PRU15: Kuasa Rakyat, Undi dan Perubahan – Presiden IKRAM

PRU15: Kuasa Rakyat, Undi dan Perubahan - Presiden IKRAM

Pada 15 Oktober lalu, negara gempar seketika dengan kisah Cikgu Fadli Salleh seorang pemberani yang telah merisikokan kerjayanya sebagai penjawat awam apabila beliau telah lantang membela pelajar-pelajar sekolah dan para guru yang sekian lama ditekan.

Apa yang disuarakan telah menjentik ‘sarang tebuan’, sehingga beliau menerima amaran tindakan tatatertib yang bakal menamatkan kerjayanya dalam bidang perguruan.

Tindakan yang bakal dikenakan kepada beliau telah mencetuskan amarah dan menarik empati warga netizen dengan begitu meluas apabila beliau mula mendedahkan tindakan yang bakal dikenakan kepada beliau di media sosial beliau. 

Seketika, perhatian kepimpinan kerajaan tertumpu kepada status Facebook beliau.

Belajar dari Cikgu Fadli

Isu yang dibawa Cikgu Fadli bukan isu individu mahupun politik, tetapi ia melibatkan isu pendidikan rakyat yang ‘mencetak’ generasi masa hadapan negara. 

Bahang ketidakpuasan dikongsi bersama oleh para guru yang menanggung beban tugas, ibu bapa yang resah dengan sistem pendidikan yang semakin sukar dikejar.

Dan paling malang, anak-anak yang menjadi mangsa akibat perubahan pendidikan yang semakin menjadi-jadi meninggalkan jauh pihak yang lemah dan tidak berdaya. 

Seramai 245,000 menunjukkan reaksi sokongan dan 100,000 orang berkongsi hantaran Cikgu Fadli di Facebooknya apabila beliau memaparkan situasi ini, tidak termasuk yang tular di Tiktok dan Twitter.

Ramainya orang yang tampil berikan semangat menunjukkan keseriusan isu ini untuk diambil perhatian juga tindakan.

Apa yang boleh dipelajari daripada situasi ini? 

Kuasa rakyat yang bergabung mampu terlihat lebih kuat daripada kuasa penguasa. Apabila rakyat bergabung tenaga, kuasa beralih ke tangan rakyat dan para pemimpin yang berkuasa terpaksa memberi perhatian untuk mendengar dan mencari jalan penyelesaian.

Mandat yang diamanahkan tidak boleh dipandang sebagai jawatan peribadi yang membawa kepada kuasa mutlak tanpa boleh dipersoalkan.

Namun sebaliknya, jawatan yang dikurniakan harus disedari adalah jawatan yang melibatkan kuasa sepasukan kumpulan yang berhak untuk dikritik, diaudit ditambah baik demi kebaikan dan kepentingan masyarakat dan negara.

Kritikan yang membina harus dianggap penting, dialu-alukan dan diperlukan dan bukan terlihat sebagai cubaan untuk menjatuhkan dan menghancurkan. Ini jelas sisi pandang yang salah. 

Keterlibatan rakyat dalam lingkaran kuasa membuat keputusan adalah penting demi diri individu sendiri, generasi yang ditinggalkan, agama dan demi tanah air yang dicintai. 

Keberanian dan Undi

Apakah kaitan Cikgu Fadli dan undi? 

Sekiranya mahukan perubahan, kita mesti mahukannya secara bersungguh-sungguh. Kita perlu teguh berdiri memperjuangkan kebenaran dengan membenarkan masa merealisasikannya walaupun bersilih ganti orang yang memperjuangkan hal tersebut, seperti Cikgu Fadli!

Maka, dalam konteks perubahan kepada kepimpinan yang kita mahukan agar lebih baik untuk negara ini, maka turunlah mengundi dan gunakan kuasa di tangan. Tidak turun mengundi bererti menafikan kekuatan sendiri. 

Rakyat secara beramai-ramai harus menggunakan kuasa menentukan mandat yang berhak memimpin negara untuk dibawa mencapai kesejahteraan, keharmonian dan kemajuan.

Sekiranya mahukan calon yang jujur, berintegriti dan berkaliber untuk memimpin, suarakan secara jelas dan terjemahkan dalam undi yang dipangkah.

Nak Pilih Yang Mana?

Wujudnya portal MP Profiling iaitu portal yang memberikan maklumat terkini tentang calon-calon dari pelbagai parti bagi membolehkan para pengundi dalam PRU15 membuat keputusan yang lebih tepat dan berinformasi bagi memilih pemimpin yang berwibawa, berkredibiliti dan berintegriti. 

Kesedaran rakyat untuk memilih calon yang benar-benar berkredibiliti dan tulen dalam perjuangannya akan mendesak kesedaran pemimpin parti politik untuk lebih berhati-hati dalam menampilkan calon mereka.

Sebagai contoh baru-baru ini, Pengerusi UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa 70 peratus muka baharu yang akan dicalonkan dalam PRU15 adalah barisan yang berkaliber, berkelulusan akademik, berakhlak baik dan mempunyai komitmen tinggi untuk membantu rakyat.

Manakala PKR telah menerajui dalam mengemukakan calon-calon yang bakal bertanding dan membariskan calon-calon yang berkredibiliti pada pandangan kepimpinan parti mereka.

Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli telah membuat pengumuman tujuh calon adalah daripada kalangan tokoh profesional dan orang muda bagi menghadapi PRU15.

Anwar berkata, “PKR sedar bahawa pengundi tidak lagi menilai parti semata-mata, tetapi menitikberatkan juga ketrampilan calon dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.”

Pemimpin parti politik memerhati dan akan terpaksa memberikan apa yang dimahukan rakyat apabila suara rakyat menjadi terlalu kuat untuk tidak diendahkan. 

Kuasa Rakyat

Beberapa siri keputusan PRU kebelakangan ini menunjukkan Malaysia menuju ke arah politik matang apabila semakin ramai rakyat bersikap lebih memilih dalam memangkah undian mereka.

Rakyat tidak mudah digula-gulakan seperti dahulu kala dengan adanya ledakan maklumat di hujung jari. 

Menurut penganalisis politik, kerajaan yang dominan mungkin sukar untuk diwujudkan semula, sebaliknya landskap politik telah berubah ke arah kerajaan campuran pelbagai parti yang dapat menyeimbangkan kuasa blok yang memerintah. 

Rakyat sudah semakin sedar dan mampu memberi hukuman terhadap dosa penyelewengan kuasa dan penyalahgunaan harta ataupun kelemahan dalam tadbir urus negara. 

Menurut teori Circle of Equity yang diasaskan oleh Ibnu Khaldun dan disempurnakan oleh Dr Umer Chopra,  rakyat yang terdidik baik akan memilih pemerintah yang baik dan ini bertimbal balik.

Maksudnya, kerajaan yang baik akan terbentuk hasil daripada masyarakat yang baik. Namun, kerajaan yang dibiarkan dengan keburukan akan menjadikan rakyat di bawahnya terpengaruh dengan anasir buruk sehingga kejahatan bermaharajalela dan menjadi normal, tidak lagi dianggap janggal, jelik dan jahat.

Maka, awaslah agar jangan sampai begitu keadaannya hingga sukar diselamatkan. 

Teori ini menggambarkan rakyat mampu menjadi alat semak imbang yang efektif dalam membaiki kelemahan kerajaan.

Kerajaan mampu menjadi lebih cekap dan berada dalam kedudukan terbaik apabila mampu mendengar dan menerima kritikan dengan hasrat untuk merubah ke arah yang lebih baik. Kritikan tidak dilihat meruntuhkan, tapi dilihat membina.  

Satu Undi Penentu Kerajaan

Negara ini negara demokrasi. Pemimpin dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Demokrasi adalah suatu proses yang memerlukan masa dan orang-orang yang berani dan baik tanpa lelah untuk menegakkannya.

Kerajaan yang adil, cekap, menjaga rakyat perlu diberikan sokongan. Kita memerlukan kerajaan yang boleh membawa negara ke hadapan dengan tidak meminggirkan atau meninggalkan sesiapa pun dalam kalangan rakyatnya. Rakyat dari setiap peringkat bergerak seiring dengan pembangunan negara.

Disebabkan itu, undi adalah penting walaupun satu. Jangan pernah merajuk atau rasa berputus asa dalam melakukan perubahan.

Perubahan itu memerlukan masa, konsistensi dan digerakkan dengan kehendak dan keazaman yang tinggi. Kehendak itu mesti datang kuat daripada rakyat dan juga daripada pemimpin.

Apabila pemimpin dan kerajaan yang memerintah semakin korup dan mengabaikan keperluan rakyatnya, sudah tiba masanya rakyat menggunakan kuasanya untuk merubahnya di peti undi!

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia