Sejarah membuktikan bahawa sudah menjadi lumrah bagi penjajah sepanjang zaman melabelkan pihak pejuang dan gerakan pembebasan negara sebagai pemberontak atau pengganas.
Dunia hari ini cuba ditipu daya oleh penjajah Zionis dan sekutu Baratnya dengan menjenamakan Hamas sebagai gerakan militan dan pengganas.
Sebaliknya, penjajah Zionis cuba memposisikan pihak mereka sebagai pejuang keamanan dan menjadi mangsa yang harus diberi empati sebagai tindakan menjustifikasikan segala tindakan yang jelas telah melanggar undang-undang antarabangsa dan batas norma kemanusiaan.
Konflik lebih seabad
Realitinya, konflik Palestin telah berlangsung lebih seabad yang lalu dan tidak bermula sejak serangan pada 7 Oktober lalu.
Sejarah Palestin harus difahami agar kita berada pada sisi sejarah yang benar, tidak mudah terpengaruh dengan dakyah palsu, membuat andaian secara semberono, hilang harapan, bosan mahupun bersikap berkecuali.
Apa yang berlaku di Palestin bukan semata-mata isu agama dan bangsa, tetapi juga isu kemanusiaan dan hak asasi manusia yang sudah menjadi bencana.
Sepanjang 75 tahun penjajahan Zionis ke atas Palestin, iaitu sejak negara Israel tertubuh pada 1948, rejim Zionis telah melakukan terlalu banyak kezaliman termasuk beberapa peristiwa berdarah ke atas rakyat Palestin.
Palestin bukan tanah kosong ketika diceroboh orang-orang Yahudi secara beramai-ramai pada tahun 1948.
Jika dikorek lipatan sejarah dengan lebih mendalam, konflik rakyat Palestin bermula seawal British menjajah Palestin, iaitu selepas mengalahkan tentera Empayar Ottoman dalam Perang Dunia Pertama pada bulan Disember 1917.
Pada tahun berikutnya, secara rasmi Palestin jatuh ke tangan British yang kemudian bertindak ‘menghadiahkan’ Palestin kepada rejim Zionis.
Deklarasi Balfour bertarikh 2 November 1917 telah merintis kepada pembentukan negara Israel yang diwujudkan pada 14 Mei 1948.
Deklarasi ini diselar sebagai “janji daripada sesuatu yang tidak dimiliki” (merujuk kepada penjajah British) dan “kepada yang tidak layak menerimanya” (merujuk kepada orang-orang Zionis Yahudi).
Rentetan daripada penjajahan tersebut, bermulalah perpindahan secara besar-besaran bangsa Yahudi ke Palestin di bawah naungan British dari 1918 hingga 1947 dan berlaku pindah milik tanah secara haram kepada rakyat Zionis mengakibatkan 78 peratus tanah Palestin dirampas.
Ini menyebabkan 750,000 rakyat Palestin menjadi pelarian kesan daripada keganasan Zionis. Jumlah sebenar rakyat Palestin yang terkorban tidak dapat dipastikan sehingga ke hari ini, melalui 34 tragedi pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin, Naser al-Din, Beit Daras, Masjid Dahmash dan Dawayma, serta pemusnahan 530 (90 peratus) perkampungan Arab.
Bagi memperingati penderitaan rakyat Palestin, 15 Mei (sehari selepas penubuhan Israel) diisytihar sebagai Hari Nakbah (Malapetaka Besar).
Zionis gembira, Palestin derita
Impian Zionis Yahudi untuk memiliki sebuah negara khusus untuk orang-orang Yahudi akhirnya terlaksana pada malam 14 Mei 1948 setelah lebih setengah abad Theodore Hertzl mengilhamkan idea penubuhan negara Yahudi di Palestin.
Dengan kata lain, permulaan kegembiraan Zionis Yahudi adalah permulaan derita buat rakyat Palestin.
Malapetaka besar ini masih menghantui rakyat Palestin. Mereka masih terus dibunuh dan dibelenggu penjajahan sehingga ke hari ini.
Impian Zionis untuk mendirikan negara Israel terlaksana melalui operasi penghapusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai, hasil pelan terancang dengan sokongan kuasa besar dunia. Pada hari ini, sejarah ini kembali berulang kembali di Gaza seperti yang disaksikan sekarang sejak lebih sebulan yang lalu.
Genosid yang sedang berlaku di Gaza ketika ini amat menyedihkan hati manusia yang menontonnya setiap hari di skrin televisyen.
Tindakan melampau mengebom serta mengepung hospital atas alasan apa jua sekalipun, adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan di luar batas kemanusiaan.
Ketika ucapan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dalam mesyuarat Majlis Keselamatan PBB pada 24 Oktober lalu, beliau mengatakan, “Penting untuk kita iktiraf bahawa serangan Hamas tidak berlaku dalam vakum.”
“Kita perlu sedar bahawa serangan Hamas bukan berlaku tanpa sebab. Rakyat Palestin telah dijajah selama 56 tahun,” jelas Guterres. [1]
Kenyataan ini telah mengundang kemarahan Israel sehinggakan Menteri Luar Israel, Eli Cohen membatalkan mesyuarat beliau dengan Guterres dengan serta-merta. Wakil Israel di PBB, Gilad Erdan mendesak Guterres agar meletak jawatan.
Gaza dikepung
Realitinya, Hamas melakukan penentangan yang sah berdasarkan semua konvensyen dan norma antarabangsa untuk berjuang membebaskan Palestin yang dijajah dan menentukan nasib tanah airnya sendiri.
Hamas yang memenangi pilihan raya umum Palestin 2006, justeru merupakan pentadbir Gaza yang sah dan merupakan gerakan pembebasan Palestin yang mendapat mandat rakyat untuk membebaskan negaranya daripada penjajahan Zionis.
Gerakan pembebasan menentang penjajahan adalah hak yang dijamin oleh undang-undang antarabangsa untuk rakyat yang dijajah. Jaminan ini termaktub dalam Protokol Tambahan 1 Konvensyen Geneva 1949 yang merupakan undang-undang antarabangsa.
Gaza telah dikepung dari udara, laut dan darat selama 17 tahun sehingga menjadi kem tahanan terbuka terbesar di dunia.
Sumber bahan api, air, elektrik dikawal oleh pihak Israel. Israel datang menjajah, merompak tanah dan rumah mereka, menculik kanak-kanak, menahan orang awam secara tidak sah serta melakukan pelbagai penindasan dan keganasan.
Israel menahan ratusan kanak-kanak sebagai banduan, juga menahan ribuan orang Palestin secara tidak sah di dalam penjara dengan pelbagai penyeksaan tanpa dibicarakan.
Gaza telah ditindas tanpa belas kasihan dan tanpa mendapat pembelaan. Ketika rejim Zionis menghalalkan tindakan mereka sebagai cara mempertahankan diri, ia benar-benar menimbulkan kesangsian dan kecurigaan.
Ini kerana apa yang mereka lakukan sekarang jelas sekali merupakan tindakan aparteid dan pembersihan etnik secara total tanpa dapat diselindung lagi.
Kira-kira 13,000 nyawa telah terkorban dalam tempoh 45 hari (sehingga 19 November) termasuk 5,500 kanak-kanak dan 3,500 wanita.
Manakala jumlah yang cedera mencecah 32,300, selain lebih 3,000 orang yang hilang di bawah runtuhan atau berada di tepian jalanan kerana tidak dapat dibawa ke hospital akibat intensiti pengeboman rejim Zionis.
Setiap 10 minit, seorang kanak-kanak akan mati di Gaza akibat dibom. Sedarilah masyarakat dunia, serangan yang berlaku di Palestin luar perikemanusiaan dan terlalu lama dibiarkan dan kita tidak boleh membenarkan ia berlaku pada sesiapa pun.
Pembersihan etnik
Pakar bedah ortopedik dan pengasas bersama Bantuan Perubatan untuk Palestin yang pernah berkhidmat di Gaza (1982), Dr Ang Swee Chai dalam satu temu bual mengatakan:
“Saya sangat sedih kerana hanya 10 peratus rakyat Israel mahu pembunuhan beramai-ramai dihentikan dan selebihnya mahu ia diteruskan. Dalam erti kata lain, 90 peratus rakyat Israel yang lain mahu rakyat Palestin dibuang atau dibunuh, dan ini serasi dengan penghapusan etnik dan pemusnahan besar-besaran. Ia perkataan yang kuat, tetapi apa yang berlaku di Gaza adalah percubaan atau pembunuhan beramai-ramai.” [2]
Lebih 49 peratus daripada mangsa korban berasal dari kawasan selatan Gaza yang didakwa sebagai ‘koridor selamat’ oleh pihak rejim adalah bukti dakwaan palsu semata-mata.
Zionis mengebom orang-orang awam yang sedang dalam perjalanan mencari perlindungan melalui ‘zon selamat’ yang dikatakan laluan oleh rejim Zionis, apabila mereka memerintahkan rakyat Palestin di utara Gaza untuk berpindah ke selatan untuk ‘menyelamatkan diri’.
Seorang jururawat Amerika yang berkhidmat dengan Doctors Without Borders yang dipindahkan keluar dari Gaza, Emily Callahan dalam wawancaranya menyatakan bahawa keadaan di sana sangat mengerikan dan beliau akan mati dalam masa seminggu tanpa bantuan rakan-rakan Palestin kerana mereka satu-satunya sebab beliau masih hidup.
“Mereka (rakan Palestin) enggan meninggalkan pihak ekspatriat sehingga mereka menyeberangi sempadan, walaupun keluarga mereka sendiri melarikan diri daripada keganasan dan dalam beberapa kes, menjadi mangsa sendiri.” jelas beliau [3].
Tambah beliau, “Hati saya tertinggal di Gaza.”
Ahli politik Ireland, Richard Boyd Barret menyelar Israel dengan mengatakan bahawa, “Israel adalah sebuah negara pengganas yang dibina di atas pengeboman dan pembunuhan beramai-ramai.”
Dalam perkembangan terkini, lebih ramai pemimpin barat beralih pendirian bagi menghentikan peperangan ini berterusan berlaku.
Selepas 40 hari peperangan, akhirnya PBB meluluskan resolusi ‘jeda kemanusiaan’. Seramai 12 ahli Majlis Keselamatan PBB mengundi menyokong dan tidak ada yang mengundi menentang. Tiga negara termasuk AS berkecuali.
Resolusi Majlis Keselamatan adalah undang-undang antarabangsa yang mengikat negara-negara lain untuk mematuhinya. Walaupun selama ini banyak resolusi Majlis Keselamatan tidak dipatuhi Israel, namun ini akan menambah tekanan ke atas rejim Zionis.
Seorang peguam Perancis, Maitre Gilles Devers mengambil inisiatif untuk menggerakkan “tentera peguam” dalam masa 10 hari untuk membawa Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Devers mengesahkan dalam satu wawancara bahawa senarai itu termasuk 300 peguam setakat ini dan 3,000 lagi boleh dikumpulkan sambil menyatakan, pintu untuk menyertai masih terbuka kepada sesiapa sahaja “sebagai saksi jenayah Israel” terhadap rakyat Palestin.
Bersuara demi kemanusiaan
Jelas kepada kita bahawa Gaza kini sedang menghadapi ‘Holocaust’ dan telah bertukar menjadi tanah perkuburan besar bagi kanak-kanak dalam masa yang singkat.
Aktivitis dan penulis Israel-Amerika, Miko Peled menyatakan, “Tentera Israel adalah salah satu tentera yang disempurnakan dengan jurulatih terbaik, mempunyai kelengkapan terbaik dan organisasi pengganas terbaik yang diberikan makanan yang terbaik.”
Menurutnya, walaupun Israel Defence Force (IDF) mempunyai jeneral dan pakaian seragam (seperti tentera lain), tetapi matlamat penubuhan mereka adalah keganasan semata-mata.
Peled dibesarkan dalam keluarga berideologi Zionis, bapanya pernah berkhidmat sebagai jeneral IDF dan datuknya pula menandatangani perjanjian deklarasi ‘kemerdekaan’ Israel.
Situasi di Gaza menimbulkan persoalan, mengapa Zionis perlu membunuh beribu-ribu orang awam tidak berdosa atas nama mempertahankan diri?
Pembunuhan besar-besaran ini jelas sekali adalah keruntuhan moral yang melampau, bahkan melanggar segala norma kemanusiaan.
Kita sebagai masyarakat yang sedar harus menggunakan peluang kedudukan yang ada untuk menjadi suara kebenaran bagi mereka dengan tidak meninggalkan kompas moral.
Kita harus menjadi pejuang keadilan menegakkan kebenaran dan kedamaian. Sekiranya rakyat Palestin telah diniatkan untuk dimusnahkan oleh musuh, jangan biarkan suara atau tindakan kita dimusnahkan dengan sikap berdiam diri tanpa berbuat apa-apa.
Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan:
[1] Antonio Guterres
[2] Dr Ang Swee Chai
[3] Emily Callahan