Jadikan Ramadan Madrasah Meningkatkan Ketakwaan

Jadikan Ramadan Madrasah Meningkatkan Ketakwaan | IKRAM

Manusia cenderung memilih jalan pintas untuk meraih hasil dengan cepat. Namun, kebiasaannya jalan pintas itu menyalahi aturan atau membawa kesan sampingan yang tidak baik.

Namun istimewanya, Allah SWT menyediakan Ramadan sebagai jalan pintas yang benar untuk meraih keuntungan berganda iaitu keampunan, rahmat dan pahala berlipat kali ganda dalam tempoh yang singkat.

Ramadan datang sebagai bulan pembinaan dan pendidikan jiwa. Ibadah puasa selama sebulan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi tempoh yang panjang ini menjadi medan tarbiah untuk menyucikan jiwa dan meningkatkan ketakwaan iaitu  kemenangan yang sebenar di sisi Allah. 

Kemenangan yang dikejar dalam bulan ini tidak dapat diukur dengan emas atau wang ringgit kerana ganjarannya melampaui batas duniawi, membawa kepada kebahagiaan hakiki dan keindahan kehidupan abadi di akhirat kelak.

Allah SWT telah menyebut dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” 

Ayat ini menunjukkan bahawa tujuan utama puasa adalah untuk membentuk ketakwaan dalam diri hamba-hamba-Nya. Oleh itu, marilah kita memastikan Ramadan kali ini menjadi yang terbaik yang pernah kita lalui kerana belum tentu kita berkesempatan melaluinya lagi. 

Allah SWT memotivasikan orang yang beriman dengan pelbagai janji istimewa dalam bulan yang penuh rahmat ini. Antara keistimewaan tersebut ialah syaitan dibelenggu, pintu neraka ditutup, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, dosa-dosa lalu diampunkan, pahala dilipatgandakan serta berlakunya lailatulqadar, malam yang lebih mulia daripada seribu bulan. 

Justeru, sertakanlah keikhlasan dan kesungguhan dalam meningkatkan hubungan dengan Allah serta sesama manusia agar Ramadan tidak sekadar dilalui sebagai rutin tahunan, tetapi benar-benar menjadi medan perubahan diri ke arah kebaikan.

Ramadan juga adalah bulan al-Quran, bulan wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 185 (maksudnya): “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang benar dan yang batil).” 

Oleh itu, mari jadikan al-Quran riadah harian, menghayati maknanya dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Jika sebelum ini kita kurang membaca al-Quran, maka Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk mendekati dan menghayati mukjizat yang diturunkan oleh Allah sebagai pedoman hidup.

Dalam usaha menjadikan Ramadan sebagai madrasah ketakwaan, terdapat beberapa perkara penting yang harus diberi perhatian. Pertama, syukuri nikmat yang dikurniakan Allah dengan tidak membazir dalam makanan dan perbelanjaan. 

Pembaziran yang sering berlaku pada bulan Ramadan bertentangan dengan prinsip Islam yang menekankan kesederhanaan. Allah berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 31 yang bermaksud: “Makan dan minumlah, dan janganlah berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa seorang mukmin seharusnya makan sekadar memenuhi keperluan, bukan mengikut hawa nafsu.

Kedua, jaga lidah dan tutur kata dan pastikan setiap perkataan yang keluar daripada lisan adalah sesuatu yang baik dan bermanfaat. Berpuasa daripada berkata perkara yang sia-sia atau menyakitkan hati orang lain. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan dosa, maka Allah tidak berhajat terhadap puasanya walaupun ia meninggalkan makan dan minumnya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Ramadan mengajar orang berpuasa untuk menahan diri daripada perkara yang boleh merosakkan iman seperti maksiat, perbuatan sia-sia dan apa sahaja perbuatan yang melalaikan ibadah. Oleh itu, gunakanlah Ramadan ini sebagai platform untuk mencipta perubahan kekal dalam diri, bukan hanya perubahan sementara yang berakhir dengan tibanya Syawal.

Ketiga, banyakkan amalan kebaikan dan tingkatkan kualiti ibadah. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Inilah peluang besar untuk memperbanyak solat sunat, qiamullail, zikir dan doa. 

Dalam bulan Ramadan, syaitan dibelenggu, tetapi cabaran terbesar tetap datang daripada hawa nafsu diri sendiri. Jika di luar Ramadan, mungkin kita mudah tergoda dengan bisikan syaitan, tetapi pada bulan ini kita berpeluang untuk benar-benar mengawal diri daripada dorongan hawa nafsu yang merosakkan. 

Di samping itu, Ramadan juga mengingatkan kita tentang kepentingan bersedekah dan membantu mereka yang memerlukan. Umat Islam di seluruh dunia sedang menghadapi pelbagai ujian dan kesukaran, terutamanya saudara-saudara kita di Palestin yang sedang mengalami penderitaan yang dahsyat. 

Mereka berbuka di celah-celah runtuhan bangunan, menghadapi kebuluran, tiada perlindungan dan kekurangan keperluan asas. Oleh itu, mari kita mengambil peluang pada bulan yang mulia ini untuk berinfak dan membantu mereka dan semua yang berkeperluan dengan apa jua cara dalam kemampuan masing-masing.

Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai yang terbaik dalam hidup kita. Semoga kita diberi kekuatan untuk istiqamah dalam kebaikan, bukan hanya pada bulan Ramadan, tetapi juga sepanjang hayat kita.

Insya-Allah, dengan niat yang tulus dan usaha yang bersungguh-sungguh, kita akan meraih kemenangan yang sebenar, iaitu ketakwaan kepada Allah SWT.  

 

Hj Badlishah Sham Baharin
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia