Dalam dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu, warga dunia hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang menuntut kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Krisis global seperti kekurangan tenaga, peningkatan kos sara hidup, perubahan iklim serta ketidakseimbangan agihan sumber telah mewujudkan tekanan baharu terhadap individu dan masyarakat. Dalam keadaan ini, keupayaan untuk menentukan keutamaan dan membuat keputusan yang tepat bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan.
Menariknya, Islam melalui disiplin fiqh telah lama menyediakan satu kerangka pemikiran yang tersusun dan praktikal untuk menangani situasi kritikal seperti ini, khususnya melalui kaedah-kaedah fiqh yang bersifat universal dan fleksibel.
Kaedah fiqh merupakan prinsip umum yang dirumus daripada al-Quran dan as-Sunnah serta ijtihad para fuqaha, yang berfungsi sebagai panduan dalam memahami dan mengaplikasikan hukum dalam pelbagai situasi.
Ia bukan hanya alat untuk menentukan halal dan haram, tetapi juga merupakan instrumen intelektual yang membantu manusia menilai keutamaan, mempertimbangkan pilihan dan membuat keputusan secara bijaksana.
Dalam konteks kehidupan seharian yang semakin mencabar, kaedah fiqh berperanan sebagai “kompas” yang membimbing manusia agar tidak tersasar dalam membuat pilihan, termasuk dalam hal-hal praktikal seperti perbelanjaan harian dan penggunaan sumber tenaga.
Syariah menjadi solusi kepada realiti
Salah satu kaedah yang sangat relevan dalam situasi krisis sumber ialah “al-masyaqqah tajlib at-taysir” yang bermaksud kesukaran membawa kepada kemudahan. Kaedah ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang memahami realiti kehidupan manusia dan tidak membebankan di luar kemampuan.
Dalam konteks krisis tenaga, seseorang mungkin terpaksa mengubah rutin harian seperti mengehadkan penggunaan pendingin hawa, menggunakan peralatan elektrik secara berjadual atau memilih peralatan yang lebih jimat tenaga.
Bahkan amalan mudah seperti menutup suis apabila tidak digunakan atau memaksimumkan penggunaan cahaya semula jadi juga merupakan bentuk pelaksanaan prinsip ini. Ia bukan sekadar langkah ekonomi, tetapi juga satu bentuk kepekaan terhadap realiti semasa.
Selain itu, kaedah “adh-dharurat tubih al-mahdzurat” (darurat mengharuskan perkara yang dilarang) memberikan ruang kepada individu untuk membuat keputusan dalam situasi terdesak. Dalam dunia yang mengalami kekurangan sumber, terdapat keadaan seseorang perlu membuat pilihan yang tidak ideal.
Sebagai contoh, penggunaan kenderaan awam mungkin menjadi keutamaan berbanding kenderaan persendirian bagi menjimatkan petrol, walaupun ia mungkin kurang selesa. Dalam keadaan tertentu juga, berkongsi kenderaan (car pool) atau merancang perjalanan dengan lebih efisien menjadi satu keperluan, bukan lagi pilihan.
Semua ini mencerminkan keanjalan dalam membuat keputusan berdasarkan keperluan semasa. Pendekatan cara kerja yang fleksibel dan anjal seperti bekerja dari rumah juga merupakan pilihan bijak dalam menghadapi cabaran baru dunia kini.
Kaedah ‘la dharar wa la dhirar’ (tidak boleh memudaratkan diri dan orang lain) pula sangat signifikan dalam situasi yang serba mencabar pada masa ini.
Dalam kehidupan seharian, pembaziran makanan, penggunaan elektrik secara berlebihan dan sikap boros dalam berbelanja bukan sahaja memberi kesan kepada kewangan individu, tetapi juga menyumbang kepada tekanan terhadap sumber negara dan alam sekitar.
Sebagai contoh, membeli barangan secara berlebihan sehingga berlaku pembaziran adalah satu bentuk kemudaratan yang boleh dielakkan. Begitu juga halnya dengan perbelanjaan secara tidak berhemah dan boros.
Kaedah ini mendidik manusia agar sentiasa mempertimbangkan kesan tindakan mereka, bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat dan generasi akan datang.
Seterusnya, kaedah “yukhtaru ahwan adh-dhararayn” yang bermaksud memilih mudarat yang lebih ringan, merupakan asas penting dalam membuat keputusan yang sukar. Dalam kehidupan seharian, seseorang mungkin perlu memilih antara membeli barangan keperluan dengan harga yang lebih tinggi atau mengurangkan kuantiti penggunaan.
Dalam situasi kenaikan harga petrol pula, seseorang mungkin perlu memilih untuk mengurangkan penggunaan kenderaan atau menyesuaikan gaya hidup agar lebih menjimatkan. Walaupun kedua-dua pilihan mempunyai kesan yang tidak selesa, kaedah ini mengajar bahawa pilihan perlu dibuat berdasarkan mudarat yang paling minimum.
Di samping itu, kaedah “al-umur bi maqasidiha” (setiap perkara dinilai berdasarkan tujuannya) membantu dalam menetapkan keutamaan dalam berbelanja dan menggunakan sumber. Dalam dunia yang penuh dengan godaan konsumerisme, ramai yang berbelanja berdasarkan kehendak, bukan keperluan.
Kaedah ini mengingatkan bahawa setiap perbelanjaan perlu mempunyai tujuan yang jelas. Sebagai contoh, membezakan antara keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan pendidikan dengan kehendak seperti barangan mewah atau hiburan berlebihan.
Bezakan antara kehendak dan keperluan
Sebagai panduan umum juga, fiqh al-awlawiyyat adalah berteraskan kefahaman bahawa tidak semua perkara mempunyai nilai yang sama. Dalam Islam, terdapat hierarki yang jelas antara perkara wajib, sunat, harus, makruh dan haram.
Namun, dalam realiti kehidupan moden, keutamaan tidak hanya berkait dengan hukum semata-mata, tetapi juga melibatkan konteks, keperluan dan kesan sesuatu tindakan. Oleh itu, fiqh keutamaan mengajar kita untuk sentiasa bertanya: Apakah yang paling penting dalam situasi ini, dan apakah kesan jika ia diabaikan?
Fiqh al-awlawiyyat yang diasaskan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi boleh dijadikan panduan dengan mendahulukan keperluan asas berbanding kehendak.
Sebagai contoh, dalam perbelanjaan harian, keutamaan perlu diberikan kepada keperluan seperti makanan, kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal sebelum berbelanja untuk hiburan atau kemewahan. Perkara ini bukan sekadar prinsip ekonomi, tetapi satu bentuk disiplin berfikir yang selari dengan kaedah “al-umur bi maqasidiha”, iaitu menilai sesuatu berdasarkan tujuannya.
Apa yang lebih penting, secara tidak langsung, kaedah fiqh membentuk kemahiran berfikir secara sistematik dan kritikal. Ia melatih individu untuk merancang perbelanjaan, membuat bajet serta menilai keutamaan dalam kehidupan.
Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kemahiran ini sangat penting untuk memastikan kestabilan kewangan dan kesejahteraan hidup. Sebagai contoh, menyediakan perancangan bulanan, mengawal hutang serta mengamalkan gaya hidup sederhana adalah antara bentuk aplikasi praktikal kaedah fiqh dalam kehidupan moden.
Maqasid asy-syariah sebagai panduan
Lebih daripada itu, aplikasi kaedah fiqh dalam kehidupan seharian selari dengan pendekatan maqasid asy-syariah yang menekankan pemeliharaan nyawa dan harta. Dalam konteks krisis tenaga dan sumber, berjimat cermat bukan sahaja satu amalan ekonomi, tetapi juga satu tanggungjawab moral dan agama.
Menggunakan elektrik secara berhemah, mengurangkan penggunaan petrol serta berbelanja secara sederhana adalah sebahagian daripada usaha memelihara sumber untuk generasi akan datang. Pendekatan minimalis dalam menjalani kehidupan ada banyak faedahnya.
Kesimpulannya, kaedah fiqh bukan hanya teori yang terhad dalam kitab-kitab hukum, tetapi merupakan panduan hidup yang sangat praktikal dan relevan dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Dalam suasana krisis global yang melibatkan kekurangan tenaga dan sumber, kaedah fiqh menyediakan asas yang kukuh untuk menentukan keutamaan dan membuat keputusan dengan bijaksana.
Dengan mengaplikasikan prinsip-prinsip ini dalam bentuk amalan harian seperti berjimat cermat, mengurus perbelanjaan dan menggunakan tenaga secara berhemah, manusia bukan sahaja mampu menghadapi cabaran semasa, tetapi juga menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang lebih lestari, seimbang dan beretika.
Justeru, fiqh bukan sahaja ilmu yang menerangkan cara menjalani kehidupan berlandaskan syariah dalam konteks ibadah, malah kehidupan secara keseluruhannya.
Prof. Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)




