan walaupun infrastruktur terbaik dibina.
Kempen kesedaran alam sekitar perlu dipergiat, manakala denda terhadap pembuangan sampah merata-rata perlu dikuatkuasakan dengan lebih tegas dan konsisten.
Atasi kegagalan sistem
Banjir kilat di Lembah Klang adalah cermin kepada kegagalan sistem; kegagalan perancangan bandar, kegagalan penguatkuasaan undang-undang dan kegagalan dalam menghadapi realiti perubahan iklim yang semakin nyata.
Ia bukan takdir yang tidak boleh diubah. Jepun, Belanda dan Singapura pernah berhadapan dengan masalah serupa, tetapi mampu mengatasinya dengan pelaburan infrastruktur jangka panjang yang berani dan tadbir urus yang telus.
Malaysia perlu belajar daripada pengalaman tersebut. Banjir kilat tidak akan berhenti dengan sendirinya, bahkan ia memerlukan keberanian politik, peruntukan kewangan yang serius dan komitmen pelbagai agensi kerajaan yang bersepadu untuk bertindak sekarang, bukan esok.
اللهم صيّبًا نافعًا اللَّهُمَّ اجْعَلْهَا سُقْيَا رَحْمَةٍ وَلاَ تَجْعَلْهَا سُقْيَا عَذَابٍ
“Ya Allah, turunkanlah hujan yang bermanfaat. Ya Allah, jadikanlah ia hujan rahmat dan bukan hujan azab.”
Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti
Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan
- IPSAS UPM – Perubahan cuaca
- Dewan Negeri Selangor
- BH – SMART Kedua
- Dewan Kosmik – Sistem Amaran Awal




