Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu kes yang mencabar perikemanusiaan. Seorang isteri dipukul oleh suaminya menggunakan penyangkut baju, getah paip, batang besi langsir serta batang penyapu hingga patah. Akibat kekejaman itu, mangsa mengalami keguguran dan cedera parah.
Kes ini tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan ramai. Namun di sebalik kemarahan itu, timbul satu persoalan yang lebih mendalam, apakah yang telah berlaku kepada pemahaman lelaki tentang peranannya sebagai suami dalam Islam?
Islam tidak pernah memberikan suami “lesen” untuk menyakiti isteri. Sebaliknya, al-Quran meletakkan lelaki pada satu kedudukan yang penuh tanggungjawab, bukan kekuasaan. Kedudukan itu disebut dengan satu perkataan yang sering disalah erti, iaitu qawwam.
Makna qawwam yang sebenar
Firman Allah dalam Surah an-Nisa’, ayat 34 bermaksud:
“Kaum lelaki ialah ‘qawwam’ terhadap kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka telah membelanjakan sebahagian daripada harta mereka.”
Ramai yang memahami qawwam sebagai “berkuasa penuh”, sedangkan perkataan qawwam itu sendiri berasal daripada akar kata qaama yang bermaksud berdiri; bukan duduk berehat, bukan menunggu. Ia memberi maksud berdiri teguh, konsisten dan aktif dalam menjaga.
Ini bermakna seorang suami yang benar-benar qawwam ialah seorang yang sentiasa hadir melindungi, tidak lepas tangan ketika susah dan tidak bertukar-tukar mengikut emosi dan perasaan.
Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan bahawa qawwam bermaksud seseorang yang menguruskan hal ehwal dan memenuhi keperluan wanita, bukan gelaran kebesaran tetapi amanah yang menuntut pengorbanan berterusan.
Al-Qurtubi dalam Al-Jami’ li Ahkam al-Quran pula mentafsirkan qawwamun sebagai yaqūmūna bi al-nafaqati ‘alayhinna wa al-dhabb ‘anhunna, iaitu menanggung nafkah isteri sekali gus mempertahankan serta melindunginya.
Perkataan adh-dhabb bermaksud menghalang sebarang mudarat daripada menimpa isteri, bukan mendatangkan mudarat kepada isteri. Justeru, qawwam bukan kuasa untuk mendominasi. sebaliknya merupakan tanggungjawab yang berat yang akan dipersoalkan di hadapan Allah.
Pemahaman akidah yang benar tentang qawwam ini penting kerana ia berpunca daripada keyakinan bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Lelaki yang memahami bahawa kedudukannya sebagai qawwam adalah amanah daripada Allah, sudah tentu tidak akan menyalahgunakannya.
Teladan Rasulullah SAW
Tiada contoh yang terbaik tentang makna qawwam selain daripada peribadi Rasulullah SAW sendiri. Saidina Anas meriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab (nombor 6161), bahawa dalam sebuah perjalanan, Rasulullah SAW menegur jurupandu untanya yang bernama Anjasyah yang bermaksud:
“Perlahan-perlahan wahai Anjasyah! Sesungguhnya kamu sedang membawa kaca-kaca.”
Apa yang dimaksudkan dengan “kaca-kaca” itu ialah para isteri baginda yang sedang menunggang unta. Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari menjelaskan bahawa Rasulullah SAW memerintahkan Anjasyah berhati-hati agar para wanita tidak terjatuh.
Sekadar kelajuan unta pun baginda mengambil berat demi memastikan isteri tidak tersakiti. Inilah akhlak qawwam yang sebenar, iaitu bukan lantang menuntut hak, tetapi senyap menunaikan tanggungjawab perlindungan.
Ibadah dalam perlindungan
Seorang suami yang melaksanakan tanggungjawab qawwam dengan ikhlas sebenarnya sedang menunaikan satu bentuk ibadah yang akan dihisab di hadapan Allah. Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari (893) dan Imam Muslim dalam Sahih Muslim (1829) yang bermaksud:
“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan ke atas apa yang dipimpinnya.”
Suami yang menjaga, melindungi dan memberi nafkah kepada isteri dengan penuh keikhlasan sedang mengerjakan ibadah yang mulia. Sebaliknya, suami yang menzalimi isteri bukan sahaja gagal sebagai qawwam, bahkan sedang mengumpulkan dosa yang akan dipersoalkan di hadapan Allah Yang Maha Adil.
Syariah menetapkan batasnya
Syariah Islam amat jelas dalam menetapkan hak dan kewajipan suami isteri. Allah berfirman dalam Surah an-Nisa’, ayat 19 yang bermaksud:
“Dan bergaullah dengan mereka secara baik.”
Perintah ini bukan sekadar saranan, namun kewajipan yang mengikat setiap suami. Tiada ruang dalam syariah untuk suami menyakiti, mengancam atau mendera isteri atas alasan apa sekalipun. Kes yang tular itu adalah bukti nyata berlakunya pelanggaran syariah dalam sebuah institusi yang sepatutnya dibina atas asas kasih sayang dan rahmat.
Qawwam dan kerangka AISAR IKRAM
Pertubuhan IKRAM Malaysia melalui kerangka Asas Islam Rahmah (AISAR) mengukur penghayatan Islam seseorang Muslim merentasi lima domain iaitu Akidah, Ibadah, Syariah, Akhlak dan Rahmah. Kes keganasan rumah tangga seperti yang tular ini sebenarnya mencerminkan kegagalan dalam kesemua lima domain AISAR serentak.
Akidahnya rapuh kerana tidak meyakini Allah melihat setiap perbuatannya. Ibadahnya tidak membentuk jiwa kerana solat dan amalan tidak meresap menjadi akhlak. Syariahnya dilanggar kerana mu’asyarah bil ma’ruf (bergaul dengan cara baik) ditinggalkan.
Akhlaknya jauh daripada sunnah Rasulullah SAW yang memuliakan isteri. Apa yang paling menyedihkan ialah dimensi Rahmah, iaitu rahmat dan kasih sayang sebagai teras Islam, tidak wujud serta tidak disemai dalam rumah tangga itu.
Inilah yang IKRAM perjuangkan melalui AISAR, iaitu membentuk Muslim yang perlu menghayati konsep Islam secara menyeluruh dan bersepadu, bukan sekadar ritual tanpa roh. Seorang suami yang benar-benar menghayati AISAR tidak mungkin mengangkat tangan menyakiti isteri, kerana dia sedar bahawa qawwam bukan kuasa yang dipegang, tetapi amanah yang akan dipersoalkan.
Kes yang meruntun perasaan ini sepatutnya menjadi cermin bagi setiap suami. Bukan untuk menghukum, tetapi untuk bertanya kepada diri sendiri, “sudahkah saya benar-benar berdiri sebagai qawwam sebagaimana yang Allah perintahkan dan Rasulullah SAW contohkan?” Takutlah kepada Allah, dan jagalah “kaca-kaca” yang Allah titipkan dalam jagaan kamu.
Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia




