Hari Raya: Ketahui 6 Adab Ziarah Erat Silaturahim

Hari Raya: Ketahui 6 Adab Ziarah Erat Silaturahim | IKRAM

Pelbagai amalan boleh dilaksanakan pada bulan Syawal antaranya ziarah-menziarahi, bermaaf-maafan, mengadakan jamuan makan dan sebagainya yang sememangnya dituntut oleh syarak tanpa mengira masa dan ketika. 

Kebiasaannya amalan-amalan tersebut dilakukan masyarakat sebagai satu adat tradisi dalam mengambil keberkatan bulan yang mulia ini.

Walaupun Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada 1 Syawal sahaja, menyambut hari raya dengan ziarah-menziarahi pada sepanjang sebulan ini merupakan kebiasaan yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Situasi berkenaan amat berbeza dengan umat Islam di luar negara terutama masyarakat Arab di rantau Timur Tengah yang sekadar menyambut perayaan itu pada hari pertama Syawal.

Hakikatnya, menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

Namun, kita diingatkan supaya tidak melupakan puasa sunat enam hari pada Syawal di samping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal, seterusnya tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau ziarah.

Sambutan Syawal dalam masyarakat Islam di negara ini biasanya akan berlanjutan selama sebulan.

Raya Sebulan?

Adakalanya timbul persoalan sama ada amalan sambutan rumah terbuka, ziarah-menziarahi dan maaf-bermaafan digalakkan dilakukan sepanjang Syawal ini.

Tentunya meraikan Syawal adalah pada hari raya pertama tetapi hari yang seterusnya dalam bulan ini menjadi satu adat dalam masyarakat kita.

Islam menggalakkan umatnya mengambil peluang ini untuk mengadakan jamuan makan terutamanya kepada fakir miskin bagi menyahut seruan al-Quran sebagaimana firman Allah SWT.

Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih, kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut”.” (Al-Insaan: 8-10)

Amalan mengunjungi saudara mara, sahabat handai dan jiran tetangga, merupakan satu amalan yang amat dituntut oleh Islam.

Selain merapatkan ikatan silaturahim sesama Islam, amalan seumpama ini mengutuhkan lagi tautan ukhuwah.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu, dan bertakwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat: 10)

Adab Ziarah

Namun, ramai di antara kita yang dilihat masih kurang berhati-hati dalam menjaga tatatertib dan tatasusila sebagai seorang Islam dalam amalan menziarahi saudara-mara, rakan taulan dan jiran tetangga.

Bukan sahaja pada hari lebaran, bahkan ketika hari-hari biasa juga, sering diabaikan adab-adab dan etika yang sepatutnya dijaga.

Sering kali di antara kita terlepas pandang tentang adab-adab ziarah terutama menyentuh soal waktu. Mari kita ketahui antara  adab-adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ketika melakukan amalan kunjung-mengunjungi.   

1. Memberi salam

Sebagai tetamu perlu memohon keizinan dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu.” (An-Nur: 27)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

Apabila kamu meminta izin sebanyak tiga kali tetapi tidak mendapat keizinan, hendaklah kamu beredar.”  (HR Muslim, 2153)

2. Berjabat tangan

Sebagai tetamu digalakkan untuk bersalaman dengan tuan rumah. Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah sebelum keduanya berpisah.” (HR Abu Dawud, No. 5212, Disahihkan al-Albani)

Amalan berjabat tangan ini perlulah dilakukan dengan orang yang dibenarkan oleh syarak sahaja. Ini kerana terdapat segelintir masyarakat yang dilihat begitu mudah menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki atau wanita yang bukan mahram. 

Tindakan ini amat dimurkai oleh Allah dan merupakan perkara yang amat ditegah dalam Islam. Baginda SAW bersabda:

Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu adalah lebih baik bagi kamu daripada kamu menyentuh wanita yang tidak halal bagi kamu.” (HR Thabrani, No. 487)

3. Menjaga tingkah laku dan pandangan

Sebagai tetamu, ia perlulah menjaga serta mengawal pandangan dan tingkah laku serta tidak seharusnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain.

Ini kerana tetamu yang tidak memelihara pandangannya akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. Tetamu juga perlu duduk di tempat yang telah dikhaskan oleh tuan rumah apabila berziarah.

4. Memelihara tutur kata

Kata-kata dan pertanyaan yang mengguriskan hati hanya akan mengundang perbalahan.  Terdapat segelintir masyarakat yang mulut mereka begitu ringan untuk menghina, mengata, mengumpat serta menjatuhkan air muka seseorang.

Padahal sebagai Muslim, adalah wajib hukumnya menjaga tutur kata agar tidak mengguris hati tetamu atau tuan rumah. Rasulullah SAW turut menegah kelakuan ini dan menganjurkan setiap Muslim agar memelihara lidah dengan menuturkan kata-kata yang baik. 

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seseorang hamba apabila mengucapkan sesuatu perkataan tanpa diteliti akan kebenarannya, akan membuatkannya terjerumus ke dalam neraka yang dalamnya sejauh antara jarak timur ke barat.” (HR Muslim, No. 2988)

Ketahuilah kita bahawa kata-kata yang baik merupakan satu doa yang pasti dapat menggembirakan hati pendengar.  

Oleh yang demikian, bahasa yang dituturkan kepada tuan rumah perlulah baik, sopan dan menyenangkan. Dengan mengawal kata-kata dengan bijak, nescaya dapat membantu membina pertalian yang lebih kukuh.

5. Ziarah pada waktu yang sesuai

Islam menegah umatnya daripada membuat kunjungan pada tiga waktu iaitu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana dikhuatiri akan mengganggu tuan rumah berehat dan seterusnya menyebabkan mereka tidak bersedia untuk menyambut kehadiran tetamu.

Apa yang pasti, ia menjadi sesuatu yang tidak baik sekiranya kunjungan yang dilakukan hanya akan memberi beban dan kesusahan kepada mereka.

6. Jangan duduk terlalu lama

Adab dan etika bagi mereka yang bertandang perlu dijaga agar tidak menyusahkan tuan rumah. Jangan duduk terlalu lama hinggakan tuan rumah berasa tidak selesa, lebih-lebih lagi sekiranya mereka menerima banyak kunjungan pada hari itu.

Apabila hendak pulang, mintalah izin daripada mereka, maka ucapkanlah terima kasih atas jemputan dan layanan yang telah diberikan. Seterusnya, adalah lebih baik mendoakan kebaikan yang baik buat tuan rumah.

Tetamu bukan Islam

Apa yang pasti, melakukan amal kebaikan ini tidak hanya menjurus kepada hal ibadat semata-mata, tetapi dalam masa sama perlu diseimbangkan dengan turut mendisiplinkan diri dalam banyak perkara termasuk mengubah sikap dan keperibadian diri ke arah yang lebih baik.

Jika Syawal diisi dengan perkara yang sia-sia, tidak ada makna sambutan yang dianjurkan Islam sebagai ganjaran dan bagi menggembirakan umat Islam.

Rasulullah SAW ketika hayatnya menyampaikan risalah Islam bukan hanya kepada kelompok orang Islam tetapi turut meraikan masyarakat bukan Islam.

Maka, tidak menjadi kesalahan untuk menjemput atau melayani tetamu dalam kalangan bukan Islam seperti jiran tetangga dan sahabat taulan. Hikmahnya, mereka dapat melihat sendiri bagaimana Aidilfitri ini diraikan, selain menunjukkan Islam tidak memisahkan atau meminggirkan mereka.

Apa yang lebih penting dalam meraikan Syawal dengan orang bukan Islam, perlu menjaga adab dan pastikan sambutan Aidilfitri itu dilaksanakan berlandaskan syariat agama yang benar.

Ia boleh dilakukan dengan menunjukkan contoh yang baik antaranya dari aspek komunikasi, menjaga aurat dan menonjolkan kemanisan Islam melalui juadah makanan halal bagi menjamu mereka.

Moga dengan kita mengamalkan adab-adab ziarah ini, akhlak kita sebagai seorang Islam makin terpelihara dan beroleh ganjaran-Nya kerana menebarkan qudwah yang baik kepada masyarakat sekeliling.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia