Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu tanda aras penting dalam perjalanan hidup seorang pelajar. Ia bukan sahaja menguji pengetahuan akademik, tetapi juga mewakili peralihan hidup seorang pelajar dari alam persekolahan ke alam dewasa yang lebih mencabar.
SPM menawarkan peluang untuk pelajar membuktikan kemampuan diri dan berupaya meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan. Kejayaan dalam peperiksaan ini membuka pintu kepada pelbagai pilihan pendidikan lanjutan yang sesuai dengan minat dan potensi diri masing-masing.
Dalam pada itu, kegagalan atau tidak beroleh keputusan yang baik dalam SPM bukanlah satu pengakhiran atau musibah kehidupan. Di sini, apa yang paling penting ialah usaha dan komitmen pelajar dalam proses pembelajaran, bukan hanya keputusan akhir sahaja.
Pelajar yang telah mengerahkan sepenuh usaha dan keazaman dalam proses menuntut ilmu sebenarnya sudah meraih satu bentuk kemenangan dengan menyuntik nilai-nilai murni seperti ketekunan, kesabaran dan daya tahan yang tinggi ke dalam diri sendiri. Itu adalah kualiti diri orang yang berjaya.
Raikan kejayaan atas kesungguhan yang telah dicurahkan, walaupun hasil yang diperoleh masih belum seperti yang diidamkan. Usaha yang telah ditunjukkan itu adalah kejayaan yang perlu diraikan kerana ia melambangkan pembinaan kualiti dan nilai positif yang akan menjadi paksi kepada kejayaan hakiki pada masa hadapan.
Anggaplah kegagalan beroleh keputusan yang diharapkan dalam SPM adalah permulaan kepada satu cabaran baharu. Keputusan SPM ini seharusnya dijadikan pendorong untuk bangkit semula dan terus berusaha dengan lebih gigih. Memang lumrah kehidupan apabila kejayaan didahului oleh kegagalan yang berkali-kali.
Berbekalkan sikap yang positif, kesungguhan dan semangat yang tidak pernah padam untuk terus belajar dan berkembang, setiap orang mempunyai peluang untuk berjaya dalam pilihan hidup masing-masing.
Hal ini telah dibuktikan oleh ramai orang yang berjaya. Peluang untuk meneruskan pelajaran masih luas terbuka melalui pelbagai program yang disediakan oleh kerajaan merangkumi kurus kemahiran atau pengajian di pelbagai peringkat.
Justeru, jangan terlalu fokus kepada angka dan gred semata-mata walaupun elemen ini masih penting sebagai motivasi belajar. Sebaliknya, utamakan dahulu mencari makna kesungguhan usaha yang dilakukan sepanjang proses pembelajaran dalam meraih suatu impian.
Kelak nanti apabila matlamat pembelajaran itu jelas, sebarang halangan boleh dirempuh dan pintu kejayaan satu persatu akan terbuka. Tokoh sarjana Islam, Imam Syafii pernah berkata:
“Jika kamu tidak mahu berasa penat belajar, maka kamu akan menanggung pahitnya kebodohan.”
Kejayaan sebenar: Pembelajaran sepanjang hayat
Umumnya, kecemerlangan akademik sering kali dianggap sebagai matlamat muktamad dalam proses pendidikan.
Namun, sebenarnya ia hanyalah sebahagian kecil daripada perjalanan panjang menuntut ilmu yang perlu diteruskan sepanjang kehidupan. Terlalu kerap kita terpaku dengan mengejar pencapaian gred dan kelayakan akademik semata-mata sehingga melupakan hakikat sebenar pendidikan itu sendiri.
Pendidikan yang bermakna bukan hanya melibatkan pengumpulan pengetahuan dan memperoleh gred cemerlang.
Ia adalah satu proses yang berterusan untuk memupuk minat, mengembangkan potensi, membina akhlak mulia dan memperkasa diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran hidup.
Justeru, pencapaian akademik yang tinggi seharusnya dilihat sebagai satu langkah dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat, bukannya satu destinasi akhir. Jangan mengutamakan pencapaian akademik semata-mata tanpa menyedari hakikat sebenar ilmu itu sendiri.
Tidak dinafikan terdapat segelintir individu yang hanya mengejar ilmu untuk mendapat pengiktirafan dan kedudukan yang tinggi dalam masyarakat.
Mereka lupa bahawa pengembaraan sebenar dalam hidup adalah mencari ilmu dan mempelajari segala yang mampu dipelajari daripada setiap pengalaman yang dilalui demi membentuk insan yang bijaksana dan berbudi pekerti.
Ketinggian ilmu sepatutnya mendorong seseorang itu untuk menjadi orang yang merendah diri, berakhlak mulia dan bermanfaat kepada manusia dan alam.
Namun, berapa ramaikah orang yang berpelajaran tinggi gagal menaikkan akal pemikiran mereka untuk menjadi manusia yang bermoral atau berakhlak tinggi bagi manfaat alam sejagat?
Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat pada masa kini, kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh semasa di bangku sekolah atau universiti tidak lagi mencukupi untuk membolehkan seseorang itu berjaya sepanjang hayat.
Justeru, sikap sentiasa ingin belajar secara terus-menerus dan meningkatkan diri amat diperlukan untuk terus kekal relevan dan berdaya saing. Jangan sesekali berhenti untuk terus belajar dan menimba pengalaman baharu.
Sebaliknya, jadilah pencari ilmu sepanjang hayat, kerana hanya dengan cara itulah kita dapat melahirkan insan yang benar-benar cemerlang bukan hanya dari segi akademik, tetapi juga dari segi pembangunan diri, akhlak mulia dan keupayaan untuk terus belajar serta berkembang sepanjang kehidupan.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia