Menuju Haji Mabrur: Persiapan Menjadi Tetamu Allah

kaabah

Pelepasan rombongan pertama jemaah haji yang berangkat pada 18 April lalu menandakan bermulanya satu perjalanan kerohanian bagi para tetamu Allah. Setiap tahun, jutaan umat Islam menuju ke Tanah Suci dengan harapan dan tekad yang tersendiri.

Penyempurnaan ibadah haji adalah perjalanan menyucikan jiwa menuju taubat yang tulus, keinsafan yang mendalam dan perubahan diri yang berkekalan. 

Matlamat utama bukan hanya menyempurnakan rukun dan wajib haji, tetapi meraih haji mabrur iaitu ibadah yang diterima Allah dan meninggalkan kesan nyata dalam kehidupan seorang hamba.

Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan 2014 menyeru agar jemaah haji perlu berusaha mencapai haji mabrur dan terus beristiqamah dalam akhlak, amalan serta cara hidup selepas pulang.

Mereka diharapkan menjadi insan Rabbani yang teguh akidahnya serta berperanan sebagai  ejen perubahan ummah yang mampu menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang baik seperti yang digambarkan dalam al-Quran sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur, sebuah negeri yang baik dengan Tuhan yang Maha Pengampun.

Hal ini menunjukkan bahawa para jemaah haji membawa misi sosial. Jemaah yang pulang seharusnya menjadi soleh wa musleh, baik untuk diri sendiri bahkan memberi kebaikan juga kepada orang lain.

Haji mabrur tidak datang secara kebetulan 

Haji mabrur menuntut persediaan rapi, ilmu, kesungguhan dan keikhlasan. Tanpa persiapan, ibadah mungkin sah, tetapi belum tentu memberi kesan yang mendalam.

Sebab itu, bakal jemaah perlu merancang sejak awal, bukan sekadar persiapan fizikal, tetapi juga rohani dan akhlak.

Ilmu sebagai asas ibadah 

Persiapan paling penting ialah memahami ilmu manasik haji. Setiap jemaah perlu jelas tentang rukun, wajib, larangan ihram serta perkara yang membatalkan haji.

Tanpa ilmu, ibadah mudah tersasar. Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah memperingatkan bahawa amalan tanpa ilmu sering membawa lebih banyak kerosakan daripada kebaikan.

Dalam konteks Malaysia, kursus haji yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Buku panduan juga wajar sentiasa dirujuk. Perjalanan haji hari ini lebih singkat berbanding zaman generasi terdahulu, maka ilmu mesti dipersiap sebelum berangkat, bukan ketika sudah berada di Tanah Suci.

Perubahan bermula sebelum berangkat 

Haji ialah perjalanan menuju keampunan. Ia perlu dimulakan dengan taubat yang sebenar iaitu menyesal, meninggalkan dosa dan berazam tidak mengulanginya.

Lebih penting, segala kezaliman terhadap manusia perlu diselesaikan. Hati yang bersih akan lebih mudah merasai kemanisan ibadah.

Ramai berharap berubah di Tanah Suci. Namun perubahan sebenar bermula lebih awal. Latih diri dengan amalan baik seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, memperbanyak zikir dan menjaga akhlak. 

Ramadan sebelum haji sepatutnya menjadi medan latihan terbaik untuk membina disiplin dan kesabaran. Jika sebelum berangkat, diri sudah dibiasakan dengan kebaikan, suasana di Tanah Suci akan lebih mudah membentuk jiwa.

Pelihara akhlak sepanjang masa. Haji menguji kesabaran. Dalam keadaan sesak, panas dan penat, akhlak mudah teruji. Jaga lidah daripada kata-kata kasar, elakkan pertengkaran dan banyakkan zikir serta doa. Waktu bermusafir adalah waktu mustajab doa, maka jangan sia-siakan dengan perkara yang merugikan.

Akidah yang bersih, ibadah yang diterima 

Akidah perlu dipelihara daripada segala bentuk syirik dan kepercayaan karut. Amalan seperti sihir, tangkal atau kebergantungan kepada selain Allah mesti ditinggalkan. Haji ialah simbol tauhid. Maka tidak wajar ia dicemari dengan unsur yang merosakkan keimanan.

Menyelesaikan tanggungjawab 

Sebelum berangkat, selesaikan hutang dan amanah. Hak manusia perlu dipulangkan dan kesilapan perlu dimaafkan. Begitu juga tanggungjawab kepada Allah seperti solat yang tertinggal, puasa yang belum diganti, zakat dan nazar. Perjalanan ke Tanah Suci seharusnya bebas daripada beban yang belum diselesaikan.

Niat menentukan nilai 

Segala persiapan akhirnya bermuara pada niat. Ibadah haji bukan untuk gelaran tetapi adalah pengabdian yang tulus kepada Allah semata-mata. Ikhlas bermaksud membersihkan hati daripada riyak dan keinginan untuk dilihat, agar setiap amal benar-benar lahir daripada kesedaran sebagai hamba. Niat yang jernih inilah yang memberi nilai kepada ibadah di sisi-Nya.

Sebagai ikhtiar mengekalkan istiqamah, jemaah boleh menetapkan sasaran peribadi seumpama “Key Performance Indicator” rohani yang ingin diteruskan selepas haji, seperti melazimkan solat sunat atau membiasakan diri mengkhatamkan bacaan serta terjemahan al-Quran. Sasaran ini bukan sekadar azam sementara, tetapi menjadi “bekal kenangan” yang dibawa pulang sebagai tanda perubahan diri yang terus subur selepas kembali ke tanah air. 

Rezeki halal, ibadah berkat 

Perbelanjaan haji mesti datang daripada sumber yang halal. Majoriti ulama berpandangan haji dengan harta haram mungkin sah, tetapi tidak mencapai darjat mabrur. Ini peringatan penting iaitu ibadah yang suci memerlukan sumber yang bersih.

Memohon restu dan doa 

Sebelum berangkat, mohonlah kemaafan dan doa daripada ibu bapa, keluarga dan juga guru. Restu mereka membawa keberkatan dalam perjalanan. Bagi wanita, keredaan suami juga menjadi keutamaan. Ia melambangkan adab dan kesedaran bahawa perjalanan haji bukan sekadar urusan individu, tetapi berkait dengan tanggungjawab dalam hubungan.

Teman yang membangunkan jiwa 

Teman sepanjang perjalanan haji bukan sekadar peneman, tetapi boleh membentuk pengalaman ibadah itu sendiri.

Dekatilah dan jadilah sahabat yang baik iaitu yang sentiasa mengingatkan ketika alpa, membantu saat diperlukan dan menenangkan ketika diuji. Rapatkan diri juga dengan mereka yang berilmu kerana setiap langkah ibadah dapat dipandu dengan lebih yakin dan terarah.

Setelah segala ikhtiar dilaksanakan, kembalikan segalanya kepada Allah dengan penuh tawakal. Dia-lah sebaik-baik tempat bergantung.

Firman Allah dalam Surah Ghafir ayat 60: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan.” Antara doa yang wajar sentiasa dipanjatkan ialah doa agar dikurniakan haji yang mabrur, dosa yang diampunkan dan setiap amalan diterima di sisi-Nya.

Permulaan, bukan penamat 

Penyempurnaan ibadah haji bukanlah noktah penamat kepada perjalanan ibadah, sebaliknya ia adalah permulaan kepada kehidupan yang lebih baik dan lebih bermakna.

Pengalaman wukuf di Arafah, tawaf mengelilingi Kaabah serta munajat yang penuh pengharapan seharusnya membentuk jiwa yang lebih khusyuk dan tunduk sepenuhnya kepada Allah. Apabila benar-benar dihayati, kesan spiritual itu akan terpancar dalam akhlak, tingkah laku dan cara hidup seharian.

Inilah hakikat haji mabrur. Rukun Islam kelima ini bukan sekadar perjalanan menuju Tanah Suci, tetapi sebuah perjalanan pulang sebagai insan yang lebih dekat dengan Allah, dan pada masa yang sama lebih memberi manfaat kepada manusia. Semoga Allah memberikan kemudahan dan kekuatan pada para dhuyufurrahman untuk meraih haji mabrur.

Basmin Maarof

Pegawai Kanan

Jabatan Komunikasi Korporat

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia