Palestin: Ketepi Perbezaan, Hentikan Kekejaman Israel

Palestin: Ketepi Perbezaan, Hentikan Kekejaman Israel | IKRAM

Untuk memahami perjuangan rakyat Palestin dan konflik yang telah berlarutan lebih daripada tujuh dekad, tidak dapat tidak, kita mesti memahami sejarahnya agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda palsu, membuat andaian secara semberono, patah semangat, hilang harapan, bosan mahupun bersikap berkecuali. 

Gagal memahami lipatan sejarahnya menyebabkan isu Palestin sering disempitkan atau disalah erti menjadi isu agama dan bangsa semata-mata. Ia juga bukan soal isu berebut negara sepertimana yang disalah fahami ramai atau yang dikehendaki Zionis dan sekutunya, tetapi adalah soal mengembalikan semula negara Palestin kepada penduduknya secara bermaruah.  

Apa yang berlaku di Palestin sekian lama telah menyebabkan penduduk asalnya hidup sebagai pelarian di negara sendiri, tidak dapat hidup bermaruah, dinafikan hak asasi sehingga keadaan menjadi sangat terdesak dan kritikal. 

Namun apa yang menakjubkan, rakyat Palestin tetap terus cekal untuk meneruskan hidup dengan tabah, tidak putus harap dan masih bersemangat untuk hidup maju dan berdaya saing. 

Terbukti dalam siri kemelut sebelum ini, apa yang telah runtuh (hospital, sekolah, kedai dan sebagainya), mereka segera membinanya semula sedangkan bedilan bom sering menghujani tanah air mereka tanpa putus sejak sekian lama. Namun kali ini, mereka mendakwa serangan yang dilancarkan oleh rejim Zionis bersifat lebih agresif dan keras, yang belum pernah dialami dan disaksikan sebelum ini.

Perbincangan demi perbincangan di peringkat antarabangsa sekian lama tidak menampakkan apa-apa hasil yang memberangsangkan. Bahkan, dari masa ke masa, keadaan menjadi semakin parah di Palestin.

Tanah Palestin dirampas

Negara asal Palestin yang dahulunya berukuran 26,323 kilometer persegi dirampas sedikit demi sedikit oleh rejim Israel hingga kini Palestin hanya berdiri dalam keluasan sebanyak 6,025 km persegi. Israel telah menakluki lebih 70 peratus daripada wilayah Palestin yang asal.

Palestin bukan tanah yang kosong ketika diceroboh orang-orang Yahudi secara beramai-ramai pada tahun 1948. Deklarasi Balfour bertarikh 2 November 1917 telah merintis kepada pembentukan negara haram Israel yang diwujudkan pada 14 Mei 1948 yang merupakan perancangan jahat antara Zionis Yahudi dan British yang menjajah Palestin selepas mengalahkan tentera Khilafah Uthmaniyah dalam perang dunia pertama.

Deklarasi ini diselar sebagai “janji daripada sesuatu yang tidak dimiliki’ (merujuk kepada penjajah British) dan “kepada yang tidak layak menerimanya” (merujuk kepada orang-orang Zionis Yahudi).

Berjuta-juta penduduk asal Palestin dihalau keluar dari Palestin secara paksa oleh Zionis dan berjuta-juta orang Yahudi Zionis dipindahkan masuk sebagai ganti. Lebih 6 juta penduduk asal Palestin kini hidup di luar Palestin, menunggu untuk kembali ke kampung halaman. 

Kata kunci di sini ialah “Zionis” yang menjadi dalang utama. Zionis ialah ideologi politik rasis yang asas utamanya mendukung kewujudan Israel. Lebih melampau, kaum Zionis mengisytiharkan bahawa negara Israel hanya khas untuk orang Yahudi yang didakwa sebagai bangsa terpilih. 

Harus diketahui bahawa tidak semua Zionis adalah orang Yahudi dan tidak semua orang Yahudi itu Zionis. Terdapat orang-orang Yahudi yang tidak menyokong Zionis dan mereka juga menuntut agar rejim Zionis berhenti menzalimi rakyat Palestin. 

Disebabkan ideologi Zionis ini, maka rejim Israel dan sekutunya tidak sedikit pun mengendahkan bantahan pihak antarabangsa yang membantah kezaliman yang dibuat ke atas orang-orang Palestin, apatah lagi untuk berasa salah atas dosa besar yang dilakukan. 

Sebaliknya, mereka berasa bangga dan puas tanpa berselindung. Muslihat dan penipuan demi penipuan dilontarkan untuk menjustifikasikan segala kebiadaban yang dilakukan secara berleluasa.

Justeru, tidak pelik apabila rundingan perdamaian dengan Israel menjadi liku yang sukar. Agenda mereka jelas iaitu merampas Palestin untuk menukarkannya menjadi Israel. Inilah tekad mereka selama ini tanpa toleransi.

Serangan besar-besaran secara bertubi-tubi menyaksikan pembersihan etnik dilakukan tanpa belas kepada sesiapa sekalipun tanpa mengira mereka wanita, kanak-kanak atau warga tua yang tidak berdaya. Sebegitu dahsyat serangan, rejim Israel masih berdolak-dalik dan bermuslihat agar dunia dapat ditipu untuk berempati pada mereka.

Seorang jurnalis Israel, Gideon Levy pernah menyatakan, “Ada kepercayaan yang berakar umbi secara mendalam dalam kalangan Zionis iaitu mereka tidak menganggap mana-mana orang Palestin sebagai manusia.”

“Sebaliknya mereka merujuk rakyat Palestin sebagai sadis, liar, tiada nilai, ganas dan dilahirkan sebagai pembunuh. Bangsa mereka pula mereka rujuk sebagai bangsa yang terpilih dan paling berhak ke atas Palestin.” 

Israel terus angkuh

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam perhimpunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 22 September lalu membawa peta “Timur Tengah Baharu” dan memberitahu bahawa Palestin akan dilenyapkan secara seluruhnya.

Sejak 2007, Israel telah mengepung Gaza dari udara, laut dan darat hingga negara ini menjadi kem tahanan terbuka yang terbesar di dunia.

Sekatan bekalan keperluan asas, ubat-ubatan dan bahan api oleh rejim Israel ini menyebabkan Gaza tidak sesuai didiami menjelang tahun 2020 menurut laporan PBB yang diterbitkan pada 2012.

Kini, keadaan telah menjadi lebih teruk dan parah. Jadi, apakah jalan penyelesaian atau pilihan lain bagi orang-orang Palestin yang telah ditekan selama 16 tahun lamanya dalam kepungan yang menyeluruh? 

Terkini Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan bahawa mereka tidak akan menghantar apa-apa bantuan kepada Gaza dan pihak mereka juga akan menghalang mana-mana kemasukan bantuan daripada negara lain tanpa mendapatkan kelulusan dan pengawasan Israel. Ini merupakan jenayah perang antarabangsa. 

Puak Zionis telah melampaui segala norma kemanusiaan, melanggar piagam dan undang-undang antarabangsa tanpa menerima hukuman yang sejajar dengan kekejaman yang dilakukan. Mereka turut menggunakan bom fosforus putih yang sangat berbahaya dan telah pun diharamkan di peringkat antarabangsa. 

Pihak Israel berasa bebas melakukan apa sahaja dengan sokongan padu kuasa besar seperti Amerika syarikat dan Kesatuan Eropah. Media massa utama antarabangsa dipegang kuat untuk menyebarkan propaganda, membenarkan tindakan Israel dan menyebarkan kepalsuan. 

Rekod kemas kini pada 26 Oktober lepas mendedahkan statistik angka korban penduduk Gaza telah mencapai 7,028 kematian melibatkan 2,913 kanak-kanak dan 1,709 wanita, manakala 18,484 orang cedera tanpa dapat menerima rawatan yang sebaiknya disebabkan kekurangan bekalan dan kemudahan perubatan.

Klinik kesihatan dan hospital diletupkan sehingga staf perubatan turut menjadi mangsa pengeboman tanpa ihsan. Statistik ini terus meningkat disebabkan pengeboman tanpa henti dan berterusan setiap hari.

Noktahkan kekejaman Israel

Inilah masa untuk masyarakat Malaysia bersama seluruh dunia bersolidariti dengan rakyat Palestin agar kekejaman ini dinoktahkan dan rejim aparteid Israel dihukum atas kenistaan ini agar tidak diulangi kepada mana-mana pihak.

Pada era digitalisasi, peperangan bukan sahaja di medan pertempuran alam nyata, tetapi telah berevolusi ke alam siber. Propaganda media tidak kurang hebatnya sehingga mana-mana pihak yang “bertempur” memastikan agar mereka memenangi naratif media perdana.

Kandungan media sosial yang memperjuangkan isu Palestin akan diturunkan atau tidak mendapat sebaran ramai. Maka, gunakanlah segala saluran media yang ada secara kreatif untuk memerangi naratif palsu, namun berhati-hatilah dalam memilih kandungan. Pastikan ia punya kredibiliti dan sahih.

Nyatakan bantahan melalui perhimpunan-perhimpunan awam yang dianjurkan dan sampaikan mesej bantahan dengan terang dan jelas kepada komuniti antarabangsa. Suara rakyat Palestin telah cuba didiamkan atau disekat dengan pelbagai cara. 

Oleh hal yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk bersuara dengan kuat dan lantang dalam menuntut keadilan dan kedamaian di Palestin tanpa mengenal lelah. Rakyat Palestin telah berada pada tahap kitaran yang paling bawah dari sudut hak kemanusiaan. 

Dalam usaha dan kerja-kerja yang sangat menuntut kekuatan kesatuan, utamakan perpaduan dengan mengetepikan perbezaan dan pertelingkahan yang kurang bermanfaat. Perpecahan tidak pernah menguntungkan, malah merapuhkan dan melemahkan ikatan yang dipegang, sedangkan persamaan kita semua dalam isu Palestin lebih besar nilainya. 

Masa berlalu dan setiap detik menjadi sangat penting. Serangan yang dilakukan secara bertubi-tubi menaikkan statistik mangsa tragedi secara mendadak. Rejim Israel nampaknya tiada tanda untuk mengalah sekalipun masyarakat dunia semakin ramai yang mengutuknya. 

Bagi kita, tiada masa untuk menunggu lagi. Ini adalah seruan untuk bertindak kepada setiap rakyat Malaysia dengan segala kapasiti yang ada untuk mengupayakan usaha membebaskan Palestin daripada cengkaman kezaliman rejim Zionis dan sekutunya.

Ayuh, jadilah sebahagian daripada solusi ke arah kebebasan dan keadilan di Palestin!

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

 

Rujukan:

[1] Palestine: Country Profile.
[2] Palestine – Land Area
[3] Gaza in 2020: A liveable place?

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia