Tarbiah Ramadan Dalam Menangani Cabaran Umat

Tarbiah Ramadan Dalam Menangani Cabaran Umat | IKRAM

Ramadan mengajar kita mendisiplinkan diri. Ramadan adalah antara bulan-bulan contoh bagaimana seseorang itu sepatutnya mendisplinkan diri, iaitu mentarbiah diri agar kita seakan-akan lahir seperti manusia yang baru daripada acuan Ramadan ini.

Sebab itulah ulama-ulama Mesir sebagai contoh, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi berkata dalam ucapannya:

كونوا ربانيين ولا تكونوا رمضانيين

Jadikan diri kamu itu orang yang dibentuk sebagaimana Allah SWT kehendaki. Bukan golongan yang semasa Ramadan sahaja aktif, selain daripada bulan Ramadan diri mereka jadi seperti biasa.

Akan tetapi, yang lebih tepatnya lagi berdasarkan tuntutan Ramadan itu adalah:

كونوا متقين ولا تكونوا رمضانيين

Hendaklah kamu menjadikan diri kamu golongan muttaqin (orang-orang bertakwa) sepanjang hidup sebagaimana firman Allah SWT dalam ayat 197 Surah al-Baqarah:

وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَىٰ

“… Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah takwa…”

Inilah antara bulan yang mana umat Islam membuat persiapan menghadap Allah SWT. Jadi, kita diperintahkan menyiapkan diri kita dengan sebaik-baik persiapan iaitu takwa. Begitu juga sebagaimana yang diperkatakan Saidina Umar bin al Khattab RA:

ليس بيننا وبين الله نسب إلا التقوى

“Tiada hubungan antara kita dengan Allah melainkan dengan takwa.”

Oleh sebab itu kita perlu mempersiapkan diri kita dengan takwa sebagaimana dalam al-Quran juga menyebutkan:

لعلكم تتقون

Supaya kamu menjadi golongan yang muttaqin, dan itulah yang penting.

Istilah takwa daripada sudut pandangan ulama bermaksud sentiasa menyelamat atau menyisihkan dirinya daripada apa yang dilarang oleh Allah SWT.

Sebagai contoh lain, ia sentiasa memelihara dan menyelamatkan dirinya daripada duri-duri jalanan atau daripada bahaya-bahaya kehidupan. Dan inilah bahaya yang boleh melempar manusia itu ke dalam neraka.

Jadi, yang perlu kita sebagai hamba-Nya lakukan, buat suruhan dan jauhkan daripada tegahan dan larangan-Nya supaya dengan demikian, kita boleh menjamin kedudukan kita, termasuk dalam golongan-golongan yang bertakwa, hingga akhirnya kita boleh menjadi golongan yang memperolehi balasan syurga-Nya.

Umat Islam perlulah beramal sebagaimana diperintahkan pada bulan Ramadan. Mereka perlu aktif dengan amal-amal soleh. Selain daripada puasa itu sendiri, diteruskan dengan tilawah atau tadarus al-Quran, qiamullail, zikir, sedekah, pengorbanannya atau yang lain-lainnya.

Ia sentiasa menghalang dirinya daripada nafsunya, menghalang dirinya daripada perkara yang membatalkan puasanya serta sentiasa memelihara dirinya daripada seluruh perkara yang membahayakan masa depannya di sisi Allah SWT.

Jadi, inilah perkara yang Allah berikan contoh untuk seseorang itu memperkuatkan dirinya, menjadikan mereka mempunyai bekalan untuk berhadapan dengan Allah SWT.

Sebenarnya tarbiah Ramadan ini, umat Islam perlukannya sepanjang zaman, sepanjang masa, namun adakah mereka apabila disebutkan tarbiah ini, merasakan terlambat daripada apa yang sepatutnya dilakukan oleh umat Islam?

Dewasa ini, umat Islam berhadapan dengan cabaran yang amat dahsyat. Boleh jadi,  amal-amal yang ada ketika ini tidak mencukupi untuk menangani cabaran tersebut.

Kesimpulannya, situasi yang sedang dihadapi umat Islam masa kini, iaitu perkara tersebut boleh ditangkis sebagaimana istilah yang digunakan  ‘صفقة القرن’ atau ‘deal of the century’ iaitu sesuatu usaha-usaha besar yang nak dipaksakan oleh Amerika, kuasa dunia terhadap umat Islam.

Sepatutnya perkara ini boleh ditangkis oleh mereka sekiranya umat Islam itu berada dalam keadaan yang kuat dan kekuatan umat Islam itu akan kuat apabila telah terbina dengan sebaik-baiknya dan memiliki persiapan yang secukupnya.

Soalnya, umat Islam berdepan dengan cabaran ini dan masih berada dalam persimpangan perjalanan hidup ini. Umat Islam masih lemah, bergaduh sesama sendiri, sering berpecah-pecah, berdepan dengan pelbagai masalah kehidupan dan pelbagai ancaman dalam perjalanan sejarahnya.

Sedangkan cabaran ini sudah mula timbul. Jika sebelum ini sebagai contohnya, Deklarasi Balfour diisytiharkan, umat Islam dalam keadaan lemah dan tidak mampu menangani perkara ini.

Segala ini dimajukan oleh Amerika didokong oleh Eropah dan ia memaksakan dunia Arab untuk menyokongnya. Begitu juga negara-negara kuasa dunia yang lain seperti Perancis, Britain dan juga China kerana yang menjadi korbannya adalah umat Islam.

Jadi, jika umat Islam telah mempunyai persiapan yang cukup tentunya ia mampu ditangani. Sesungguhnya, keadaan ini masih jauh. Usaha-usaha umat Islam untuk memperbaiki diri adalah perlu dan wajar. Umat Islam juga perlu sering diingatkan tentang Ramadan, akhlak-akhlak yang diunjurkan oleh Ramadan.

Adakah usaha-usaha itu sudah cukup kuat bagi mendepani cabaran yang dihadapi oleh umat Islam kini? Walaupun sebenarnya kita tiada pilihan kerana kita lahir dalam situasi begini. Mahu atau tidak, umat Islam perlulah berusaha dan serahkan kepada Allah SWT selebihnya, kerana Dia yang menentukan segalanya.

Usaha dan cabaran yang dihadapi umat Islam amat besar, walaupun persiapan Ramadan dalam keadaan yang paling sempurna, ia boleh mengangkat seseorang itu ke satu tahap, namun untuk menangani cabaran tersebut ia memerlukan usaha daripada negara Islam ini, usaha daripada umat keseluruhannya dalam bentuk yang bersatu.

Negara Islam cuba dilemahkan, umat Islam cuba dipecahkan, peribadi seorang Islam itu cuba dirosakkan. Jadi, bagaimana untuk kita mendepani cabaran tersebut jika ketiga-tiga komponen ini tidak diselamatkan?

Itulah situasi yang umat Islam berada di dalamnya pada masa kini. Mahu atau tidak, kita terpaksa melalui laluan tersebut. Peribadi seorang Islam itu perlu diperbaiki dan disempurnakan, negara umat Islam ini perlu dibangunkan dan umat Islam itu sendiri perlu disatukan kerana itu adalah laluannya.

Supaya dengan demikian, umat Islam boleh berhadapan dengan cabaran-cabaran yang akan timbul. Ia bukan mudah dan amat sukar, ia memerlukan keazaman yang tinggi, kesabaran yang panjang serta kerja-kerja keras yang berterusan.

Perkara-perkara itu perlu dipersiapkan bagi membolehkan umat Islam mencapai apa yang diinginkan dan waktu itu, umat Islam boleh hidup melayari bahtera Ramadan dalam suasana tenang tanpa ancaman dan boleh melaksanakan kegiatan-kegiatan amal soleh sebagaimana yang diperintahkan.

Umat Islam perlulah menampakkan kepekaan mereka terhadap isu yang dihadapi umat Islam di tanah air dan di dunia serta perlulah peduli dengan nasib yang dihadapi mereka.

Kita jangan lupa tetapi perlu terus-menerus menghayati isu umat Islam sepanjang hidup ini serta menyedari bahawa agenda musuh umat Islam sentiasa berjalan. Kepedulian terhadap isu-isu dan tragedi-tragedi yang berlaku terhadap umat perlu diangkat.

Pada bulan Ramadan ini, umat Islam perlu menjadikannya sebagai langkah untuk kita memperkuatkan diri, hubungan dengan Allah SWT, mempereratkan hubungan dengan jiran tetangga, masyarakat di dalam dan luar negara. Supaya akhirnya, kita akan nampak jalan keluar kebangkitan umat pada masa hadapan.

Teruskan terokai jalan keluar dan tidak putus asa kerana apa yang membunuh usaha perjuangan umat ini yang pertamanya ialah sikap putus asa. Bagaimanapun keadaannya, umat Islam perlu berhadapan cabaran tersebut dan jangan sesekali berputus asa, seharusnya mempertingkatkan keazaman, usaha dan meyakini bahawa jalan keluar itu pasti ada.

Rasulullah SAW bersabda:

أَتَاكُمْ رَمَضَانُ شَهْرٌ مُبَارَكٌ

“Kamu didatangi Ramadan, ia merupakan bulan barakah…” (HR Nasa’i dan Ahmad)

Allah SWT akan melindungi hamba-Nya yang berpuasa Ramadan. Dia akan menurunkan rahmah, menggugurkan dosa-dosa hamba-Nya yang berpuasa, dan Dia akan memperkenankan doa-doa hamba-Nya yang meminta. Selain itu, Allah akan melihat persaingan hamba-Nya pada bulan ini dan Dia akan berbangga dengan hamba-Nya melalui pandangan malaikat-Nya.

Jadi, kita perlu ingat bahawa bulan Ramadan ini bulan barakah, bulan yang penuh kebaikan dan sebab itulah kita hendaklah mengambil kesempatan untuk meningkatkan kedudukan diri kita, mempertingkatkan bekalan-bekalan yang akan kita bawa untuk dipersembahkan kepada Allah SWT pada akhirat kelak.

Pahala puasa adalah berbeza dengan pahala yang lain-lainnya kerana yang betul-betul tahu seseorang itu berpuasa atau tidak hanyalah Allah. Kita menahan diri, tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang yang akan membatalkan puasa, dan hanya Allah sahaja yang tahu.

Sebagai contoh, siapa yang tahu kalau kita tidak makan? Kalau seseorang itu masuk bilik atau masuk dapur, tiada yang tahu ia makan, orang lain tidak nampak. Tetapi Allah tahu. Jadi, kita lakukan semua ini kerana Allah SWT.

Sebagaimana Rasulullah SAW bersabda:

كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به

“Allah berfirman, ‘Semua amal anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Hanya orang yang cerdik dan bijak sahaja tentunya mengambil peluang yang ditawarkan Allah ini. Umat Islam perlu menjadikan puasa ini sebagai sebahagian rujukan tarbiah diri. Apa yang perlu dilakukan agar diri menjadi kuat, terasuh, ketika di depan dan belakang sama tanpa kehadiran manusia, tetapi kehadiran Allah SWT tetap kekal dalam keadaan yang sama.

Moga dengan berpuasa ini akan meningkatkan keimanan dalam diri, menjadikan kita golongan muttaqin dapat terbentuk sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT, membela diri, membela keluarga, membela umat Islam serta menjadi contoh kepada mereka.

Sumber: Tazkirah khas Ramadan oleh Presiden IKRAM kepada kakitangan Ibu Pejabat IKRAM, Rabu, 8 Mei 2019.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia