Perubahan Iklim: Cara Hadapinya dengan Psikospiritual Islam

Perubahan Iklim: Cara Hadapinya dengan Psikospiritual Islam

Perubahan iklim merupakan cabaran global yang semakin membimbangkan serta memberi kesan yang bukan sahaja kepada alam sekitar, malah kepada kesejahteraan manusia.

Lihat sahaja laporan berita dunia sepanjang bulan ini dengan pelbagai kejadian bencana alam seperti ribut tropika di Filipina, Brunei, Taufan Helene, Ribut Solar di  Amerika Syarikat, ribut berserta hujan lebat di China, banjir di Nepal, Australia dan pelbagai lagi di seantero dunia.

Dalam menghadapi perubahan iklim ini, pendekatan psikospiritual Islam memberi sudut pandang tersendiri yang menggabungkan kesedaran alam sekitar dengan kekuatan dalaman berasaskan iman.

Psikospiritual Islam merujuk kepada integrasi aspek psikologi dan spiritual dalam ajaran Islam, yang mampu menjadi sumber ketahanan dan panduan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.

Menjelang penghujung tahun, Malaysia sering berhadapan dengan musim banjir di beberapa buah negeri akibat hujan lebat Monsun Timur Laut. Perubahan iklim ini membawa pelbagai cabaran yang kompleks.

Menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, purata suhu tahunan di Malaysia telah meningkat sebanyak 0.13°C hingga 0.24°C setiap dekad sejak 1951. Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan peningkatan sebanyak 17 peratus dalam kejadian banjir kilat di kawasan bandar sejak 2015.

Di Malaysia, kita menyaksikan peningkatan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir kilat, banjir besar dan kemarau. Fenomena ini bukan sahaja mengancam keselamatan fizikal dan ekonomi, malah juga memberi tekanan kepada psikologi dan spiritual.

Ramai yang berasa tidak berdaya, runsing tentang masa depan dan mempersoalkan hubungan manusia dengan alam. Cabaran-cabaran ini menuntut pendekatan yang bukan sahaja menangani aspek fizikal, malah memperkukuhkan daya tahan mental dan psikospiritual masyarakat.

Konsep dan Pendekatan Psikospiritual Islam dalam Menghadapi Perubahan Iklim.

Berikut merupakan beberapa pendekatan yang mampu diaplikasi oleh setiap individu agar tidak terlalu resah dengan ujian yang melanda.

Khalifah dan Tanggungjawab kepada Alam Sekitar.

Manusia berperanan sebagai khalifah sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 30 menegaskan peranan manusia sebagai hamba Allah yang memimpin, memelihara dan memegang amanah khalifah di muka bumi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Seterusnya manusia perlu mengingati tentang amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh Pencipta untuk menjaga alam semesta (al-Ahzab: 72). Konsep ini merupakan panduan  kepada umat Islam mengambil tindakan konkrit dalam menangani isu perubahan iklim yang merangkumi tiga aspek utama iaitu:

Pertama, meningkatkan kesedaran diri apakah kesan atas tindakan manusia terhadap alam sekitar.

Kedua, mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kesan negatif akibat daripada aktiviti manusia terhadap iklim sebagaimana  perintah Allah dalam Surah al-A’raf ayat 56 yang melarang kerosakan di muka bumi.

Ketiga, manusia memikul tanggungjawab untuk mendidik dan menyebarkan pemahaman tentang kepentingan pemeliharaan alam daripada perspektif Islam kepada masyarakat umum.

Pendekatan psikospiritual ini bukan sahaja menyediakan rangka kerja etika untuk tindakan alam sekitar, tetapi juga membentuk kesedaran dalaman yang mendorong umat Islam menjadi agen perubahan positif dalam usaha global menangani krisis iklim.

Keseimbangan dan Harmoni dengan Alam.

Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, Islam menawarkan panduan melalui konsep keseimbangan atau Mizan. Al-Quran mengajar kepada manusia  kepentingan hidup seimbang dengan alam (al-Rahman: 7-9). Konsep ini boleh diterapkan melalui tiga cara:

Pertama, pembangunan lestari. Ini bermakna manusia perlu membangun dan maju, namun dengan cara yang tidak merosakkan alam. Bayangkan membina rumah tanpa menebang semua pokok di sekitarnya – itulah ideanya.

Kedua, gaya hidup sederhana atau wasatiyyah. al-Quran mengingatkan agar manusia agar tidak melampaui batas dan tidak berlebihan (al-A’raf: 31). Contohnya menggunakan air dan elektrik sekadar yang secukupnya atau memilih membeli produk yang tahan lebih lama berbanding yang ‘sekali guna’. Tindakan kecil ini berupaya mengurangkan tekanan terhadap sumber alam kita yang berharga.

Ketiga, penggunaan teknologi mesra alam. Islam tidak menolak kemajuan, malah menggalakkan manusia untuk terus berdaya maju dengan cara yang bijak. Contohnya di sini ialah menggunakan panel solar di rumah atau menyokong syarikat yang menghasilkan produk mesra alam.

Sabar dan Tawakal dalam Menghadapi Krisis

Konsep sabar dan tawakal (berserah) disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 155 dan al-Talaq ayat 3. Dua konsep ini bukan sahaja memberi panduan spiritual, malah turut membantu membentuk ketahanan mental yang diperlukan oleh manusia bagi menghadapi krisis alam sekitar.

Konsep sabar memupuk ketabahan dalam menghadapi bencana alam dan perubahan persekitaran yang tidak dapat dielakkan, manakala tawakal mendidik sikap berserah sepenuhnya kepada Allah setelah melakukan usaha terbaik.

Pendekatan ini penting dalam usaha pemuliharaan alam, di mana hasilnya mungkin tidak dapat dilihat pada masa jangka pendek, tetapi memerlukan komitmen pada masa jangka panjang.

Seterusnya, mengamalkan doa dan zikir yang mampu menjadi pemangkin kekuatan dalaman bagi membantu individu menghadapi tekanan dan cabaran (al-Ra’d: 28) berkaitan perubahan iklim.

Dengan menggabungkan konsep ini, seseorang itu mampu membina daya tahan psikologi dan spiritual yang diperlukan untuk menghadapi realiti perubahan iklim sambil terus berusaha untuk menjaga alam sekitar.

Islah (Pembaikan) dan Tindakan Positif.

Konsep Islah atau pembaikan dalam Islam memainkan peranan penting dalam pendekatan psikospiritual untuk menghadapi perubahan iklim. Perkara ini dijelaskan oleh al-Quran dalam Surah al-A’raf ayat 56 yang menekankan kepentingan tindakan positif untuk memperbaiki kerosakan, termasuk memelihara dan memulihara alam sekitar.

Selaras dengan ajaran ini, umat Islam digalakkan untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada alam sekitar.

Antaranya menyeru umat Islam menyertai pertandingan seni kitar semula yang menggalakkan kreativiti, melibatkan diri dengan bengkel pertanian bandar yang memupuk kemahiran hidup lestari, mengikuti ekspedisi fotografi alam yang meningkatkan penghargaan terhadap alam semula jadi dan mengambil bahagian ‘eco-challenge’ komuniti yang memupuk persaingan sihat dalam amalan mesra alam, yang bukan sahaja membantu memulihkan ekosistem, malah memperkukuh hubungan masyarakat dengan alam semula jadi.

Di Malaysia, boleh lihat pelaksanaan ini melalui inisiatif Program Pengasingan Sisa di Punca oleh SWCorp, projek kebun komuniti di Putrajaya yang menggalakkan pertanian bandar dan kempen ‘Plastic Free July’ yang semakin mendapat sambutan di seluruh negara.

Usaha-usaha ini bukan sahaja membantu memulihkan ekosistem, malah memperkukuh hubungan masyarakat dengan alam semula jadi.

Islam menggalakkan inovasi dalam bidang teknologi hijau yang mesra alam sebagai cerminan kesedaran bahawa kemajuan teknologi perlu seiring dengan pemeliharaan alam sekitar. Pendekatan psikospiritual Islam melalui konsep ini jelas menekankan kepentingan memupuk sikap proaktif bagi menangani isu alam sekitar.

Justeru, setiap individu memiliki tanggungjawab untuk mengambil tindakan positif walaupun dalam skala kecil yang bermula daripada persekitaran terdekat mereka.

Melalui gabungan kesedaran spiritual dan tindakan praktikal ini, psikospiritual Islam menyediakan rangka kerja yang komprehensif bagi menghadapi cabaran perubahan iklim tidak menentu.

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia