Tinggal sembilan hari sahaja lagi sebelum tiba hari mengundi bagi rakyat Malaysia pada 19 November ini.
Tarikh ini bakal mencatatkan sejarah terpenting iaitu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), penentu pihak mana yang akan menang menjadi blok kerajaan dan kalah menjadi blok pembangkang.Â
Anda sudah tahu calon mana yang perlu diundi? Mungkin masih menjadi pertanyaan, adakah perlu utamakan parti atau calon dahulu? Mana yang menjadi keutamaan?Â
Sebelum mencari jawapan bagi persoalan ini, kita perlu fahami sistem pilihan raya umum yang diamalkan Malaysia.
Pilihan raya Malaysia melalui sistem First-Past-The-Post (FPTP) menentukan pihak yang berhak untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat atau negeri berdasarkan jumlah majoriti perwakilan (kerusi) yang terbanyak oleh parti tersebut.
Ini bermaksud, undian popular tidak dapat menaikkan parti untuk diangkat sebagai kerajaan.
Dalam PRU13, Pakatan Rakyat yang merupakan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) mendahului undian popular sebanyak 52 peratus berbanding Barisan Nasional (BN) yang beroleh 37.3 peratus.Â
Walau bagaimanapun, berdasarkan sistem FPTP yang digunakan dalam pilihan raya, BN beroleh 133 kerusi dengan 49.9 peratus majoriti berbanding Pakatan Rakyat yang beroleh 89 kerusi iaitu 40.9 peratus, maka BN layak membentuk kerajaan pusat. Â
Jelas di sini, dalam konteks untuk memenangkan parti menjadi kerajaan yang bakal memerintah, pengundi harus utamakan memilih parti.Â
Dari sini datangnya kempen parti politik yang membawa persepsi satu undi anda adalah undi kepada Perdana Menteri (PM) yang dimahukan.
Maka, mana-mana parti atau gabungan harus mengetengahkan tokoh pemimpin calon PM yang berwibawa untuk memerintah Malaysia demi masa depan yang lebih baik.
Kestabilan dan kematangan politik adalah elemen penting dalam bagi kemajuan serta pemulihan ekonomi sesebuah negara.
Negara ini pernah menyaksikan tiga Perdana Menteri dalam satu penggal yang jelas menggambarkan imej kemelut politik dalam negara ini dan sekali gus memberi kesan kepada ekonomi kerana menakutkan pelabur luar.
Krisis politik harus diakhirkan melalui kerjasama yang telus antara parti-parti politik demi kebaikan rakyat dan negara.
Bersetuju untuk berbeza pandangan, namun jangan berseteru hingga mengganggu pembangunan, kedamaian dan menimbulkan kegelisahan.
Akhirnya rakyat yang terkesan merana. Rakyat sudah muak dengan sketsa politik yang mendatangkan kerugian dan menguji kesetiaan rakyat terhadap kepimpinan.
Malaysia pernah digelar The Tiger of Asia atau Harimau Asia pada tahun 1990an. Akhir-akhir ini negara diketawakan sebagai negara korupsi paling teruk, suatu yang sangat mendukacitakan dalam membawa negara ini maju ke hadapan.Â
Justeru itu, rakyat Malaysia perlu mengundi parti yang menampilkan calon Perdana Menteri (PM) serta barisan calon perwakilan yang berwibawa untuk menguruskan rakyat dan mentadbir negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan.
Barisan kepimpinan ini yang akan terlibat dengan proses penggubalan undang-undang, menyemak setiap dasar, belanjawan dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan bagi memastikan perancangan yang dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Kabinet kementerian tidak bergantung kepada kepimpinan Perdana Menteri sahaja, tetapi ia dipacu oleh Jemaah Menteri dan dibantu oleh para perwakilan di peringkat Parlimen dan DUN.
Pengundi berhak memberi tekanan kepada parti-parti yang bertanding agar menampilkan wakil rakyat yang berkemampuan, amanah dan jujur untuk mewakili dan membawa suara rakyat dalam parlimen.
Parti yang tidak dapat membawa calon-calon yang berkelayakan tidak seharusnya berani menawarkan khidmat untuk rakyat. Calon-calon yang terpalit dengan isu salah laku moral dan korupsi perlu digugurkan.
Satu undi mungkin kelihatan lemah dan tidak kuat, namun apabila undi yang satu ini bergabung dengan undian lain dari parti yang sama, ia berupaya memberikan kemenangan majoriti kepada calon yang dipangkah untuk beroleh mandat kepimpinan.
Negara ini memerlukan kepimpinan yang telus dalam perjuangannya, bukan mereka yang mementingkan diri, kroni dan kuasa semata-mata.
Benarkan diri memilih pemimpin yang mampu, jujur dan amanah sahaja dalam PRU15 ini. Pastikan yang terangkat adalah yang menjadikan suara rakyat Malaysia sebagai asas perjuangan demi Malaysia yang lebih baik.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Penyiaran dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia