Lailatulqadar, Aidilfitri dan 7 Adab Ziarah

Lailatulqadar, Aidilfitri dan 7 Adab Ziarah | IKRAM

Ramadan berkata: “Jika aku pergi, aku akan kembali pada tahun yang akan datang. Namun jika kamu yang pergi, kamu tidak akan pernah kembali lagi menemuiku.”

Allahumma bariklana fi syahri Ramadan wa ballighna lailatulqadr.

Lailatulqadar (Arab: لیلة القدر) merupakan satu malam yang khusus terjadi pada bulan Ramadan. Al-Quran diturunkan pada malam lailatulqadar dan ia lebih baik daripada seribu bulan.

Malam ini tidak diketahui waktunya secara tepat namun menurut beberapa kitab, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, iaitu pada salah satu malam ganjil sama ada malam ke-21, ke-23, ke-25, ke-27 atau ke-29 dan ini merupakan pandangan jumhur ulama dan umat Islam.

Ada juga sebahagian kecil ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam ke-22, ke-24, ke-26, ke-28 atau ke-30 Ramadan. Terdapat juga sebahagian ulama berpendapat waktu lailatulqadar adalah tetap, iaitu pada satu malam dalam 10 malam akhir bulan Ramadan. 

Walau bagaimanapun, antara hikmah malam pertama ini dirahsiakan adalah agar umat Islam “rajin bercucuk tanam” di sepanjang malam khususnya pada sepuluh malam yang terakhir.

Majoriti umat Islam biasanya berusaha agar tidak mensia-siakan malam ini, lazimnya dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.

Kedatangan Ramadan sangat dirindui, manakala pemergiannya bakal ditangisi mereka yang cintakan kebaikan. Soalnya, apakah matlamat ketakwaan yang digariskan Allah SWT daripada madrasah Ramadan mampu diraih sepenuhnya atau tidak?

Jalan atau prasyarat yang boleh merealisasikannya perlu direnung kembali sama ada telah dilaksanakan sebaik-baiknya ataupun belum. Antara ibadat yang dititikberatkan ialah doa.

Firman Allah SWT (maksudnya):

“Apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah: 186)

Doa ialah kalimah pinjaman bahasa Arab bermaksud memanggil atau menyeru, meminta tolong atau menyembah. Ibnu Manzur dalam karyanya, “Lisan al-Arab” menyebut makna doa kepada Allah dalam tiga bentuk iaitu mengesakan dan memuji-Nya, meminta keampunan, rahmat serta mendekatkan diri kepada-Nya dan memohon habuan keduniaan seperti rezeki berbentuk harta dan anak-pinak.

Dalam kesayuan menghitung hari terakhir Ramadan, kita juga perlu merafakkan tangan berdoa dari lubuk hati yang dalam agar Allah SWT menerima segala amalan dan menggolongkan kita dalam kalangan mereka yang bertakwa.

Kita juga tidak boleh lupa mendoakan kesejahteraan keluarga dan negara kita agar kekal dalam acuan beragama serta berakhlak Islam, selain kepada saudara seagama yang sedang dizalimi di Palestin dan negara lain (Hasanuldin, 2019).

Aidilfitri pada 1 Syawal adalah anugerah Allah SWT kepada umat Islam. Ia merupakan suatu kemenangan kerana kejayaan melaksanakan tuntutan agama yang terkandung dalam Rukun Islam yang lima. 

Sesungguhnya ibadah puasa pada bulan Ramadan ini amat besar ganjaran pahalanya sehingga ia diriwayatkan dalam hadis qudsi yang bermaksud:

“Semua amalan anak Adam adalah baginya kecuali berpuasa, ia hanya untuk Aku dan Aku menganugerahkan kepadanya dengan sebab puasanya itu.” (HR Bukhari dan Muslim)

Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa umat Islam perlu meneruskan disiplin dan adab seperti sepanjang Ramadan supaya Syawal tidak dicemari dengan amalan atau perbuatan yang tidak sepatutnya.

Meneladani amalan dan adab sambutan Syawal Rasulullah SAW perlu dilaksanakan, terutama untuk memastikannya agar tidak diisi dengan aktiviti sia-sia dan bercanggah dengan tuntutan agama.

Sungguh terkesan dan rasa berat di hati kita, apabila tiba syawal, terkadang madrasah Ramadan yang telah mendidik kita menjadi insan yang lemah lembut hatinya, sabar dalam menghadap ujian, tawaduk dalam kesyukuran, takwa dengan sifat-sifat kehambaan dan tersedia dalam roh insan yang bersungguh dengan sifat-sifat mahmudah serta kuat kehambaan pada Penciptanya, tiba-tiba bertukar menjadi suatu kelainan yang sudah mulai sedikit demi sedikit cenderung kepada situasi yang tidak selari dengan tuntutan syariat.

Amalan ziarah-menziarahi adalah tuntutan agama, namun kedapatan ia dicemari bilamana pergaulan berlaku tanpa akhlak dan adab yang tidak bertepatan dengan hukum syarak. Contohnya bersalaman atau mendedahkan aurat bagi yang bukan mahram (MAIS, 2024).

Tujuh perkara yang mesti dijaga semasa pergi berziarah

1. Jaga niat dan tujuan

Setiap perkara yang kita lakukan pastinya ada niat bukan? Kenapa kita ingin pergi ke rumah terbuka? Adakah kita mahu mengeratkan hubungan silaturahim, saling bermaafan ataupun sekadar ingin memperagakan atau menunjuk-nunjuk baju raya kita yang paling cantik dan mahal? Jawapan itu ada pada diri masing-masing. Tepuk dada tanya iman.

2. Jaga aurat

Bagi yang lelaki, tidaklah ada masalah dari segi aurat, tetapi bagi yang perempuan seharusnya memakai pakaian yang menutup aurat dan tidak mencolok mata.

3. Jaga masa

Masa amat penting. Kita harus tahu waktu majlis rumah terbuka tersebut diadakan. Jangan pula apabila tuan rumah sudah siap mengemas semuanya barulah kita sampai. Menyusahkan tuan rumah pula untuk melayan kita.

4. Jaga solat

Jangan sibuk ke sana ke mari menghadiri majlis rumah terbuka sehingga kita lupa untuk menunaikan solat. Sudah memakai baju cantik-cantik, mekap tebal-tebal, nak mengambil wuduk pun tak mahu sebab sayangkan mekapnya.

Ingatlah, matlamat tidak menghalalkan cara. Bagi tuan rumah pula, apabila sibuk melayan tetamu yang hadir jangan pula meninggalkan solat. Jangan pula sibuk mencari pahala berumah terbuka tetapi dosa pulak yang kita dapat. Ingat tu!

5. Jaga akhlak dan tatasusila

Akhlak dan tatasusila haruslah dijaga semasa berada di majlis rumah terbuka. Sebagai contoh:

a) Memberi salam dan bersalaman 

Berilah salam dengan baik dan jelas. Bagi yang bukan mahram, dilarang sama sekali untuk kita bersalam.

b) Meminta izin untuk masuk

Mintalah izin dengan penuh hormat. 

c) Memendekkan tempoh ziarah

Janganlah pula kita duduk dalam majlis tersebut berjam-jam.

d) Mengawal pandangan dan merendahkan suara 

Kita haruslah menjaga pandangan semasa berada di rumahnya. Janganlah pula kita melilau-lilau memandang sesuka hati (meneroka rumah tuan rumah sehingga ke bilik).

Kita juga perlu merendahkan suara. Ingat, tetamu yang ada dalam majlis tersebut takkan mahu dengar suara anda seorang saja bukan? Jadi pandai-pandailah anda mengawal suara agar tidak mengganggu ketenteraman tetamu yang lain.

e) Meminta izin untuk balik

Jangan lupa meminta izin untuk balik daripada tuan rumah. Janganlah terus pergi begitu sahaja. Ucapkanlah salam dan bersalamanlah dengan tuan rumah terlebih dahulu. Jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih atas jemputan dan hidangan yang disediakan.

6. Jaga adab makan

Adab makan perlu dijaga semasa menghadiri rumah terbuka. Ambil apa yang anda rasa perlu sahaja. Jangan membazir walaupun anda tahu banyak lagi makanan yang disediakan. Membazir amalan syaitan.

7. Jaga mulut

Selepas menghadiri rumah terbuka, janganlah pula kita membanding-bandingkan, rumah ni best, rumah tu hidangannya sikit dan tak sedap! Macam-macam kita komplen lagi, langsir tuan rumah tak cantiklah, rumah kecillah dan sebagainya. Namun sebagai tetamu haruslah kita bersyukur dengan apa yang tuan rumah sediakan.

Itulah serba sedikit tip atau panduan yang saya mahu kongsikan bersama pembaca sebelum kita menghadiri majlis rumah terbuka agar kita menjaga adab-adabnya sebaik mungkin.

Jadikanlah kunjungan kita ke rumah terbuka sebagai satu jambatan untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita selain mencari pahala dan keberkatan pada hari yang mulia ini. Insya-Allah.

Hendaklah berjasa
Kepada yang sebangsa

Hendaklah jadi kepala
Buang perangai yang cela

Hendak memegang amanat
Buanglah khianat

Hendak marah
Dahulukan hujah

Hendak dimalui
Jangan melalui

Hendak ramai
Murahlah perangai

(Gurindam 12 – Raja Haji Fiisabilillah)

Dr Rosfazila Abd Rahman adalah Pensyarah kanan / Penyelidik/ Ketua Pasca Siswazah, Jabatan Pengajian Ketamadunan dan Pembangunan Insan, Fakulti Sains Sosial (FSS), Universiti Islam Selangor (UIS).

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia