Pilihan Raya, Mengundi dan Kesihatan Mental Rakyat

Pilihan Raya, Mengundi dan Kesihatan Mental Rakyat | IKRAM

Adakah pilihan raya hanya tentang kemenangan semata-mata? Atau adakah pilihan raya ialah tentang membina masyarakat yang sihat fizikal, mental, sosial dan spiritual?

Adakah pilihan raya tentang membina masyarakat yang mempunyai sistem dan budaya yang mampu mencegah kebanyakan isu berkaitan kesihatan mental, fizikal, sosial dan spiritual?

Adakah pilihan raya tentang membina masyarakat yang mempunyai sistem dan budaya yang mampu mengurus simptom awal berkaitan kesihatan fizikal, mental, sosial dan spiritual?

Adakah pilihan raya tentang membina masyarakat yang mempunyai sistem dan budaya yang mampu merawat dan memulihkan masyarakat yang mempunyai penyakit fizikal, mental, sosial dan spiritual?

Artikel ini fokus kepada menikmati proses mengundi semasa pilihan raya dengan cara yang terjaga kesihatan mental dalam kalangan pengundi. 

Emosi Pilihan Raya

Musim pilihan raya boleh mewujudkan pelbagai bentuk emosi daripada perasaan khuatir yang melampau hingga kepada tiada apa-apa perasaan yang melampau pula. 

Membaca dan menonton orang awam di latar fizikal dan latar maya bergaduh, berpecah dan bersaing kerana undi boleh menyebabkan rasa lelah, lesu dan penat secara mental.

Ini belum mengambil kira teknik perdayaan mental politik (political gaslighting) yang digunakan oleh calon-calon pilihan raya ataupun spin doctor dan cybertroopers calon pilihan raya dan parti politik.

Memang boleh penat mental pengundi innocent macam kita dibuatnya, pengundi yang hanya mahukan kebaikan untuk kawasan, untuk negeri sendiri dan untuk negara sendiri.

Pengundi bukannya mahu menyaksikan drama politik dan isu meletup yang hanya akan senyap selepas pilihan raya tanpa tindakan konkrit menunggu masa sahaja untuk episod drama seterusnya lima tahun akan datang yang mana isu sama akan ‘diletupkan’ untuk menyakiti fizikal, mental, sosial dan spiritual rakyat.

Kadang-kadang kita rasa mahu jauhkan diri daripada politik. Malah, kadang-kadang kita rasa seperti tidak mahu keluar mengundi.

Ini menyebabkan kita turut menjauhkan diri daripada keluarga, saudara-mara, sahabat, rakan sekerja, ahli persatuan, ahli kariah masjid, surau dan sebagainya supaya kita tidak perlu terlibat dalam diskusi politik sebagai cara untuk mengurus emosi negatif ini. 

Tapi menjauhkan diri daripada pihak yang signifikan ini juga boleh mengurangkan kualiti kesihatan mental kita.

Kesan Kesihatan Mental

Kajian juga mendapati persepsi terhadap perpecahan politik boleh membawa kepada tercetusnya penyakit mental, kecelaruan tidur, kebimbangan (anxiety) dan kemurungan (depression).

Malah, kajian menunjukkan iklan kempen pilihan raya pun boleh meningkatkan tahap stres dalam kalangan rakyat yang menyaksikan tanpa mengira mana-mana parti politik, dan tanpa mengira sama ada ia adalah kempen di lokaliti atau kempen pilihan raya di peringkat pusat. 

Tapi sebenarnya, melibatkan diri dalam diskusi sihat tentang pilihan raya, tentang mengundi, tentang keperluan masyarakat dan libat urus sivik boleh mengurangkan perasaan emosi negatif semasa musim pilihan raya. 

Saya ingin mencadangkan bagaimana kita boleh menukar kerangka berfikir kita supaya proses mengundi dalam pilihan raya menjadi suatu yang boleh meningkatkan kesihatan mental kita, dan hasilnya juga (tanpa mengira siapa yang menang) boleh meningkatkan kesihatan mental kita.

Dan diharapkan semangat yang wujud dalam kalangan mereka yang terpilih sebagai wakil rakyat nanti ialah menitikberatkan proses pencegahan, pengurusan dan rawatan isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan fizikal, mental, sosial dan spiritual. 

Pilih Kemenangan atau Kesejahteraan?

Pilihan raya adalah peluang untuk pengundi untuk memilih pemimpin yang boleh memberi khidmat terbaik kepada masyarakat dan negara, bukan untuk kita berkhidmat kepada mereka. 

Tetapi kenapa peranan pilihan raya dikecilkan kepada ‘perang’ untuk menang dan memudaratkan pihak lain?

Sejak bila kemenangan calon menjadi lebih penting daripada memastikan masyarakat dan negara kita yang maju dan sejahtera yang memenuhi keperluan fizikal, mental, sosial dan spiritual rakyat?

Kempen yang fokus kepada kemenangan calon-calon pilihan raya semata-mata mungkin boleh menghasilkan peningkatan neurotransmitter dopamine di dalam otak dan perasaan-perasaan teruja dan bersemangat yang bersifat sementara. 

Tapi apabila perasaan-perasaan tersebut hilang, akan wujud kepenatan fizikal, mental dan mungkin juga spiritual pascapilihan raya kelak. 

Alternatif praktikal yang lebih autentik dan tulen ialah kita melibatkan diri dalam diskusi yang membantu menentukan siapa yang berkebarangkalian tinggi berdasarkan sumbangan sivik mereka di peringkat pusat, negeri dan lokaliti yang akan menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan membuat keputusan yang terbaik demi rakyat, bukan demi peribadi, kroni atau parti politik sendiri.

Ia boleh dilakukan di latar yang selamat sama ada fizikal atau maya terutamanya latar yang tertutup dengan pihak-pihak yang dikenali sahaja. 

Makna Wakil Rakyat

Tanpa kemenangan majoriti undian rakyat, sudah tentu seorang ahli politik tidak dapat berkhidmat kepada rakyat sebagai wakil rakyat sama ada sebagai Ahli Parlimen atau sebagai ADUN.

Secara literal pun, gelaran ‘wakil rakyat’ itu sendiri bermaksud mereka mewakili apa yang rakyat mahu, bukan mewakili apa yang ahli politik mahu.

Sekali-kali ‘wakil rakyat’ tidak bermaksud untuk calon-calon pilihan raya memegang kuasa semata-mata yang mudah disalahgunakan untuk tujuan korupsi kuasa dan korupsi wang. YB sepatutnya memberi makna Yang Berkhidmat, bukan sekadar Yang Berhormat.

Oleh itu, makna undi rakyat ialah untuk menentukan siapa dalam kalangan bakal ‘pegawai kerajaan’ atau ‘penjawat awam’ ini yang mempunyai pengetahuan, tentang keadaan di kawasan, negeri dan negara, dan boleh membuat keputusan secara sedar (tanpa dipengaruhi oleh sentimen kepartian) tentang kesihatan fizikal, mental, sosial dan spiritual rakyat. 

Mengundi Bukan Suatu Persaingan

Mengundi adalah satu proses pemilihan yang mana setiap pengundi akan meneliti keperluan masing-masing, keperluan komuniti masing-masing, keperluan negeri masing-masing dan keperluan negara, serta memahami apa yang diperlukan tanpa memudaratkan pihak lain.

Ini dapat diketahui sama ada melalui manifesto, melalui track-record memegang pentadbiran negara, negeri dan konsituensi, ataupun track-record calon semasa berkhidmat dalam institusi kerajaan, institusi swasta, NGO, dan sumbangan peribadi non-politik sebelum ini. Track record ini meliputi pengetahuan (kognitif), skil (psikomotor) dan juga sikap (afektif). 

Musim pilihan raya boleh menjadi peluang penglibatan yang sihat untuk kita berkongsi suara anda melalui peti undi dan pelbagai media yang lain dan dalam masa yang sama mendengar pandangan jiran dan komuniti kita.

Tidak perlu menjadi ‘burung kakak tua’ memuntahkan semula hujah ahli-ahli politik yang kebanyakannya lebih kepada hendak menang, memainkan emosi rakyat dan kadang-kadang banyak juga yang berunsur fitnah. 

Jadikan undi kita sebagai peluang untuk menyuarakan keprihatinan kita dan cadangan kita agar kerajaan tempatan, kerajaan negeri, dan kerajaan pusat boleh memperbaiki perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Gunakan kerangka ini untuk mengubah persepsi dan cara anda melihat pilihan raya dan proses mengundi demi kesihatan mental dan kesejahteraan anda, komuniti anda, masyarakat dan rakyat keseluruhannya. Itulah sumbangan anda kepada membangunkan kesihatan fizikal, mental, sosial dan spiritual. 

Mengurus Stres Pasca-Pilihan Raya

Stres politik ini bukan sahaja semasa semusim pilihan raya, tapi juga selepas pilihan raya, sama ada calon pilihan kita menang atau kalah, dan sama ada parti politik pilihan kita menang atau kalah.

Berikut adalah beberapa cadangan menjaga kesihatan mental anda pascahari mengundi:

1. Sentiasa berkomunikasi dengan orang yang rapat dengan kita; dengan kaunselor juga apabila perlu.

2. Tulis apa yang bermain di fikiran anda dalam diari atau media sosial yang terhad.

3. Sentiasa perhatikan simptom-simptom fizikal yang mungkin menandakan anda stres seperti sakit kepala, sakit perut dan sukar tidur.

4. Fokus kepada apa yang anda kawal atau buat; abaikan atau serah kepada Tuhan apa yang anda tidak boleh kawal atau tidak mampu buat.

5. Kurangkan waktu menonton berita dan media sosial berkaitan dengan politik.

6. Rapatkan semula hubungan dengan keluarga dan sahabat dengan aktiviti bukan politik, jika sesuai.

7. Izinkan diri anda untuk melalui proses grief dengan merasai perasaan sedih dan kecewa untuk seketika dan pujuk diri anda bahawa ada cara lain untuk menegur pemerintah yang tidak beraspirasi rakyat dan mereka tidak selama-lamanya menjadi Ahli Parlimen atau ADUN. 

Peranan Kerajaan

Di pihak kerajaan yang bakal menang pula, peranan anda juga besar untuk memastikan proses pilihan raya pada masa akan datang juga mesra kesihatan mental rakyat.

Antara perkara yang boleh dilakukan oleh bakal kerajaan (jika sesuai, boleh diubah suai dari sudut perundangan) ialah:

1. Menetapkan pilihan raya setiap lima tahun sekali dan bukan kurang daripada itu.

2. Semua rakyat mengetahui lima, 10, atau 15 tahun lebih awal tarikh pilihan raya, contohnya Sabtu kedua bulan Jun setiap lima tahun (kalau boleh bersekali dengan cuti sekolah dan cuti universiti).

3. Menyediakan tempat memasang bendera parti dua minggu lebih awal dan melarang pemasangan bendera parti yang boleh mencemar pandangan dan membahayakan pandangan pemandu kenderaan dan penunggang motosikal.

4. Memberi lesen sementara (seperti bulan Ramadan) untuk peniaga menjual barangan dan makanan pada hari pilihan raya.

5. Melatih pihak keselamatan yang menjaga pusat mengundi dengan skil pertolongan cemas perubatan, pertolongan cemas psikologi dan pertolongan cemas kesihatan mental.

6. Memberi kebebasan kepada semua blok parti politik untuk menyampaikan pendapat dan membentangkan manifesto di media arus perdana; kalau ada iklan menggalakkan rakyat mengundi dengan menampilkan wakil semua blok politik pun bagus juga.

7. Menghentikan sebarang pemberian yang boleh ditangguhkan oleh pihak kerajaan caretaker kepada rakyat.

8. Membudayakan kempen politik yang lebih fokus kepada perkhidmatan kepada rakyat atau penyelewengan dan jenayah awam pihak lawan yang bersifat konkrit berserta bukti.  

Apabila wujud lebih banyak ketenangan berbanding ketegangan semasa musim pilihan raya, risiko tercetusnya penyakit fizikal (seperti hipertensi dan sakit jantung), penyakit mental (seperti depression dan anxiety disorder), penyakit sosial (seperti fitnah dan rasisme), dan penyakit spiritual (seperti angkuh dan hasad) dapat dikurangkan ke arah Malaysia yang lebih sihat fizikal, mental, sosial dan spiritual. 

Kesimpulan

Kemenangan adalah kurang penting berbanding membangunkan masyarakat yang tinggi kualiti kesihatan mental. 

Ahli politik, jika terpilih, hakikatnya adalah pegawai kerajaan atau penjawat awam yang kita laburkan duit cukai kita untuk berkhidmat kepada kita.

Mengundi bukan satu persaingan. Ia adalah hak penglibatan sivik dalam membangunkan masyarakat yang sihat fizikal, mental, sosial dan spiritual. 

Bakal kerajaan boleh memainkan peranan untuk mewujudkan sistem dan amalan politik umumnya dan prosedur pilihan raya khususnya yang mesra kesihatan mental rakyat. 

Marilah kita sama-sama berdoa semoga tingkah laku politik kita semasa pilihan raya tidak menjadikan kita menjadi lemah, malas, pengecut, bakhil, terbeban hutang dan ditindas oleh manusia disebabkan kita tersilap memilih calon Ahli Parlimen dan ADUN yang sepatutnya mewakili rakyat dan berkhidmat kepada rakyat.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau daripada sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.” [Riwayat Abu Daud (4/353)]

Dr Alizi Alias
Pengerusi Psikospiritual IKRAM (P.S.I)

Bibliografi:

“How to Reframe Voting and Elections for Your Mental Health” oleh Dr Vernita Perkins dan Dr Leonard A. Jason. Laman Web “Psychology Today.”

“Post-Election Anxiety: 7 Ways to Care for Your Mental Health. Oleh Cathy Cassata. Laman Web “Healthline”. 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia