Pilih Kerajaan Yang Menjamin Kebebasan Bersuara

Pilih Kerajaan Yang Menjamin Kebebasan Bersuara | IKRAM

Suatu ketika dahulu, saya pernah menjadi seorang mahasiswa di salah sebuah universiti awam (UA). Ketika itulah saya mula mengorak langkah menulis artikel pendapat secara serius. 

Kali pertama saya mula menerbitkan artikel pendapat ialah ketika saya dalam Tahun 1 pengajian prasiswazah. Saya telah menghantar artikel pendapat saya melalui e-mel kepada beberapa alamat e-mel editor akhbar dan portal media. 

Alhamdulillah, artikel saya yang pertama kali saya tulis dengan harapan diterbitkan oleh media diterbitkan juga dalam laman The Malaysian Insider. Bukan sahaja berjaya diterbitkan, saya juga tidak sangka artikel tersebut turut mendapat sambutan ramai. 

Setelah itu, lebih banyak lagi artikel pendapat saya diterbitkan oleh pelbagai organisasi media. Jika saya kira jumlah kesemua artikel saya yang berjaya diterbitkan, kemungkinan juga mencapai angka lebih daripada 100. 

Namun, bukan semua pengalaman yang saya hadapi dalam perjalanan penulisan artikel saya ini manis-manis. Sebalik perjalanan penulisan artikel saya, ada juga cabaran yang saya perlu hadapi dalam bidang penulisan ini.

Pengalaman yang saya tidak boleh lupakan sudah tentulah tentangan yang saya hadapi dalam penulisan pendapat saya (tentang syarat terbaharu pencapaian dalam Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) untuk kemasukan dalam beberapa bidang prasiswazah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negeri. 

Sememangnya saya tidak dapat nafikan bahawa pengalaman menulis artikel pendapat tentang MUET ini merupakan salah satu pengalaman manis saya dalam bidang penulisan sebenarnya.

Pada awalnya, setelah Belanjawan 2015 dibentangkan oleh Perdana Menteri ketika Itu, saya terus menulis sebuah artikel pendapat tentangnya yang mana saya bersifat sinis tentang kenaikan syarat minimum Band MUET untuk kemasukan dan bergraduasi. 

Artikel yang saya tulis dalam bahasa Inggeris itu telah diterbitkan oleh beberapa portal media, antaranya The Malaysian Insider and The Malay Mail.

Setelah itu, sesuatu yang sangat menarik berlaku yang mana saya tidak akan lupa seumur hidup saya.

Seorang editor portal Astro Awani ketika itu, Noor Azam Shairi telah menghantar mesej kepada saya secara peribadi melalui Twitter dan menjemput saya untuk menulis sebuah artikel pendapat untuk terbitan portal Astro Awani.

Maka sejarah peribadi saya pun terhasil. Akhirnya saya telah berjaya menulis sebuah artikel untuk terbitan portal Astro Awani buat kali pertama berkenaan hal yang sama, kali ini dalam bahasa Melayu. Nadanya masih sama, iaitu bersifat sinis dan kritikal terhadap dasar kerajaan ketika itu. 

Melihat pada situasi ini, nampak seperti manis sahaja yang berlaku untuk saya. Mana pahitnya pula? Mana pula cabaran yang saya katakan itu?

Cabaran itu bermula apabila saya telah dipanggil dalam mesyuarat yang mana saya betul-betul bertentangan mata dengan dekan fakulti saya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh beberapa individu dalam pengurusan tertinggi fakulti seperti timbalan dekan dan ketua-ketua jabatan.

Dalam mesyuarat tersebut, saya telah dipersoal akan tindakan saya, sebagai mahasiswa yang telah memalukan nama universiti saya dengan mengkritik dasar kerajaan secara terbuka dalam media massa. 

Saya juga telah diserang secara peribadi, seolah-olah saya membenci kerajaan dan seolah-olah saya mengkritik dasar kerajaan ketika itu kerana saya tidak mahu meningkatkan kemampuan saya dalam berbahasa Inggeris. 

Maka, di hadapan pengurusan tertinggi fakulti itu, setelah diserang dan dimalukan, saya diberi amaran terakhir agar tidak lagi memburukkan nama universiti dengan menerbitkan lagi artikel bersifat sedemikian rupa.

Bermula saat itu, saya pun mula berhati-hati dengan kandungan penulisan saya. Bagi mengelakkan merit tuduhan memburukkan nama universiti terhadap saya, saya tidak lagi meletakkan kredit penulisan saya sebagai mahasiswa universiti tersebut. 

Saya hanya menyatakan bahawa saya merupakan seorang aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia sahaja. 

Melihat kembali kepada tuduhan saya memburukkan nama universiti dengan artikel Astro Awani yang saya tulis itu, saya jujurnya rasa malu dengan pengurusan universiti tersebut yang sedemikian rupa.

Bukanlah saya tidak mengenang budi pensyarah-pensyarah dan pengurusan universiti tersebut. Malah, sepanjang pengajian saya di sana, mereka sememangnya banyak membantu saya bagi meneruskan pengajian saya dengan lancar.

Namun, dalam aspek kebebasan bersuara dan mengadakan perbincangan secara kritis, saya anggap pengurusan universiti tersebut telah gagal dengan ‘jayanya’.

Para pembaca boleh menilai sendiri kandungan artikel Astro Awani saya tersebut. Adakah saya mengkritik tanpa menyatakan dan menghuraikan hujah saya dengan baik?

Tidakkah kritikan saya sesuatu yang bersifat membina? Adakah kritikan membina juga dikira memburukkan nama universiti?

Apa sudah jadi dengan kebebasan bersuara di negara kita? Apa sudah jadi dengan status universiti yang sepatutnya menjadi ruang yang bebas untuk mengadakan wacana yang bersifat kritikal dan mematangkan minda?

Apa sudah jadi dengan prinsip institusi pengajian tinggi yang sepatutnya bangga dengan kesuburan perbincangan ilmiah?

Antara undang-undang yang spesifik menyekat kebebasan media ialah Akta Mesin Cetak, manakala antara akta yang lebih bersifat umum ialah akta kejam yang kini telah pun dimansuhkan, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Manakala akta lain yang secara spesifik menyekat kebebasan bersuara dan berpolitik mahasiswa pula ialah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang digubal pada tahun 1971.

Walaupun akta ini telah dilonggarkan sedikit pada tahun 2009, iaitu dengan membenarkan kembali mahasiswa berpolitik dengan lebih terbuka, bahagian lain masih lagi menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media untuk mahasiswa yang mana menyatakan tindakan boleh diambil terhadap mahasiswa yang dianggap ‘memburukkan’ nama universiti.

Contoh peribadi dan bukti yang saya berikan hanyalah contoh dan bukti yang sedikit sahaja yang berlaku yang mana membuktikan bahawa kerajaan yang menggubal akta-akta ini tidak pernah dan tidak akan komited dalam menjamin kebebasan media dan kebebasan bersuara secara umumnya. 

Sesiapa yang berada dalam pengajian media dan komunikasi di Malaysia sendiri pasti tidak akan terlepas mempelajari sejarah umum penubuhan Malaysia dan perjalanan politik Malaysia.

Kita juga dapat lihat sekian banyak akta yang menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia, malah siap ada akta khas untuk mahasiswa universiti lagi.   

Tidak perlu kita lihat banyak contoh pun. Cukuplah kita buat carian Google, berapa banyak sudah penerbitan yang diancam untuk tidak disambung lesen penerbitannya menerusi Akta Mesin Cetak?

Berapa ramai wartawan, aktivis dan ahli politik yang telah ditahan bawah akta drakonian ISA?

Mahukah kita kembali berasa takut untuk bersuara menyatakan kebenaran? 

Setelah PRU yang lalu, kita sudah pun lihat lebih banyak perubahan yang berlaku dalam pelaporan berita televisyen, radio, akhbar dan portal dalam talian, sama ada arus perdana mahupun alternatif.

Mahukah kita berundur ke belakang dengan memilih kerajaan yang menyekat kebebasan bersuara sekali lagi?

Benar, banyak faktor yang anda perlu pertimbangkan ketika mahu memangkah calon pilihan anda sebelum memasukkan undi anda ke dalam peti undi.

Namun pertimbangkan juga, adakah mulut anda akan ditutup dan lidah anda akan dikerat jika anda mengundi calon pilihan anda?

Maka, pilihlah kerajaan yang anda yakin bahawa mereka akan menjamin kebebasan bersuara dan bebas mendapat maklumat menerusi pelbagai sumber dan saluran dari segenap dimensi. 

Wan Salman Wan Sallam
Aktivis Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia