Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah merupakan hari yang disyariatkan untuk disambut sebagai hari kegembiraan dan hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadat dengan sempurna pada bulan Ramadan.
Menyambut Hari Raya Aidilfitri juga sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rahmat dan petunjuk-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
“… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”
Justeru bagi mendapat keberkatan dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri ini, kita sebagai umat Islam hendaklah menghayati sunnah-sunnah yang disarankan Rasulullah SAW.
Berikut adalah amalan-amalan sunnah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, antaranya ialah:
Pertama: Takbir raya
Bertakbir pada malam raya dan pagi raya di mana sahaja kita berada (selain dalam tandas, bilik air).
Kedua: Beribadah
Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah SWT seperti melakukan solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar, bersedekah dan amalan-amalan baik lainnya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya dengan ikhlas kerana Allah, nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati.” (HR Ibnu Majah)
Ketiga: Mandi sunat
Mandi sunat hari raya, memakai pakaian yang baik dan memakai bau-bauan sebelum keluar menunaikan solat sunat hari raya.
Keempat: Keluar lebih awal
Bagi makmum sunat pergi ke tempat solat hari raya lebih awal, sementara Imam disunatkan datang lewat sedikit, iaitu ketika hendak mendirikan solat.
Kelima: Makan sebelum solat hari raya
Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, ia berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi Hari Raya Aidilfitri, sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (HR Bukhari)
Keenam: Sedekah
Memberi kelapangan kepada keluarga dari segi perbelanjaan, memperbanyakkan sedekah sekadar yang termampu.
Ketujuh: Solat Aidilfitri, mendengar khutbah
Melaksanakan solat sunat Aidilfitri diikuti dengan mendengar khutbah Aidilfitri.
Kelapan: Pergi dan pulang jalan lain
Keluar pergi solat melalui jalan lain dan balik ke rumah semula selepas solat melalui jalan yang lain. Bagi yang mampu adalah lebih afdal pergi solat berjalan kaki.
Kesembilan: Gembira, ziarah dan ucapan yang baik
Menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu dengan orang mukmin, serta ziarah-menziarahi bagi mengeratkan silaturahim serta mengucapkan sebarang ucapan yang baik.
Para sahabat Rasulullah SAW ketika bertemu sesama mereka pada hari raya mereka menyebut: تقبل الله منا ومنك (Semoga Allah menerima amal kami dan juga amal kamu).
Kesepuluh: Menjaga pergaulan
Memelihara pergaulan dan tidak bersalam antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti ipar, isteri bapa saudara atau suami ibu saudara dan seumpamanya.
Jom amalkannya
Begitulah antara amalan-amalan sunnah dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Ayuh, marilah kita amalkan sunnah-sunnah ini agar terus mendapat keberkatan dan ganjaran pahala yang dijanjikan-Nya kerana mentaati perintah-Nya dan menuruti sunnah Rasul-Nya.
Selamat beramal.