Kerjaya atau Dakwah? Cabaran Aktivis Muda (Bhg. 1)

dakwah & kerjaya

Sering juga saya mendengar perkongsian daripada rakan-rakan yang aktif dalam NGO dakwah tentang cabaran untuk terus melibatkan diri dalam program-program dakwah setelah memasuki alam pekerjaan.

Sudah tentulah demikian kerana rata-rata mereka menyambung pelajaran di menara gading. Ada yang menjadi doktor, ada yang menjawat jawatan jurutera, pensyarah universiti, guru, usahawan dan pelbagai lagi.

Tetapi walau apa pun jalan kerjaya yang mereka tempuhi, rata-rata melalui masalah yang sama, iaitu bagaimana untuk terus menyumbang kepada dakwah apabila tanggungjawab profesional semakin bertambah?

Perubahan fasa normal

Pada hemat saya, isu ini bukanlah masalah yang hanya dialami oleh individu tertentu atau mana-mana NGO dakwah secara khusus. Sebaliknya, ia merupakan satu fasa normal yang hampir pasti ditempuhi oleh kebanyakan mereka yang memilih untuk melalui tariq a-da’wah (jalan dakwah).

Perubahan besar daripada kehidupan kampus yang lebih fleksibel kepada dunia pekerjaan yang sarat dengan tanggungjawab sememangnya akan memaksa cara seseorang mengurus masa, tenaga dan keutamaan. 

Kalau sebelum ini untuk hadir ke liqa’ usrah (pertemuan mingguan) antara aktiviti yang menyeronokkan, tetapi selepas bekerja, ia mungkin menjadi antara komitmen yang berat. 

Lebih-lebih lagi bagi wasa’il (program-program) seperti mabit (tidur bermalam bersama) atau mukhayyam (aktiviti perkhemahan) yang memakan masa lebih lama, semua ini akan dirasakan sebagai suatu bebanan sekiranya “tidak kena masa” atau terbeban dengan tugas hakiki yang semakin singkat tarikh akhirnya.

Justeru, perbincangan mengenai perkara ini wajar dilihat sebagai sebahagian daripada budaya muhasabah yang sentiasa menyuburkan gerakan dakwah. Tujuannya bukan untuk meletakkan tanggungjawab di atas bahu mana-mana pihak, tetapi untuk memahami mengapa dilema antara:

  • terus aktif dalam NGO dakwah, dan 
  • memberikan tumpuan kepada pembinaan kerjaya 

begitu kerap berlaku, di samping mengenal pasti ruang-ruang penambahbaikan yang boleh diusahakan bersama. 

Dalam konteks ini, kita juga perlu bertanya sama ada dilema tersebut berpunca semata-mata daripada kelemahan individu atau turut mengundang organisasi secara keseluruhannya untuk menilai semula cara kita membimbing, menyokong dan menyediakan ruang sumbangan kepada para aktivis yang sedang melalui fasa penting ini dalam kehidupan mereka.

Dengan itu, sebarang penyelesaian yang dicapai kelak bukanlah tanggungjawab satu pihak semata-mata, bahkan memerlukan komitmen bersama daripada individu dan organisasi.

Cabaran pekerja baharu

Memasuki alam pekerjaan bermaksud memasuki satu ekosistem yang jauh berbeza daripada kehidupan kampus. Prestasi kerja dinilai melalui KPI, produktiviti, disiplin, keupayaan menyelesaikan masalah dan potensi kepimpinan.

Bagi kebanyakan pekerja baharu, beberapa tahun pertama sering dianggap sebagai tempoh paling kritikal untuk membina reputasi, memperoleh pengesahan jawatan dan membuka laluan kepada kenaikan pangkat, khususnya pada masa ini yang mana ruang pekerjaan semakin kompetitif dan peluang kemajuan kerjaya menjadi kian terhad.

Justeru, ramai merasakan bahawa mereka perlu memberikan komitmen yang luar biasa, sentiasa meningkatkan prestasi, merebut peluang yang ada dan membuktikan nilai diri kepada organisasi agar tidak ketinggalan dalam persaingan.

Dalam budaya kerja moden, mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang lazimnya diberi lebih banyak peluang, manakala mereka yang kurang menyerlah berisiko ketinggalan dalam persaingan kerjaya.

Atas sebab itu, tidak sedikit yang akhirnya memberikan sebahagian besar masa, tenaga dan fokus kepada pembangunan kerjaya. Senario ini bukanlah sesuatu yang luar biasa, bahkan dalam banyak keadaan merupakan satu keperluan yang realistik. 

Islam sendiri menuntut umatnya melaksanakan setiap amanah pekerjaan dengan sebaik-baiknya (al-Ihsan) dan profesional. Persoalannya bukan sama ada seseorang perlu berjaya dalam kerjayanya atau tidak, tetapi bagaimana kejayaan tersebut diurus agar tidak mengubah hierarki keutamaan dalam kehidupan seorang Muslim.

Dalam tradisi gerakan dakwah haraki seperti Ikhwan Muslimin (IM), pembinaan kesedaran dakwah tidak dapat dipisahkan daripada pembacaan yang kritikal terhadap sejarah umat Islam.

Tokoh-tokoh seperti Imam Hasan al-Banna (1906-1949), Malek Bennabi (1905-1973), Abu al-‘A’la al-Mawdudi (1903-1979) dan Syed Qutb (1906-1966) berpandangan bahawa kesan penjajahan tidak terhad kepada kehilangan kuasa politik atau wilayah semata-mata. 

Yang lebih membimbangkan ialah bagaimana penjajahan membentuk semula cara umat Islam memahami agama, pendidikan, budaya dan susunan kehidupan sehingga mereka semakin bergantung kepada sistem, nilai dan kerangka pemikiran yang diwariskan oleh kuasa penjajah.

Dalam keadaan sedemikian, sistem Islam sedikit demi sedikit terpinggir daripada peranannya sebagai asas pembentukan masyarakat, manakala acuan peradaban Barat diterima sebagai ukuran kemajuan yang hampir tidak dipersoalkan. 

Daripada kesedaran ini, lahirlah usaha-usaha dakwah haraki yang bertujuan membangunkan semula keyakinan umat terhadap Islam sebagai satu cara hidup yang syumul, bukan sahaja pada peringkat individu, tetapi juga dalam pembinaan keluarga, masyarakat dan institusi kerajaan.

Tetapi, sesuatu yang kita patut tahu, kesedaran kritis yang ditulis dalam karya-karya pemimpin reformasi Islam di atas secara tidak langsung melahirkan satu sikap yang sentiasa melihat realiti masyarakat Islam kini secara reformatif juga.

Namun, tradisi tarbiah haraki tidak pernah berhenti pada kritikan terhadap masyarakat semata-mata. Sebaliknya ia turut menuntut seorang dai sentiasa bermuhasabah terhadap dirinya sendiri juga.

Peringatan untuk dai

Dalam hal ini, Fathi Yakan mengingatkan bahawa antara tipu daya nafsu yang paling halus ialah apabila seseorang menjadi begitu mahir mengenal pasti kelemahan masyarakat dan orang lain, tetapi terlupa bahawa dirinya sendiri juga sedang berhadapan dengan ujian yang sama.

Melalui karya Qawarib an-Najah fi Hayat ad-Du’ah, beliau menjelaskan bahawa seorang da’i boleh sahaja terjerumus ke dalam “lubang” keduniaan yang selama ini dikritiknya, bukan semestinya melalui kemewahan yang melampau atau maksiat yang nyata, tetapi melalui keterikatan hati terhadap perkara-perkara dunia yang semakin menguasai pertimbangan hidupnya.

Dalam konteks pekerja baharu, keterikatan tersebut sering hadir dalam bentuk yang jauh lebih halus. Keinginan untuk melaksanakan amanah dengan cemerlang merupakan tuntutan agama. Namun, apabila dorongan itu berubah menjadi keinginan untuk: 

  • sentiasa kelihatan menonjol di hadapan ketua jabatan, 
  • mengejar pengiktirafan tanpa batas, 
  • terlalu bimbang jika peluang kenaikan pangkat terlepas, atau 
  • mula mengukur nilai diri berdasarkan pencapaian kerjaya semata-mata, 

di situlah nafsu mula mengubah sesuatu yang asalnya positif (al-Ihsan dalam hadis) menjadi suatu bentuk keterikatan yang negatif. Sedikit demi sedikit tanpa disedari, kerjaya yang sepatutnya menjadi salah satu medium untuk beribadah akhirnya berubah menjadi pusat keutamaan hidup.

Lantaran itu, masa, tenaga dan perhatian semakin banyak dicurahkan kepada pembangunan profesional sehingga penglibatan dalam dakwah mula dianggap sebagai komitmen sampingan yang boleh ditangguhkan apabila keadaan menjadi lebih lapang. Malangnya, waktu yang benar-benar lapang itu sering tidak pernah tiba.

Barangkali atas sebab inilah Fathi Yakan, melalui bukunya Mushkilat ad-Da’wah wa ad-Da’iyah, meletakkan alam pekerjaan (yang beliau sebut sebagai ad-Dunia iaitu kemewahan dan pencapaian materialistik) sebagai salah satu persimpangan terbesar dalam kehidupan seorang dai, di samping alam perkahwinan (az-zawaj). 

Hakikatnya kedua-dua “persimpangan” tersebut bukanlah penghalang kepada dakwah, bahkan merupakan sunnatullah dalam kehidupan manusia. 

Tetapi malang sekali, kedua-duanya mengubah struktur kehidupan seseorang secara mendadak. Tanggungjawab bertambah, masa menjadi semakin terhad, keutamaan perlu disusun semula dan pelbagai komitmen baharu menuntut perhatian yang bukannya sedikit. 

Tanpa persediaan rohani yang kukuh serta penyesuaian yang bijaksana dalam diri, tidak sedikit yang akhirnya mendapati penglibatan mereka dalam dakwah semakin berkurangan, bukan kerana mereka telah berhenti mencintai dakwah atau mempercayai agenda tarbiah dan islah, tetapi kerana mereka gagal mengurus peralihan daripada kehidupan sebagai aktivis mahasiswa kepada kehidupan sebagai seorang profesional.

Langkah praktikal dai

Menyedari hakikat ini, beberapa langkah praktikal wajar dipertimbangkan oleh para dai yang bergelar “pekerja baharu” ini. 

Pertama, mereka perlu sentiasa mengingatkan diri bahawa kerjaya ialah amanah, bukannya identiti yang menentukan nilai seorang Muslim. 

Kedua, kesinambungan tarbiah perlu dipelihara walaupun bentuk penglibatan berubah; mungkin tidak lagi mampu menghadiri setiap program, tetapi usrah, bahan bacaan, bimbingan murabbi dan hubungan dengan ikhwah seperjuangan tidak seharusnya terputus. 

Ketiga, tempat kerja perlu dilihat sebagai salah satu medan dakwah yang sah, melalui akhlak, integriti, profesionalisme dan hubungan baik dengan rakan sekerja. 

Akhir sekali, ukuran kejayaan juga perlu sentiasa diperbetul. Kenaikan pangkat sememangnya merupakan pencapaian yang wajar disyukuri bagi seorang dai kerana telah berjaya membuktikan kemampuan dalam kerjaya, namun yang lebih utama ialah memelihara thabat (keteguhan) dalam memikul amanah dakwah. Hal ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam Hasan al-Banna dalam Risalah at-Ta’alim

وأريد بالثبات أن يظل الأخ عاملا مجاهدا في سبيل غايته مهما بعدت المدة وتطاولت السنوات والأعوام , حتى يلقى الله على ذلك وقد فاز بإحدى الحسنيين , فإما الغاية وإما الشهادة في النهاية، (مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً) (الأحزاب:23)

Yang aku maksudkan dengan thabat (keteguhan) ialah seseorang akh itu kekal menjadi aktivis dan pejuang dakwah yang meneruskan tugasnya dalam menggapai cita-cita walaupun tujuan itu masih jauh dan pencapaian dilihat lambat atau lama, hinggalah dia bertemu Allah SWT dengan salah satu daripada dua kemenangan; kemenangan apabila perjuangan mencapai matlamat atau dia mendapat syahadah (mati dalam kesaksian Allah) hingga ke akhirnya.”

“Dalam kalangan orang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); antara mereka ada yang mati dalam menyempurnakan tugasan mereka dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak pernah mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun.” (Surah al-Ahzab: 23)

(Akan bersambung di bahagian 2)

Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia