“Di sebalik seorang wanita yang berjaya, bukan hanya ada kekuatan dirinya, tetapi ada juga sistem sokongan yang percaya kepada potensinya.”
Wanita merupakan nadi kepada pembangunan sesebuah negara. Hari ini, peranan wanita tidak lagi terbatas kepada institusi keluarga semata-mata, malah melangkaui pelbagai sektor sebagai pemimpin organisasi, usahawan, penyelidik, pendidik, anggota keselamatan, saintis dan pencetus inovasi.
Dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), kecerdasan buatan (Artificial Intelligence – AI) dan ekonomi digital, wanita bukan lagi sekadar peserta pembangunan, tetapi menjadi antara penentu kepada masa depan negara.
Ketabahan dan sokongan
Namun, perjalanan seorang wanita menuju kejayaan bukanlah mudah. Mereka perlu mengimbangi kerjaya, keluarga, pembangunan diri dan tanggungjawab sosial dalam landskap yang semakin kompleks.
Di sebalik kejayaan yang diraikan, sering tersembunyi pelbagai cabaran, tekanan dan pengorbanan yang tidak kelihatan. Di sinilah terserlah makna sebenar seorang wanita berhati waja bukan kerana mereka tidak pernah jatuh, tetapi kerana mereka sentiasa mempunyai keberanian untuk bangkit.
Walau bagaimanapun, ketabahan sahaja tidak mencukupi. Wanita tidak seharusnya dipaksa memikul segala beban secara bersendirian. Mereka memerlukan sistem sokongan yang utuh daripada keluarga, organisasi, komuniti, institusi pendidikan, industri dan kerajaan agar setiap potensi dapat berkembang secara optimum.
Apabila peluang, latihan dan sokongan diberikan secara menyeluruh, wanita bukan sahaja mampu berjaya, malah mampu memimpin perubahan.
Peluang yang lebih adil dan saksama
Kesedaran inilah yang menjadi asas kepada Dasar Wanita Negara 2025-2030 yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai kesinambungan usaha kerajaan memperkasakan wanita selaras dengan Dasar Sosial Negara 2030.
Dasar ini memberi penekanan kepada peluang yang lebih adil dan saksama dalam aspek ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan.
Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Nancy Shukri, dasar ini diberikan nafas baharu bagi memastikan wanita terus diperkasakan melalui dasar dan inisiatif yang benar-benar memenuhi keperluan semasa serta cabaran masa hadapan.
Pelaburan strategik pembangunan modal insan
Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pemerkasaan wanita bukan sekadar memenuhi prinsip kesaksamaan gender, tetapi merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan negara. Negara tidak akan mampu bersaing dalam ekonomi global sekiranya separuh daripada bakat yang dimiliki tidak diberikan peluang untuk berkembang sepenuhnya.
Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi, pemerkasaan wanita tidak lagi boleh dipisahkan daripada pembangunan kemahiran digital.
Menyedari hakikat ini, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melaksanakan Program MIGHT-MOSTI Reskilling, iaitu satu inisiatif latihan semula yang memberi peluang kepada wanita memperoleh kemahiran dalam bidang strategik seperti kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan (cloud computing), automasi robotik, analitik data dan pembangunan aplikasi digital.
Sokongan yang signifikan
Program ini merupakan satu bentuk sistem sokongan yang amat signifikan dalam menyediakan wanita menghadapi masa depan pekerjaan.
Melalui latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling), wanita bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran diri, malah berpeluang meneroka kerjaya baharu, membina perusahaan digital serta menyumbang secara langsung kepada pembangunan ekonomi berasaskan teknologi.
Selain pembangunan kemahiran, MIGHT turut memainkan peranan penting dalam mengangkat suara wanita melalui penerbitan laporan Futures According to Women.
Saya berpeluang menghadiri Majlis Pelancaran Laporan Futures According to Women anjuran MIGHT yang telah disempurnakan oleh Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Turut hadir, Dato’ Sri Nancy serta Ts. Rushdi Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif MiGHT.
Laporan ini menghimpunkan pandangan kepimpinan, pengalaman dan wawasan daripada lebih 60 tokoh wanita yang mewakili pelbagai sektor termasuk teknologi, pendidikan, industri, penyelidikan, keusahawanan, pertahanan dan perkhidmatan awam.
Lebih daripada sekadar sebuah laporan, Futures According to Women merupakan satu inisiatif strategik yang mengangkat suara wanita dalam membentuk agenda masa depan negara.
Wanita sebagai pembuat keputusan
Wanita tidak seharusnya sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mereka perlu berada di meja membuat keputusan sebagai pencipta inovasi, penyelidik, pembuat dasar, usahawan dan pemimpin industri. Inilah antara mesej yang paling menginspirasikan dalam laporan tersebut.
Pembangunan AI yang bertanggungjawab memerlukan kepelbagaian dalam perspektif, dan wanita berupaya membawa nilai empati, etika, kreativiti serta pemikiran holistik yang amat diperlukan dalam membentuk teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Pemerkasaan wanita juga tidak akan lengkap tanpa kebebasan ekonomi. Wanita yang mempunyai sumber pendapatan, kemahiran dan akses kepada peluang ekonomi bukan sahaja mampu berdikari, malah menjadi tonggak kepada kesejahteraan keluarga dan pembangunan komuniti.
Justeru, Domain Wanita dan Ekonomi memberi penekanan kepada pelaksanaan Program Pembangunan Kapasiti dan Latihan Keusahawanan yang merangkumi advokasi penjanaan pendapatan, pembangunan kemahiran, literasi kewangan serta keusahawanan digital.
Program-program ini dilaksanakan dalam bentuk kursus dan bengkel yang lebih dekat dengan komuniti bagi memastikan wanita memperoleh kemahiran yang benar-benar relevan dengan keperluan setempat dan kehendak industri.
Melalui program-program ini, wanita didedahkan kepada pengurusan kewangan, pemasaran digital, penggunaan platform e-dagang, pembangunan jenama, teknologi digital dan pengurusan perniagaan.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan, malah memperkukuh keyakinan diri, memperluaskan jaringan profesional serta membuka peluang untuk meneroka pasaran baharu dalam ekonomi digital.
Penyertaan aktif wanita
Hakikatnya, sistem sokongan yang sebenar tidak hanya hadir dalam bentuk dasar kerajaan atau program latihan. Ia bermula dari rumah.
Sokongan pasangan yang memahami, keluarga yang memberi dorongan, majikan yang menyediakan persekitaran kerja yang fleksibel, mentor yang membimbing, rakan sekerja yang menghargai dan masyarakat yang menghormati keupayaan wanita merupakan asas kepada pembentukan wanita yang benar-benar berdaya tahan.
Sesungguhnya wanita berhati waja tidak lahir secara kebetulan. Mereka dibentuk melalui pendidikan, pengalaman, peluang dan sistem sokongan yang tidak pernah berhenti mempercayai potensi mereka.
Apabila kerajaan menyediakan dasar yang progresif, institusi menawarkan peluang pembangunan, organisasi membuka ruang kepimpinan, industri membuka akses kepada teknologi dan masyarakat menghargai sumbangan wanita, maka lahirlah generasi wanita yang bukan sekadar mampu menghadapi perubahan, tetapi memimpin perubahan.
Malaysia kini sedang bergerak ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi yang diterajui oleh inovasi, teknologi dan ekonomi digital.
Aspirasi ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa penyertaan aktif wanita sebagai pemimpin, penyelidik, usahawan, pembangun teknologi dan pembuat dasar. Memperkasakan wanita bukan sekadar memenuhi tuntutan kesaksamaan, tetapi juga merupakan strategi penting untuk memperkukuh daya saing negara.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Ahli Majlis Bahasa Negara &
Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MYRAS




