Tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024 yang telah menerima keputusan masing-masing.
Tidak kira apa jua keputusan yang tertera di atas slip peperiksaan, anda semua telah pun melalui satu fasa penting dalam kehidupan, satu tempoh panjang yang dipenuhi dengan pembelajaran, perjuangan emosi, harapan dan peluh keringat.
Sesungguhnya usaha adalah sesuatu yang berada dalam kawalan kita, manakala keputusan pula ialah natijah yang ditentukan oleh pelbagai faktor. Ada yang dalam kawalan dan ada yang di luar jangkaan kita.
Maka sesiapa sahaja yang telah berusaha dengan jujur, bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa meskipun diuji dengan pelbagai kesukaran sepanjang tempoh persekolahan, mereka layak menerima penghargaan.
Penilaian seseorang bukan hanya berdasarkan angka di atas slip peperiksaan, tetapi juga pada nilai usaha, ketabahan dan integriti yang ditunjukkan sepanjang proses menuntut ilmu.
Setiap pelajar menempuh jalan yang berbeza
Sering kali kita terlepas pandang bahawa tidak semua pelajar menempuh jalan yang sama ketika menduduki peperiksaan. Di sebalik wajah-wajah yang kelihatan biasa dan senyuman ketika menerima keputusan, tersembunyi pelbagai kisah yang luar biasa.
Ada yang belajar dalam suasana rumah yang kondusif, lengkap dengan sokongan akademik, kasih sayang keluarga dan kemudahan pembelajaran moden.
Namun, ada juga yang menjalani rutin harian penuh cabaran seperti bangun seawal pagi bukan sahaja untuk ke sekolah, tetapi juga untuk membantu ibu bapa berniaga atau bekerja sampingan demi menyara keluarga.
Sebahagian mereka belajar dalam keadaan serba kekurangan iaitu tiada telefon pintar, tiada data Internet, buku-buku yang dikongsi adik-beradik dan ruang belajar yang sempit.
Ada pula yang bergelut dengan tekanan emosi, kesihatan yang tidak menentu, bahkan ada yang membesar dalam persekitaran yang tidak stabil dari segi sosial dan ekonomi.
Dalam konteks ini, amatlah tidak adil jika kita menyamakan semua pelajar dan menilai mereka hanya berdasarkan keputusan peperiksaan tanpa mengambil kira latar belakang serta cabaran yang dilalui.
SPM bukan penamat segalanya
Perlu difahami bahawa SPM bukanlah noktah kepada segala-galanya. Ia hanyalah satu persinggahan dalam perjalanan panjang bernama kehidupan. Ramai yang menganggap keputusan SPM sebagai penentu tunggal masa depan, lalu berasa terlalu kecewa jika keputusan tidak seperti yang diimpikan.
Namun, kehidupan selepas SPM jauh lebih luas daripada angka di atas kertas. Tidak kira sama ada seseorang memperoleh keputusan cemerlang, sederhana atau kurang memberangsangkan, masa depan mereka masih terbuka luas untuk dibentuk dengan pilihan, tindakan dan sikap mereka selepas ini.
Banyak pengalaman hidup dan kisah ramai orang membuktikan bahawa kejayaan dalam hidup tidak semestinya datang daripada keputusan peperiksaan yang cemerlang semata-mata. Setiap orang ada laluan dan waktu yang berbeza sepertimana tidak semua bunga mekar pada musim yang sama.
Apa yang menentukan kejayaan seseorang bukan hanya keputusan awal, tetapi bagaimana seseorang mengurus kehidupan selepasnya iaitu kesungguhan berterusan dalam mencari ilmu, membaiki diri dan tidak pernah berhenti mencuba sepanjang hidup.
Nilai diri dan sikap lebih penting
Apa yang lebih kekal dalam kehidupan bukanlah angka pada keputusan peperiksaan, tetapi nilai dan sikap yang dibentuk sepanjang tempoh persekolahan.
Sikap hormat kepada guru dan ibu bapa, disiplin diri, kejujuran, kecekalan menghadapi tekanan, semangat kerja berpasukan serta pegangan agama yang teguh akan menjadi bekal yang jauh lebih bernilai dalam mengharungi alam dewasa.
Sebaliknya, sikap negatif seperti suka membandingkan diri dengan orang lain, cepat berputus asa, tidak menghargai usaha orang lain atau cenderung menyalahkan keadaan apabila gagal akan terus terbawa-bawa dan menghalang seseorang untuk berkembang jika tidak dibendung sejak awal.
Nilai diri anda tidak ditentukan oleh sehelai kertas, tetapi oleh siapa anda pada hari ini dan siapa yang anda usahakan untuk jadi pada masa depan.
Bangkit dan terus melangkah
Kepada para pelajar yang mungkin kecewa dengan keputusan SPM, ketahuilah bahawa kegagalan hari ini tidak bererti anda akan gagal selama-lamanya. Ramai yang berjaya bukan kerana mereka tidak pernah gagal, tetapi kerana mereka tidak pernah berhenti mencuba.
Rezeki tidak datang serentak kepada semua orang. Ada yang mendapatnya awal, ada yang lambat sedikit dan ada yang melalui jalan yang berliku. Namun, selagi seseorang tidak berhenti berusaha, maka peluang untuk berjaya tetap terbuka.
Dalam dunia hari ini, banyak laluan tersedia untuk membina masa depan melalui pelbagai saluran dan ruang seperti pendidikan teknikal dan vokasional, institut latihan kemahiran, kursus profesional serta keusahawanan digital.
Setiap individu adalah unik dengan kelebihan tersendiri. Apa yang penting ialah seseorang itu sedar akan potensi dirinya, sanggup bekerja keras, tidak mudah berputus asa dan bijak mencari peluang.
Teruskan langkah, jangan berhenti di sini
Maka, jangan sesekali biarkan satu keputusan menentukan keseluruhan naratif hidup anda. Sebaliknya, jadikan ia sebagai titik tolak untuk menulis kisah yang lebih bermakna, membina jalan yang lebih teguh dan menjadi insan yang lebih kuat.
Berbanggalah dengan usaha anda. Hargailah setiap detik yang telah dilalui. Ucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru, rakan-rakan dan sesiapa sahaja yang telah membantu sepanjang perjalanan.
Dunia sedang menanti sumbangan anda, bukan sekadar dengan ijazah atau gaji tinggi, tetapi dengan nilai kemanusiaan, integriti dan semangat memperbaiki dunia ke arah yang lebih baik.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia