HIKAM menyambut baik pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu-isu tadbir urus Lembaga Tabung Haji (LTH). Pendedahan laporan ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap institusi yang menjadi tonggak pengurusan simpanan dan urusan haji umat Islam di negara ini.
Pada masa yang sama, HIKAM berpandangan bahawa laporan yang melibatkan kepentingan awam sebegini sewajarnya didedahkan lebih awal agar proses semak dan imbang dapat berlangsung secara terbuka serta membolehkan langkah pembaikan dilaksanakan dengan lebih segera. Ketelusan merupakan asas penting dalam membina kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa’: 58)
LTH ditubuhkan dengan matlamat yang amat mulia iaitu membantu umat Islam menabung dan menunaikan ibadah haji secara teratur dan berkesan. Justeru, sebarang kelemahan tadbir urus yang menjejaskan integriti institusi ini perlu ditangani secara menyeluruh dan berani demi memelihara amanah para pendeposit serta kepentingan ummah.
Sehubungan itu, HIKAM menyokong usaha reformasi yang dicadangkan melalui dapatan RCI, khususnya yang melibatkan:
1. Pengukuhan Kerangka Perundangan dan Tadbir Urus
HIKAM berpandangan bahawa Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] perlu dipinda secara komprehensif bagi memastikan ia selaras dengan keperluan semasa serta amalan tadbir urus terbaik.
Antara perkara yang wajar diberi perhatian ialah:
- Pembahagian fungsi dan kuasa yang lebih jelas antara aspek pengurusan haji dan pengurusan kewangan serta pelaburan.
- Penetapan kriteria “fit and proper” yang ketat bagi pelantikan anggota Lembaga berdasarkan kompetensi, integriti dan kepakaran dalam bidang kewangan, ekonomi, perniagaan dan syariah.
- Pengukuhan kedudukan jawatankuasa-jawatankuasa kritikal seperti Jawatankuasa Pelaburan dan Jawatankuasa Penasihat Syariah melalui peruntukan undang-undang yang jelas.
- Penambahbaikan mekanisme audit dan pelaporan kewangan bagi menjamin ketelusan serta akauntabiliti yang lebih tinggi.
2. Memastikan Profesionalisme dan Kebebasan Institusi
HIKAM berpandangan bahawa institusi yang mengurus amanah umat Islam perlu dipimpin oleh individu yang mempunyai integriti, kompetensi dan rekod profesional yang cemerlang.
Oleh itu, proses pelantikan anggota Lembaga dan pengurusan tertinggi hendaklah berasaskan merit, kelayakan serta kepakaran yang relevan. Sebarang pelantikan yang berpotensi menimbulkan konflik kepentingan atau persepsi campur tangan politik perlu dielakkan demi menjaga keyakinan masyarakat terhadap LTH.
3. Menjadikan RCI Sebagai Titik Reformasi Nasional
Laporan RCI ini tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai usaha mengenal pasti kesilapan lalu, tetapi perlu dijadikan asas kepada reformasi institusi yang lebih menyeluruh. Keutamaan mestilah diberikan kepada pembinaan budaya tadbir urus yang berteraskan amanah, ketelusan, akauntabiliti dan profesionalisme.
Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta sesama kamu dengan jalan yang batil…” (Surah al-Baqarah: 188)
Ayat ini mengingatkan bahawa pengurusan harta awam dan dana umat adalah amanah yang besar serta akan dipersoalkan di sisi Allah SWT.
HIKAM menyeru agar segala syor yang munasabah dan bermanfaat dalam laporan RCI ini diteliti dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan. Reformasi yang menyeluruh amat penting bagi memastikan LTH terus kekal sebagai institusi yang diyakini, dihormati dan mampu memenuhi tujuan asal penubuhannya dalam memelihara kepentingan serta kebajikan umat Islam.
Semoga episod ini menjadi pengajaran berharga kepada semua pihak bahawa amanah awam hendaklah diurus dengan penuh integriti, kecekapan dan rasa tanggungjawab kepada rakyat serta kepada Allah SWT.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat HIKAM
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung WADAH
Mohd Hafiz Abd Hamid
Setiausaha Agung IKRAM
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri
Setiausaha Agung ABIM
Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung HALUAN




