Kesihatan Mental & Emosi: Konteks Psikospiritual Islam

Kesihatan Mental & Emosi: Konteks Psikospiritual Islam | IKRAM

Psikospiritual merupakan gabungan daripada dua perkataan iaitu psiko dan spiritual, merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji, membincangkan aktiviti mental, perilaku hubungan manusia dengan kerohanian atau perkara yang berkaitan dengan sifat dalaman manusia. Sebelum membincangkan lebih lanjut, perlu dijelaskan terlebih dahulu maksud yang berkaitan dengan perbincangan ini iaitu psiko, psikologi, spiritual dan spiritualiti serta hubungannya antara maksud istilah-istilah tersebut.

Psiko dan Psikologi

Psiko merupakan proses mental, pemikiran, dan tingkah laku manusia yang merangkumi cara individu berfikir, merasa, dan bertindak dalam pelbagai situasi. Psikologi pula merupakan bidang ilmu yang mengkaji minda dan tingkah laku. Kedua-dua ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dan sangat berkaitan. Psiko merujuk kepada aspek mental yang menjadi fokus utama dalam bidang psikologi. Psikologi akan mengkaji, menganalisis, dan mengaplikasikan pemahaman tentang aspek psiko manusia dalam pelbagai konteks.
Bagaimana pula dengan spiritual? Adakah terdapat hubungan spiritual dengan agama? Bagaimana pula pandangan barat tentang spiritual? Jawapan pada persoalan ini akan dibincangkan pada artikel akan datang.

Spiritual dan Spiritualiti

Spiritual merupakan sifat yang merujuk kepada sifat atau ciri berkaitan dengan semangat atau jiwa yang boleh digunakan untuk menggambarkan pengalaman, amalan, atau objek yang berkaitan dengan alam rohani, seperti pengalaman spiritual dan amalan spiritual. Daripada spiritual lahirnya spiritualiti. Spiritualiti selalunya diterjemahkan sebagai kerohanian yang melibatkan cara seseorang mencari makna, tujuan hidup dan hubungan dengan sesuatu yang lebih tinggi, seperti Tuhan.

Menurut Christina Puchalski (2014), seorang profesor perubatan dan sains kesihatan merangkap pengarah Institut Kerohanian dan Kesihatan Universiti George Washington menyatakan, spiritualiti merupakan aspek dinamik dan intrinsik kemanusiaan di mana seseorang mencari makna, tujuan, dan transenden serta mengalami hubungan dengan diri sendiri, keluarga, orang lain, komuniti, masyarakat, alam semula jadi dan suci. Ia diungkapkan melalui kepercayaan, nilai, tradisi, dan amalan. Maksudnya ialah spiritualiti atau kerohanian itu sentiasa berkembang, tidak statik dan sesuatu yang bersifat dalaman.

Spiritualiti merupakan konsep luas dan menyeluruh yang bukan sahaja meliputi aspek agama, namun pencarian makna peribadi, hubungan dengan orang lain dan alam sekitar serta cara seseorang mengungkapkan nilai-nilai dalam kehidupan seharian. Beliau mengiktiraf kerohanian sebagai bahagian penting dalam pengalaman manusia yang mampu mempengaruhi seseorang melihat dan berinteraksi dengan dunia di sekelilingnya.

Psikospiritual dalam konteks Islam dirujuk sebagai psikospiritual Islam yang didefiniskan sebagai pemikiran atau kajian yang mengintegrasikan unsur psikologi dan kerohanian tentang proses mental dan pemikiran yang bersifat rohaniah daripada perspektif agama Islam. Psikospiritual Islam boleh difahami satu konsep dan kaedah perawatan kecelaruan jiwa (nafs, ruh, qalb) mental (‘aql), emosi (‘atifah), mahupun perilaku moral (akhlaq) berteraskan sumber dan amalan dalam Islam berasaskan al-Quran, al-Sunnah, amalan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ilmu pengetahuan yang tidak bercanggah dengan prinsip Fizikal dan Syariah Islamiah yang bermatlamatkan kebahagiaan dunia dan akhirat sosial (Che Zarrina Sa’ari, 2019)

Psikospiritual dalam konteks Islam boleh dijelaskan sebagai pendekatan holistik yang menggabungkan pemahaman psikologi moden dengan ajaran spiritual Islam yang bertujuan untuk memupuk kesihatan mental dan emosi sambil memperkukuh hubungan individu dengan Pencipta-Nya. Konsep ini berakar umbi dalam ajaran al-Quran dan Hadith, yang sering menekankan kepentingan menjaga hati (qalb) dan jiwa (nafs).

Matlamat Psikospiritual

Matlamat utama psikospiritual Islam adalah untuk mencapai keseimbangan diri yang menyeluruh, meliputi aspek fizikal, mental, emosi, dan spiritual. Melalui Psikospiritual Islam, individu bukan sahaja dapat menangani cabaran psikologi, malah meningkatkan kualiti hubungan mereka dengan Allah, diri sendiri, dan orang lain. Matlamatnya adalah untuk membangunkan karakter dan akhlak yang mulia, selaras dengan ajaran Islam. Matlamat ini sesuai dengan diutuskan nabi Muhammad kepada masyarakat untuk menjadi contoh tauladan kepada manusia bagi menyempurnakan akhlak mulia. Rasulullah SAW bersabda:

“Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya.” (Riwayat Tirmidzi, no. 1162)

Daripada perbincangan spiritual di atas dapatlah dirumuskan bahawa spiritual dari perspektif Barat merupakan konsep universal yang merangkumi pencarian makna dan hubungan dengan pelbagai aspek kehidupan yang melampaui batasan agama. Manakala dalam Islam, spiritual memfokuskan pada integrasi psikologi dengan ajaran Islam yang bertujuan mencapai keseimbangan diri serta menguatkan hubungan dengan Allah, berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah.

Memahami asas psikospiritual Islam merupakan pencarian penting dalam perjalanan menuju kesejahteraan diri yang hakiki, iaitu membuka pintu kepada kefahaman yang lebih mendalam tentang diri sendiri dan hubungan manusia dengan Pencipta.

Dalam perbincangan seterusnya, akan dijelaskan secara ringkas antara elemen-elemen utama dalam psikospiritual Islam yang mampu membantu seseorang mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Elemen-Elemen Psikospiritual Islam

1. Tauhid atau Iman

Tauhid ialah mengEsakan Allah, merupakan asas dan tunjang utama dalam psikospiritual Islam. Tauhid bukan sekadar kepercayaan teologi, tetapi pandangan hidup yang mempengaruhi setiap aspek kehidupan seorang Muslim. Dalam konteks psikospiritual Islam, tauhid atau iman menanamkan kesedaran bahawa segala yang berlaku adalah di bawah kekuasaan Allah. Pemahaman ini memberi kekuatan dalaman dan ketenangan untuk menghadapi cabaran hidup. Tauhid juga membantu individu memahami tujuan hidupnya, memberi makna dan arah dalam kehidupan.

2. Qalb atau Hati

Qalb atau hati dalam psikospiritual Islam merupakan pusat kecerdasan spiritual dan emosi manusia. Hati bukan sekadar organ fizikal, namun dianggap sebagai tempat lahirnya iman, niat, pusat kerohanian serta mampu mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku. Kesihatan hati sangat signifikan kesejahteraan psikologi. Hati yang sihat membawa kepada ketenangan jiwa, manakala hati yang sakit berupaya menyebabkan masalah psikologi. Amalan seperti tazkiyah an-nafs, bermuhasabah, berzikir ditekankan untuk membersihkan dan menguatkan hati selain membentuk asas pendekatan holistik dalam menangani isu mental dan emosi dalam Islam.

3. Ibadah

Ibadah dalam psikospiritual Islam berfungsi sebagai elemen yang menghubungkan psikologi dengan spiritual manusia. Amalan ibadah seperti solat, puasa, zakat, haji, sedekah bukan sekadar ritual agama, namun sebagai mekanisme yang memberi kesan positif terhadap kesejahteraan mental dan emosi. Ibadah melatih mengawal diri, mengurangkan tekanan, meningkatkan empati dan memperkukuh hubungan dengan Allah. Dalam konteks ini, ibadah bertindak sebagai alat terapeutik yang membantu individu mencapai keseimbangan psikologi dan spiritual, selaras dengan matlamat kesihatan mental yang holistik dalam Islam.

4. Matlamat akhir

Matlamat akhir dalam psikospiritual Islam adalah untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat yang mencerminkan pendekatan holistik terhadap kesejahteraan manusia. Matlamat akhir yang menekankan keseimbangan antara tuntutan duniawi dan ukhrawi akan mengintegrasikan kesihatan mental individu dengan prinsip-prinsip yang ditekankan oleh Islam. Pendekatan ini bertujuan membangunkan individu secara menyeluruh iaitu kesejahteraan mental, emosi, spiritual dan sosial yang dituntut oleh ajaran Islam. Dengan menggalakkan perkembangan psikologi positif sambil memperkukuh hubungan dengan Allah, ini mampu mempersiapkan seseorang untuk kehidupan yang bermakna di dunia dan akhirat, sesuai dengan konsep al-falah dalam Islam.

5. Sumber rujukan

Psikospiritual Islam berpaksikan kepada tiga sumber utama yang membentuk asas teoritikal dan praktikal iaitu al-Quran sebagai wahyu yang mengandungi prinsip-prinsip asas kehidupan dan kerohanian. Sumber kedua ialah al-Sunnah yang merangkumi ajaran dan amalan Nabi Muhammad SAW yang memberikan panduan praktikal dalam menangani pelbagai aspek psikologi manusia. Seterusnya amalan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyediakan tafsiran dan aplikasi ajaran Islam yang telah diterima oleh majoriti umat Islam. Ketiga-tiga sumber ini berinteraksi secara dinamik bagi membentuk kerangka etika dan spiritual yang komprehensif, membolehkan pendekatan psikospiritual Islam menghadapi cabaran psikologi moden seterusnya mengekalkan kesyumulan ajaran Islam. Sumber yang asli serta tidak diragui menawarkan pendekatan holistik yang menggabungkan kebijaksanaan tradisional dengan keperluan kontemporari dalam merawat dan membangunkan kesejahteraan psikologi dan spiritual umat Islam.

6. Integrasi Psikologi dan Spiritual

Psikospiritual Islam mengintegrasikan aspek psikologi dan spiritual bagi memastikan kedua-dua elemen ini saling melengkapi dalam usaha untuk mencapai kesejahteraan mental dan spiritual yang holistik. Integrasi psikologi dan kerohanian Islam menggabungkan kefahaman psikologi moden dengan ajaran spiritual Islam berpandukan al-Quran dan al-Sunnah, di mana konsep-konsep seperti kesihatan mental, hati, jiwa, nafsu, tingkah laku, konsep diri, hubungan interpersonal dan menangani masalah mental disesuaikan dengan pandangan dunia Islam. Integrasi ini berupaya menambah dimensi iman, akhlak dan hubungan dengan Allah dalam pendekatan terapeutik yang bertujuan untuk membentuk diri menjadi lebih baik, tawaduk, mengukuhkan iman dan seimbang selaras dengan tuntutan Islam.

Kesimpulannya, psikospiritual Islam menawarkan pendekatan holistik dalam memahami dan merawat kesejahteraan manusia, mengintegrasikan prinsip psikologi moden dengan ajaran Islam. Pendekatan ini berlandaskan tauhid, berpandukan al-Quran, al-Sunnah, serta amalan ulama yang menekankan keseimbangan antara aspek mental, emosi, spiritual, dan sosial. Melalui elemen-elemen utama seperti pemeliharaan qalb, ibadah, dan matlamat akhirat, psikospiritual Islam bertujuan membentuk individu yang sejahtera secara menyeluruh, memupuk akhlak mulia dan memperkukuh hubungan dengan Allah. Pendekatan ini tidak hanya bertujuan untuk menangani isu-isu psikologi semasa, tetapi juga mempersiapkan individu untuk mencapai al-falah iaitu kejayaan di dunia dan akhirat.

 

Prof. Madya Dr. Khairul Hamimah Mohammad Jodi,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Open Universiti Malaysia

 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia