Jangan Cemari Amalan Bulan Ramadan dengan Hadis Palsu

Jangan Cemari Amalan Bulan Ramadan dengan Hadis Palsu

Penurunan al-Quran pada bulan ini menjadi panduan dan pedoman hidup kepada umat Islam untuk meneruskan pencarian pahala serta keberkatan bagi kehidupan di alam sana nanti.

Penekanan kepada penurunan wahyu yang pertama iaitu “Iqra” menuntut umat Islam agar mencari, merujuk sumber yang tepat, betul dan sahih untuk sesuatu amalan dan tindakan yang kita lakukan.

Sebagaimana yang diketahui bahawa Ramadan memiliki malam-malam yang dijanjikan dengan kemuliaan luar biasa, terutama pada sepuluh hari terakhir. 

Selama berlangsungnya bulan suci ini, dipercayai bahawa pintu-pintu syurga dibuka seluasnya sementara pintu-pintu neraka ditutup rapat. Setiap amal kebaikan yang dilakukan diberi pahala secara berlipat ganda dan kelebihan-kelebihan lain pada bulan Ramadan dikurniakan kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Menurut Ibn Rajab al-Hambali (W. 795H) dalam kitabnya Latha’if al-Ma’arif, beliau menyatakan bahawa:

“Hakikat puasa (Ramadan) daripada amal-amal yang digandakan pahalanya, maka semua amal soleh digandakan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali, melainkan puasa, kerana sesungguhnya ia tidak dihadkan gandaannya pada bilangan-bilangan ini, bahkan Allah Azzawajalla menggandakannya dengan gandaan yang banyak tanpa had bilangan.”

Walau bagaimanapun, selain daripada kegembiraan menyambut kedatangan bulan Ramadan, kita perlu berhati-hati dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan amalan dan kepercayaan yang berpunca daripada hadis-hadis palsu atau maudhu’ yang berperanan seperti virus berbahaya yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat Islam.

Amalan berasaskan hadis palsu ini memberikan kesan negatif kepada masyarakat dan imej agama Islam, termasuklah menyebabkan pemikiran khurafat dan bidaah. 

Menurut Syeikh Muhammad al-Ghazali (m. 1996) dalam bukunya “Laisa mina al-Islam”,  bidaah turut berlaku dalam perkara ibadah dan adat (jika diniatkan untuk bersaing dengan prinsip agama) yang bermula dalam bentuk ketaatan, kemudian ditambah dengan perkara yang diada-adakan dan sikap menyusahkan diri (takalluf) dalam beribadah.

Beliau juga menyatakan bahawa bidaah bukan sahaja memutarbelitkan kebenaran, malah cuba menghapuskan kesempurnaan Islam dari luar dan dalam.

Apakah hadis palsu?

Hadis palsu atau maudhu’ merupakan pendustaan yang direka-reka lalu dinisbahkan kepada Rasulullah SAW. Ibn Solah dalam Muqaddimahnya menyebut hadis maudhu’ merupakan seburuk-buruk hadis daif.

Tidak halal meriwayatkannya bagi orang yang telah mengetahui keadaannya dalam apa jua keadaan, kecuali jika untuk menjelaskan kepalsuannya. Mahmud Tahhan menyatakan para ulama telah bersepakat berkenaan perkara ini. 

Justeru, walaupun maknanya diambil daripada sumber yang benar, namun perawinya pendusta. Maka hadis dengan riwayat si pendusta itu adalah palsu seperti perbuatan Hammad bin ‘Amru an-Nashibi yang “memaqlubkan” hadis secara sengaja. 

Memaqlubkan bermaksud menukar atau membalikkan sesuatu. Dalam konteks hadis, memaqlubkan hadis bermaksud menukar atau membalikkan lafaz atau makna hadis dengan sengaja sehingga menyebabkan hadis tersebut menjadi palsu atau berbeza daripada riwayat yang sebenar.

Contohnya, Hammad bin ‘Amru an-Nashibi telah memaqlubkan hadis dengan sengaja, iaitu menukar lafaz hadis daripada “Apabila kamu berjumpa dengan orang-orang musyrik di jalan, bawalah mereka ke tepi dan jangan kamu mulakan dengan salam” kepada “Apabila kamu berjumpa dengan orang-orang musyrik di jalan, jangan kamu mulakan dengan salam dan bawalah mereka ke tepi.

Perbuatan memaqlubkan hadis ini menyebabkan hadis tersebut menjadi palsu kerana lafaznya telah diubah dengan sengaja, walaupun maknanya mungkin diambil daripada sumber yang benar. Oleh itu, hadis yang ditukar atau dimaqlubkan tidak boleh diterima sebagai hadis yang sahih.

Al-Dzahabi  dalam al-Mizan menyatakan Hammad berdusta. Kenyataan ini disokong oleh Ibn Hibban yang menyatakan Hammad memalsukan hadis. Walau bagaimanapun, versi hadis yang sahih terdapat dalam riwayat Ahmad (hadis nombor 10810) dan Muslim (hadis nombor 2167).

Contoh hadis palsu

Justeru, disebabkan keseriusan masalah hadis palsu dan kesannya kepada masyarakat, para ulama telah menyusun kitab-kitab yang menghimpunkan hadis-hadis palsu dan para perawi yang memalsukannya.

Secara umumnya, antara karya terkenal yang mengumpulkan hadis-hadis palsu ialah al-Kamil fi al-Dhu’afa’ oleh Ibn ‘Adi (m. 365H), al-Maudhu’at oleh Ibn al-Jauzi (m. 597H) dan lain-lain. Pemalsuan hadis ini berlaku dalam pelbagai topik, termasuklah hadis-hadis yang ditokok tambah berkenaan Ramadan.

Perbincangan dalam artikel ini akan memfokuskan tiga hadis yang popular dalam kalangan masyarakat berkaitan bulan Ramadan namun sebenarnya palsu. Hadis yang dimaksudkan adalah:

  1. Hadis yang menjelaskan Rejab itu bulan Allah, Syaaban bulanku, Ramadan bulan umatku sebagaimana matan berikut:

رجب شهر الله ، وشعبان شهري ، ورمضان شهر أمتي

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku, dan Ramadan bulan umatku.”

Hadis ini dinilai palsu oleh ramai ulama besar seperti Ibn al-Jauzi (W. 597H) dalam al-Maudhu’at dan Ibn Qayyim (W. 751H) dalam al-Manar al-Munif, dan al-Dzahabi (W. 748H) dalam Tarikh al-Islam (28/351) menyatakan perawi yang bernama Ibn Jahdham dituduh berdusta.

Kita perlu sedar bahawa semua bulan adalah milik Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah at-Taubah ayat 36 yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati…

Ayat ini menjelaskan bahawa semua bulan adalah ciptaan Allah dan milik-Nya, bukan sekadar bulan Rejab, Syaaban atau Ramadan sahaja.

Selain itu, Islam tidak mengkhususkan bulan-bulan tertentu untuk Allah, Nabi Muhammad SAW atau umat Islam secara khusus. Setiap bulan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri, namun hal ini tidak bermakna bulan-bulan tersebut hanya dikhaskan untuk pihak-pihak tertentu sahaja. 

  1. Perbuatan dusta boleh membatalkan wuduk dan puasa:

خمس تفطر الصائم ، وتنقض الوضوء : الكذب ، والغيبة ، والنميمة ، والنظر بالشهوة ، واليمين الفاجرة

“Lima perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan wuduk: Dusta, mengumpat, mengadu domba atau menyebarkan berita yang boleh merosakkan hubungan antara manusia, memandang atau memerhatikan individu yang berlainan jantina dengan perasaan nafsu dan memberi sumpah palsu.”

Hadis ini dimasukkan ke dalam al-Mausu’ah al-Ahadith wa al-Athar al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah iaitu hadis palsu. Dalam Silsilah Ahadith ad-Dhaifah (no: 1708), hadis ini dinilai palsu oleh Ibnul Jauzi (m. 597H) dalam al-Maudhu’at.

Oleh itu, perkara-perkara yang membatalkan puasa telah dijelaskan dalam nas-nas yang sahih seperti makan dan minum dengan sengaja, bersetubuh, muntah dengan sengaja, haid, nifas, murtad dan lain-lain.

Hadis palsu ini menggambarkan sesuatu kandungannya secara berlebih-lebihan dengan memberi gambaran perbuatan yang mendatangkan dosa turut membatalkan puasa.

Islam mengajar umatnya supaya menjaga lisan dan anggota badan daripada menyakiti orang lain, tidak melakukan perbuatan fasik seperti melakukan perbuatan yang tidak bermoral atau melanggar perintah Allah SWT semasa menjalani ibadah puasa. Perbuatan tersebut boleh menjejaskan pahala dan keberkatan puasa seseorang.

  1. Hadis kelebihan setiap malam tarawih. 

‌يخرج ‌المؤمن ‌من ‌ذنبه ‌في ‌أول ‌ليلة كيوم ولدته أمه

“Seorang mukmin pada malam pertama (Ramadan) keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya.”

Hadis palsu yang dijelaskan secara panjang ini menyatakan bahawa setiap malam solat tarawih mempunyai kelebihan yang berbeza-beza. Contohnya, solat tarawih pada malam pertama dikatakan akan mengampunkan dosa-dosa seolah-olah seseorang itu dilahirkan semula.

Pada malam keempat pula, pahalanya diumpamakan seperti membaca kitab-kitab suci seperti Taurat, Zabur, Injil dan al-Quran. Pahala solat tarawih pada malam ketujuh disamakan dengan pahala Nabi Musa ketika menentang Firaun dan Haman, malam kelapan pula seperti pahala Nabi Ibrahim.

Malam ketujuh belas pula seperti pahala para nabi, malam kedua puluh, pahalanya menyamai orang yang mati syahid dan orang soleh, malam kedua puluh lapan, darjatnya akan diangkat seribu kali di syurga dan pelbagai lagi fadilat yang dinyatakan. 

Hadis tersebut sebenarnya terkumpul dalam kitab Durratu al-Nasihin (ms.18-19) oleh Syeikh Uthman al-Khoubawiy. Ibn Qayyim menggariskan kaedah dalam bukunya al-Manar al-Munif bahawa antara tanda-tanda matan hadis itu palsu ialah isinya yang berlebihan, bertentangan dengan sunah, kandungannya batil, didustakan oleh akal yang sihat dan pancaindera, bercanggah dengan hadis yang lebih kuat serta bercanggah dengan al-Quran.

Ibn Qayyim turut menjelaskan tanda kepalsuannya melalui amalan yang sedikit namun ganjarannya sangat besar dan luar biasa. Selain itu, Fatwa al-Lajnah ad-Da’imah (4/480. No: 8050) juga menyatakan bahawa hadis ini tidak diketahui asalnya dan hadis tersebut merupakan hadis palsu.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia bagi umat Islam. Pada bulan ini, terdapat banyak kelebihan dan tawaran istimewa daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” (Riwayat al-Bukhari, no. hadis 36 dan 1870, Muslim, no. hadis 759)

Hadis tersebut bermaksud agar kita bersungguh-sungguh dalam menghidupkan bulan Ramadan termasuklah pada malam-malam pada bulan Ramadan, kerana ganjarannya amat besar iaitu dihapuskan segala dosa yang pernah dilakukan. 

Al-Hafiz Ibn Hajar dan Imam al-Nawawi menyatakan bahawa salah satu menghidupkan Ramadan adalah dengan mendirikan solat tarawih. Selain solat tarawih, kita juga dituntut memperbanyakkan ibadah-ibadah lain seperti solat sunat, berzikir, membaca al-Quran, beristighfar, berbuat baik dengan makhluk lain dan sebagainya, yang semuanya termasuk dalam menghidupkan bulan Ramadan.

Tolak isu palsu

Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, marilah kita mengamalkan perbuatan yang ikhlas serta selaras dengan ajaran Islam serta sunah Rasulullah SAW. 

Penting bagi masyarakat Islam untuk menjunjung tinggi sunnah Rasulullah SAW dan menjauhi fakta-fakta palsu yang tidak bersumber, apatah lagi mempercayai dan mengamalkan perkara-perkara yang tidak benar dan bertentangan dengan apa yang diajarkan oleh baginda.

Perbuatan ini selaras dengan falsafah dan kehendak penurunan wahyu pertama iaitu “Iqra” yang bermaksud bacalah. Bacalah di sini membawa pengertian yang luas iaitu kita perlu membaca, mencari, memahami, mengaplikasi, menganalisis dan menilai secara kritis berpandukan sumber rujukan yang berautoriti dan sahih.

Dalam konteks hadis palsu ini, kita dituntut merujuk sumber yang benar memandangkan ilmu hadis ini mempunyai disiplin yang tersendiri.

Oleh itu, marilah kita menghayati dan berusaha mencapai ketakwaan hasil daripada falsafah berpuasa pada bulan Ramadan, khususnya menghayati konsep dan falsafah sambutan Nuzul al-Quran di negara ini, agar kita tergolong dalam kalangan mereka yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis baginda.

Dengan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dan menjauhi perkara-perkara yang diada-adakan, kita akan dapat meraih keberkatan, mendapat rahmat Allah SWT, meningkatkan amalan baik dan menjauhi perbuatan keji agar mendapat keredaan Allah SWT.

Bulan Ramadan seharusnya menjadi platform untuk melatih diri menjadi insan yang lebih bertakwa dan berakhlak mulia.

Prof Madya Dr Khairul Hamimah Mohammad Jodi 

Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

Open Universiti Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia