Dalam artikel pertama, kita telah menyentuh tentang falsafah CELOTEH iaitu kepentingan merendahkan aras pandangan kita ke paras tiga kaki atau 95 cm untuk lebih memahami dunia kanak-kanak.
Namun, realitinya jauh lebih mendalam daripada sekadar perbezaan ketinggian fizikal. Hakikatnya, sistem saraf dan penglihatan kanak-kanak memproses keadaan sekeliling dengan cara yang berbeza sama sekali berbanding kita orang dewasa.
Sering kali kita mendengar keluhan seperti, “Sudah dipesan berkali-kali, lihat kiri dan kanan sebelum melintas!” atau “Mengapa cuai sangat sehingga tidak nampak lori besar itu?“
Sebagai seorang doktor, saya ingin mengajak kita semua untuk berhenti meletakkan beban kesalahan semata-mata atas “kecuaian” anak-anak. Sebaliknya, mari kita fahami mengapa jalan raya kita pada hari ini sebenarnya menjadi sebuah zon maut yang tidak mesra dengan tahap keupayaan tubuh kanak-kanak.
Dunia yang kabur: Keterbatasan penglihatan kanak-kanak
Kita sering menyangka bahawa mata kanak-kanak hanyalah versi kecil bagi mata orang dewasa. Hakikatnya, tanggapan itu jauh sekali daripada kebenaran. Bayi dilahirkan dengan penglihatan yang sangat kabur dan hanya mula mencapai tahap kematangan sepenuhnya sekitar usia empat hingga enam tahun. [1]
Meskipun sudah boleh melihat dengan jelas, keupayaan mata mereka untuk menukar tumpuan dari jarak jauh ke jarak dekat dengan pantas, umpama fungsi auto-focus pada kamera, masih belum cukup matang. Mereka juga sukar untuk mengagak dengan tepat pergerakan kenderaan yang laju di hadapan mereka.
Bayangkan situasi mereka di tepi jalan; otak mereka perlu bergelut hebat untuk menukar fokus dari objek yang sangat dekat (seperti hujung kaki atau bola) kepada kenderaan yang sedang meluru dari jauh.
Proses pertukaran fokus ini tidak berlaku sepantas kilat seperti mata orang dewasa. Ia memerlukan masa yang lebih lama, dan dalam trafik yang bergerak laju, setiap saat yang terbuang adalah pertaruhan antara hidup dan mati.
Pandangan “terowong” dan ancaman titik buta
Selain isu fokus, kanak-kanak juga mempunyai medan penglihatan sisi (peripheral vision) yang jauh lebih terhad, iaitu kira-kira satu pertiga lebih sempit berbanding orang dewasa. Dalam erti kata lain, mereka melihat dunia seolah-olah melalui sebuah “terowong”.
Situasi ini sangat berbahaya di jalan raya; seorang anak mungkin melihat bola yang melantun ke tengah jalan dengan jelas, namun “terowong” penglihatan ini menyebabkan mereka gagal mengesan sebuah SUV yang sedang membelok dari arah sisi.
Keadaan menjadi lebih genting apabila kita mengambil kira faktor ketinggian mereka. Dengan aras mata purata hanya sekitar tiga kaki, kanak-kanak secara literal menjadi “halimunan” di bawah paras penglihatan pemandu kenderaan yang tinggi.
Wujud satu paradoks yang ngeri di sini: anak-anak mungkin merasakan mereka selamat kerana mereka nampak kenderaan tersebut, tetapi realitinya, pemandu langsung tidak menyedari kehadiran mereka di titik buta (blind spot) tersebut.
Apabila otak menjadi “lumpuh”: Kegagalan integrasi deria
Inilah perkara paling kritikal yang sering terlepas daripada perhatian kita. Melintas jalan sebenarnya bukan sekadar kerja mata, tetapi satu proses integrasi deria (sensory integration) yang sangat kompleks. Otak kanak-kanak pula belum mahir untuk menyatukan maklumat visual (melihat lori) dengan maklumat auditori (mendengar bunyi enjin atau hon) secara serentak.
Kajian neurosains menunjukkan bahawa mekanisme saraf untuk mengesan kenderaan yang menghampiri (looming detection) tidak berkembang sepenuhnya sehingga usia dewasa. [2]
Lebih membimbangkan, kajian terbaharu menunjukkan bahawa kanak-kanak berusia 7 dan 8 tahun lebih cenderung bergantung kepada isyarat jarak (jarak kenderaan) berbanding isyarat kelajuan apabila menilai masa untuk melintas. [3]
Hal ini bermakna, seorang anak mungkin menganggap kenderaan yang memecut laju itu sebagai “selamat” hanya kerana ia nampak masih jauh, tanpa menyedari betapa singkatnya masa yang diambil untuk kenderaan itu sampai ke arahnya.
Apabila berada di tengah-tengah kesibukan trafik, otak kanak-kanak sering mengalami bebanan kognitif (cognitive overload). Bayangkan, ketika mereka sedang sibuk menyelaraskan langkah kaki dan fokus melihat bola yang melantun, otak mereka terpaksa “menutup” seketika fungsi memproses input yang lain seperti bunyi hon amaran.
Mereka bukannya pekak, jauh sekali sengaja tidak mahu menoleh. Hakikatnya, otak mereka secara fisiologi belum mampu memproses terlalu banyak maklumat dalam satu masa.
Dalam keadaan yang menekan ini, fungsi otak mereka seolah-olah menjadi “lumpuh” atau pegun seketika, menyebabkan mereka gagal memberikan tindak balas yang pantas untuk menyelamatkan diri.
Mengapa 30 km/j adalah “harga mati”?
Apabila kita sudah memahami bahawa mata mereka kabur, fokus mereka lambat dan otak mereka mudah mengalami “lumpuh” kognitif, timbul satu persoalan moral: Adakah adil untuk kita membiarkan kenderaan terus memecut laju di persekitaran mereka?
Atas dasar inilah, advokasi had laju 30 km/j di zon sekolah dan kawasan perumahan bukannya sekadar angka rawak yang dipilih tanpa asas. Kelajuan 30 km/j sebenarnya menyediakan dua talian hayat utama:
- Ruang Masa (Buffer Time): Kelajuan yang lebih rendah memberikan ruang masa yang kritikal untuk otak kanak-kanak memproses maklumat dan bertindak balas.
- Sistem yang Melindungi Kesilapan (Forgiving Infrastructure): Kita harus akui bahawa manusia, sama ada pemandu mahupun kanak-kanak, tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, pada kelajuan 30 km/j, jalan raya kita menjadi lebih “pemaaf”. Jika berlaku perlanggaran, peluang untuk seorang kanak-kanak kekal hidup adalah setinggi 90 peratus, berbanding hanya bawah 20 peratus jika kenderaan dipandu pada kelajuan 45 km/j. [4]
Dari medan rintis ke dasar nasional
Statistik peluang hidup 90 peratus ini bukanlah sekadar teori. Usaha menterjemah angka ini ke alam nyata telah pun bermula melalui Projek Zon Sekolah Selamat, sebuah inisiatif rintis di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR) yang dilaksanakan di lokasi strategik seperti SMK Vivekananda, Brickfields dan SK Taman Seri Pagi, Negeri Sembilan. [5]
Lokasi ini berfungsi sebagai medan rintis untuk mengumpul data nyata bagi menyokong anjakan dasar nasional kelak.
Namun, setiap hari pewartaan had laju di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) ini tertangguh, bermakna setiap hari jugalah nyawa anak-anak kita kekal menjadi “pertaruhan” di ruang jalan raya yang tidak selamat. Meskipun komitmen 30 km/j telah dinyatakan sejak Julai 2024, pelaksanaan sepenuhnya masih berdepan dengan cabaran berstruktur.
Ia termasuk kerumitan penyelarasan pindaan kaedah-kaedah di bawah Akta 333 yang melibatkan sinergi erat antara Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). [6]
Kos sebuah bonggol dan kelewatan beberapa minit memandu tidak akan pernah sama nilainya dengan nyawa seorang anak. Dengan purata 67 nyawa anak-anak terkorban di zon sekolah setiap tahun [7], jalan raya yang selamat dan “pemaaf” adalah hak mereka yang tidak boleh kita tunda lagi.
Kesimpulan: Inisiatif CELOTEH angkat suara kanak-kanak
Melalui lensa CELOTEH, apabila anak-anak melukis jalan raya yang bising atau menyatakan rasa “takut” untuk melintas, ia sebenarnya adalah luahan jujur daripada had keupayaan tubuh mereka sendiri.
Sebagai inisiatif yang mengangkat suara kanak-kanak dalam pembangunan komuniti, CELOTEH hadir untuk merapatkan jurang antara perancangan kita yang dewasa dengan keperluan sebenar mereka.
Jangan hukum kanak-kanak hanya kerana mata dan otak mereka belum matang. Sebaliknya, marilah kita mencorak persekitaran yang adaptif terhadap keterbatasan mereka bagi mengelakkan pembaziran sumber yang paling berharga iaitu nyawa. Pada kelajuan 30 km/j, kita memberi mereka peluang untuk membesar menjadi dewasa.
Dr Safiya Amaran
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak, Wanita IKRAM Pusat
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Nota: Artikel ini ialah artikel kedua Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.
Rujukan
[1] Turbert, D. (2024). Childhood Visual Development. American Academy of Ophthalmology (AAO).
[2] Wann, J. P., et al. (2011). Reduced Visual Cues and Child Developmental Differences in Judging the Crossing Time of Vehicles. Psychological Science.
[3] Schwebel, D. C., et al. (2024). Children’s ability to estimate approaching vehicle time-to-arrival following training in a virtual pedestrian environment. Traffic Injury Prevention.
[4] World Health Organization (WHO) / Toroyan, T., & Peden, M. (2007). Managing Speed. Geneva: WHO. / WHO (2013). Pedestrian safety: a road safety manual.
[5] Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR). Safe School Zone (Zon Sekolah Selamat). Dicapai daripada https://mkjr.my/ms/our-work/safe-school-zone/
[6] Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesesakan Jalan Raya dan Kesesakan Lalu Lintas (JKMKKJRL). Kenyataan Rasmi Keputusan Penetapan Had Laju 30 km/j, 15 Julai 2024.
[7] Polis Diraja Malaysia (PDRM) & MIROS. Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Malaysia.




