Calon PRU15: 3 Ciri Pemimpin Yang Harus Ada – Presiden IKRAM

Calon PRU15: 3 Ciri Pemimpin Yang Harus Ada – Presiden IKRAM

Seorang pemimpin terpilih apabila dilihat mempunyai kemampuan, sikap dan keperibadian yang mampu bekerjasama mencapai ke arah suatu matlamat.

Pernahkah kita fikirkan bagaimana hebatnya suatu kepimpinan sehingga boleh mentransformasikan pengikutnya ke arah kebaikan, kemajuan, hingga menjadi sama-sama kuat membangun bersamanya?

Seandainya ada pemimpin sebegini, maka Malaysia akan mampu menjadi sebuah negara yang makmur, sejahtera dengan kekayaan sumber yang ada, ditambah lagi dengan rakyat yang baik. 

PRU15 Medan Memilih Pemimpin

Kira-kira 28 hari lagi rakyat Malaysia bakal memilih pemimpin yang akan menerajui kerajaan. Ini bermakna rakyat akan mempertaruhkan satu undi mereka dan satu undi inilah yang akan bergabung menjadi majoriti yang akan mendapat mandat bagi membentuk kerajaan.

Inilah sistem yang diamalkan di Malaysia iaitu demokrasi berparlimen melalui pilihan raya.

Parlimen merupakan badan perundangan bagi kerajaan persekutuan yang membuat undang-undang untuk dikuatkuasakan di seluruh negara.

Di samping itu, Parlimen turut berfungsi meluluskan undang-undang, memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan bajet kerajaan dan perkara-perkara berkaitan kepentingan orang ramai turut dilaksanakan di peringkat parlimen. 

Ciri-ciri Calon Pemimpin

Rakyat harus sedar undi dalam pilihan raya akan menjadi penentu nasib mereka kelak apabila kerajaan ini dibentuk.

Adakah kerajaan ini akan menjaga kepentingan rakyat atau kerajaan yang memerintah kelak mengamalkan rasuah di sana sini dan akan mengakibatkan rakyat tertekan dan menderita?

Pada 5 November nanti, pelbagai parti dan perikatan bakal menyenaraikan calon masing-masing untuk bertanding dan bakal dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum. Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada calon PRU15 ini yang seharusnya diundi oleh rakyat?

Di sini digariskan tiga ciri utama yang perlu ada pada calon. Tiga ciri inilah yang perlu menjadi elemen utama pertimbangan rakyat untuk diundi. 

Pertama – Berkemampuan

Berkemampuan bermaksud seseorang pemimpin yang terkumpul segala kebolehan, keupayaan, kemahiran, ilmu, prinsip, disiplin dan mempunyai kecekapan.

Dengan kata lain, seorang pemimpin yang berkemampuan mempunyai segala kemampuan yang membolehkannya melalui kerjasama orang yang ditadbirnya, melaksanakan tanggungjawab kepimpinan yang cemerlang dan terkedepan.

Seseorang yang dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna sudah tentu layak diangkat sebagai pemimpin. Pemimpin yang baik dan berpengaruh akan dapat melahirkan lebih ramai pemimpin di bawah pentadbirannya. 

Kedua – Amanah

Ciri kedua ialah amanah yang menjadi lambang watak berIntegriti. Amanah adalah asas keperibadian yang mendapat kepercayaan pengikutnya. Kepercayaan tidak boleh diminta tetapi ia terbina.

Mustahak bagi seorang pemimpin dipercayai atas kata-katanya yang seiring dengan perlakuannya. Rasuah, khianat, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan harta tidak harus terkait dengannya kerana ia mampu merenggut segala status kepercayaan yang telah dibina.

Ketiga – Jujur

Jujur merupakan sifat ketiga yang menjadi pengukuh kepada sifat amanah. Sifat jujur ini bertembung dengan sifat-sifat bermuslihat, berdusta dan berbohong yang merosakkan serta membawa kepada kehancuran.

Gandingan dua sifat ini iaitu jujur dan amanah memberikan kredibiliti kepada seorang pemimpin.

Jujur dan amanah merupakan dua ciri tertinggi yang menyerlah dalam setiap profil kepimpinan individu yang berjaya menurut Kouzes dan Posner, iaitu dua pengkaji Barat yang terkenal dan berpengalaman lama dalam kajian kepimpinan.

Berkemampuan, amanah dan jujur merupakan tiga sifat asas seorang pemimpin yang harus ada tapi sukar terkumpul dalam watak seseorang pemimpin.

Pemimpin Adalah Cerminan

Sifat berkemampuan, amanah dan jujur perlu sentiasa tersemat di minda pengundi bahkan juga perlu disematkan dalam minda kepimpinan parti dalam menentukan calon-calon mereka kelak. Tiada tempat bagi mereka yang tidak memiliki sekurang-kurangnya tiga ciri ini.

Pemimpin adalah cerminan pengikutnya dan begitu juga sebaliknya. Seorang pemimpin yang berwibawa akan diapit kuat oleh orang-orang yang turut membawa nilai integriti yang tinggi.

Kuasa yang diamanahkan pada kepimpinan negara sangat besar dalam mentadbir masyarakat dan negara.

Mereka memegang dan menggenggam lingkaran kuasa dan pengaruh terpenting. Maka, adalah mustahak agar kuasa kepimpinan hanya diberikan kepada mereka yang mempunyai ketiga-tiga ciri ini.

Guna Kuasa Memilih

Proses pilihan raya umum yang berlangsung boleh dianggap sebagai proses temu duga yang mana rakyat harus melihat kelayakan dan latar belakang calon-calon secara teliti berdasarkan track record mereka selama ini.

Rakyat harus menggunakan kuasa yang ada untuk memilih pemimpin. Rakyat turut boleh memecat wakil rakyat yang tidak berprestasi bahkan tidak mampu menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat.

Pilihan raya sepatutnya menjadi tempat untuk rakyat memilih calon yang berwibawa dan memecat calon yang sebaliknya dan diganti dengan pemimpin baharu yang berkemampuan, amanah dan jujur untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Sejarah pernah menyaksikan Rasulullah SAW dan para sahabat di bawah bimbingannya menjadi pemimpin yang telah mentransformasikan lanskap geopilitik dunia ke arah ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

Maka, bertanggungjawablah ketika memilih pemimpin negara! Pilih yang BERKEMAMPUAN, AMANAH dan JUJUR.

Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia