Bulan Ramadan adalah bulan yang istimewa dan bererti bagi umat Islam di seluruh dunia. Aktiviti berpuasa menjadi fokus utama bulan tersebut.
Namun, apakah ertinya Ramadan tanpa adanya kualiti? Menahan lapar dan dahaga sebagai aktiviti berpuasa semata-mata tidak menjadi keperluan dalam ibadah berpuasa.
Bagaimanakah aktiviti berpuasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya dapat menjadi kayu ukur keberhasilan seseorang yang berpuasa dalam bulan Ramadan?
Apakah kepentingan meningkatkan kualiti Ramadan agar tidak disambut dengan sambutan yang hambar tanpa sebarang keberhasilan yang memberangsangkan?
Umumnya, natijah Ramadan bagi setiap Muslim pada setiap tahun berbeza-beza tergantung kepada individu itu sendiri. Aspek kualiti ditekankan dalam setiap sudut kehidupan manusia kerana impak yang jelas memberikan manfaat kepada yang terlibat dalam persekitaran kualiti tersebut.
Disebabkan itu, apabila sesebuah organisasi ingin mencapai misi dan visi, penting barisan pemimpinnya menitikberatkan soal kualiti dalam setiap tugasan.
Justeru, Ramadan boleh kita ibaratkan seperti sebuah organisasi yang didasari dengan misi dan visi yang besar kepada setiap ahlinya.
Mengingatkan kita tentang perlunya kualiti Ramadan adalah hadis berkaitan doa malaikat Jibril yang diaminkan oleh Nabi Muhammad SAW sewaktu menaiki tangga mimbar untuk berkhutbah.
Jabir bin Abdullah berkata, “Sewaktu Nabi SAW menaiki mimbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut ‘Amin’, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut ‘Amin’, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut ‘Amin’.
Para sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah. Kami mendengar engkau menyebut amin sebanyak tiga kali.’
Baginda menjawab: ‘Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepadaku dan berkata: ‘Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya.’ Lalu aku pun menyebut amin.’”
Kualiti apakah yang dibentuk?
Bagaimanakah kita mahu mencapai kualiti Ramadan yang terbaik pada tahun ini? Motivasi yang terbaik untuk kita mencapai standard kualiti yang sepatutnya adalah dengan merujuk kepada ganjaran Allah SWT yang luar biasa bersandarkan kepada satu hadis Qudsi yang bermaksud:
“Setiap amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Sesungguhnya puasa adalah untuk-Ku. Aku (Allah) sendiri akan mengurniakan ganjarannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Jelas dalam hadis tersebut, Allah SWT memberikan ganjaran istimewa kepada insan yang berpuasa dengan syarat memenuhi kriteria kualiti yang ditetapkan.
Oleh itu, bagaimanakah kita ingin memahami pembentukan kualiti melalui ibadah puasa? Saya ingin bawakan kefahaman tersebut berdasarkan mekanisme asas perancangan dalam urusan kehidupan iaitu dengan membuat penilaian terhadap INPUT dan PROSES.
Sering kali juga kita membahaskan perilaku seseorang mahupun menghitung diri sendiri tentang kesan puasa yang tidak maksimum. Maka, penting untuk disemak perkara-perkara yang berkaitan dengan input.
Input merujuk kepada asas-asas penting seorang individu Muslim seperti hal ehwal keimanan. Janggal sekali jika kita menerima keadaan orang yang berpuasa tetapi tidak solat. Puncanya, kerosakan cara fikir (mindset) tentang amalan berpuasa yang dilakukan dengan tujuan-tujuan yang tertentu.
Antara cara fikir yang salah ialah melihat bulan Ramadan sebagai bulan untuk menurunkan berat badan, bulan untuk menambahkan keuntungan perniagaan, dan lebih parah lagi tidak merasai apa-apa keistimewaan dengan kedatangan bulan ini.
Tasawur yang silap ditambah dengan kesenjangan hubungan dengan Allah SWT jelas menatijahkan ibadah yang kosong daripada tarbiah dan berpaksikan kepada manfaat material duniawi semata-mata.
Nabi SAW secara jelas memperingatkan perihal kekontangan puasa individu kerana kemerosotan kualiti sepertimana hadis yang bermaksud, “Berapa ramai orang yang berpuasa dengan hasil puasanya sekadar lapar dan dahaga.” (Riwayat Ahmad)
Antara aspek lain yang menyumbang kepada cara fikir yang salah adalah krisis nilai yang tidak memperlihatkan kesungguhan melihat tawaran Allah SWT dalam bulan Ramadan.
Analogi mudah untuk difahami daripada krisis ini adalah apabila seseorang individu tidak tertarik langsung dengan tawaran promosi besar-besaran di platform jualan, bahkan memandang remeh tawaran tersebut. Jelas sekali telah hilangnya rahmat Allah SWT terhadap individu tersebut.
Ketakwaan merupakan kayu ukur kepada kejayaan ibadah berpuasa. Walau bagaimanapun, ibadah puasa tidak memberikan sebarang makna jika PROSES bermasalah.
Menjalankan ibadah puasa tanpa ilmu fiqh puasa yang betul pasti menampakkan kecacatan kepada proses berpuasa. Ilmu merupakan aspek penting yang digariskan oleh Islam dan segala perbuatan ibadah terbina di atas dasar ilmu dan bukan ikut-ikutan.
Ilmu komponen istimewa agama Islam
Kepentingan ilmu dalam proses berpuasa dapat difahami daripada pembahagian jenis-jenis puasa oleh Imam al-Ghazali. Menurut Imam al-Ghazali puasa dibahagikan kepada tiga jenis iaitu umum, khusus (khawas) dan khususul khusus (khawwassul khawas).
Kualiti puasa paling tinggi menurut beliau ialah individu yang berpuasa dengan mempunyai ingatan dan zikir kepada Allah SWT yang sangat erat. Dirinya berpuasa daripada memikirkan perkara-perkara duniawi atau apa-apa yang memesongkan ingatannya kepada Allah. Dan itulah puasa khawwassul khawas.
Rukun kualiti daripada istiqamah
Bulan Ramadan tidak sekadar hadir dengan tawaran-tawaran yang lumayan yang merupakan ujian kepada manusia untuk meraihnya.
Bulan Ramadan juga hadir dengan ujian-ujian yang menguji kesabaran setiap orang yang berpuasa dan jika gagal mengawal kesabaran tersebut, puasa individu tersebut sekadar lapar dan dahaga bahkan tidak meraih sebarang kebaikan daripada perbuatan berpuasa.
Justeru, sama-samalah kita memahami dan beramal dengan rukun istiqamah yang keempat dalam Surah Hud ayat 115 yang bermaksud:
“Bersabarlah, sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.”
Sabar dalam bulan Ramadan ialah keupayaan untuk mengawal diri dan tindakan sepanjang bulan tersebut. Maka, kita berusaha untuk memupuk sifat sabar dalam diri dalam bulan mulia ini agar terhindar daripada dorongan nafsu dan emosi yang mengundang sifat melampau.
Sesungguhnya keahlian syurga itu melibatkan kumpulan manusia yang berkualiti sepertimana mafhum ayat yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Mulk, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling berkualiti amalannnya.”
Justeru, dimensi fikir kita perlu diusahakan untuk merancang sesuatu yang berbeda dan berkualiti kerana manusia sentiasa berhajat kepada OUTPUT yang berbeda. Namun, tidak akan tercapai OUTPUT yang berbeda jika orientasi amalan masih sama secara berulang kali.
Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School, UiTM Shah Alam