KUALA LUMPUR – Konvensyen Kepulihan Kebangsaan (KKK) 2.0 telah berlangsung dengan jayanya pada Ahad, 31 Mei lalu di sini.
Konvensyen ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil kementerian dan agensi kerajaan, institusi agama, ahli akademik, pengamal kesihatan, badan masyarakat sivil, komuniti rawatan dan sokongan, serta individu yang terlibat secara langsung dalam isu berkaitan dadah dan kesejahteraan masyarakat.
Majlis perasmian dan pelancaran Kertas Dasar “Ke Arah Polisi Dadah Berteraskan Rahmah dan Maqasid Syariah: Keperluan Reformasi Dasar Dadah di Malaysia” telah disempurnakan oleh YB Senator Puan Marhamah Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Kertas dasar tersebut diterbitkan hasil kerjasama antara Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Drug Policy Program Malaysia (DPPM) di bawah Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Malaysia Substance Abuse Council (MASAC), serta pelbagai rakan strategik lain.
Ia dihasilkan dalam usaha untuk memperkukuh perbincangan nasional berkaitan reformasi polisi dadah yang lebih berperikemanusiaan, berteraskan kesihatan awam dan selari dengan prinsip Islam.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Senator Puan Marhamah menegaskan bahawa pendekatan yang memberi penekanan kepada rawatan, sokongan sosial, pengurangan kemudaratan dan peluang kedua adalah selari dengan konsep rahmah, taubat dan islah dalam Islam, serta prinsip Maqasid Syariah yang menitikberatkan pemeliharaan nyawa, akal, kesejahteraan dan maruah manusia.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan yang diketengahkan bukan bertujuan untuk menormalisasikan atau “menghalalkan” penggunaan dadah. Sebaliknya, ia menekankan keperluan melihat individu yang bergelut dengan kebergantungan dadah sebagai insan yang memerlukan rawatan, sokongan dan peluang untuk kembali pulih serta menyumbang kepada masyarakat.
Konvensyen ini bukan sekadar platform pelancaran kertas dasar, tetapi turut menjadi ruang penting untuk memperluaskan perbincangan dan libat urus berkaitan pendekatan Islam terhadap isu dadah yang lebih berteraskan rahmah, maqasid syariah, kesihatan awam dan kesejahteraan masyarakat.
Kertas dasar “Ke Arah Polisi Dadah Berteraskan Rahmah dan Maqasid Syariah: Keperluan Reformasi Dasar Dadah di Malaysia” menegaskan bahawa Islam secara jelas melarang penyalahgunaan dadah kerana kemudaratannya terhadap akal, nyawa dan kesejahteraan manusia.
Namun, dalam konteks pembentukan polisi negara, pendekatan terhadap individu yang terlibat dengan dadah perlu mengambil kira prinsip Maqasid Syariah, Siyasah Syar‘iyyah, rahmah, taubat dan islah demi mencapai maslahah yang lebih menyeluruh kepada masyarakat.
Kertas dasar ini turut menghuraikan bahawa kesalahan berkaitan dadah tidak dikategorikan sebagai hudud, sebaliknya berada dalam ruang takzir yang memberi ruang kepada pemerintah untuk menentukan pendekatan, hukuman dan intervensi terbaik berdasarkan realiti semasa, dapatan kajian dan kepentingan rakyat.
Melalui kerangka Maqasid Syariah, pendekatan yang diketengahkan memberi penekanan kepada pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta melalui pendekatan yang lebih menekankan pencegahan, rawatan, pemulihan, pembangunan kerohanian, pengurangan kemudaratan dan penerimaan semula masyarakat.
Kertas dasar tersebut juga mencadangkan model dekriminalisasi bersyarat yang membezakan secara jelas antara pengedar, pengguna dan individu yang mengalami kebergantungan dadah.
Pengedar dan sindiket yang merosakkan masyarakat perlu terus ditangani secara tegas oleh pihak berkuasa, manakala individu yang mengalami masalah kebergantungan dadah perlu diberikan akses kepada rawatan, sokongan sosial, pemulihan berasaskan komuniti dan peluang untuk kembali berfungsi dalam masyarakat secara bermaruah.
Antara cadangan utama yang diketengahkan termasuk mekanisme pengalihan kes daripada sistem jenayah kepada sistem rawatan, sistem rujukan bersepadu antara agensi berkaitan, program pembangunan kerohanian, pendekatan keadilan restoratif, serta intervensi berperingkat seperti rawatan wajib, khidmat masyarakat dan program pendidikan.
Penerbitan kertas dasar ini diharapkan dapat membuka ruang kepada lebih banyak sesi libat urus, wacana ilmu, webinar dan dialog bersama institusi agama, para ilmuwan, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap pendekatan Islam yang lebih menyeluruh dan berperikemanusiaan dalam menangani isu dadah.
KKK 2.0 turut diharapkan menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama antara institusi agama, kerajaan, sektor kesihatan, NGO, komuniti dan ahli akademik dalam membentuk pendekatan polisi dadah yang lebih menyeluruh, seimbang dan berpaksikan nilai kemanusiaan serta prinsip Islam.
YB Senator Puan Marhamah turut menegaskan bahawa kerajaan mengiktiraf peranan penting pusat rawatan dan sokongan persendirian dalam melengkapi usaha negara menangani isu kebergantungan dadah secara lebih menyeluruh, berperikemanusiaan dan berteraskan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MASAC sebagai badan yang menaungi lebih 50 pusat pemulihan dan rawatan persendirian di seluruh Malaysia, atas komitmen dan sumbangan berterusan dalam memperkukuh akses kepada rawatan, sokongan komuniti serta advokasi berkaitan pendekatan polisi dadah yang lebih berasaskan kesihatan awam dan nilai kemanusiaan di Malaysia.
Dengan semangat rahmah dan kesejahteraan, penerbitan kertas dasar ini diharapkan menjadi pemangkin kepada perbincangan dasar yang lebih matang, berasaskan ilmu dan berpandukan realiti semasa demi kesejahteraan rakyat dan negara.




