Guru SRI I-Musleh Johan Anugerah Peringkat Kebangsaan

sekolah musleh

SERI KEMBANGAN – Muallimah Natasha Faradilla Jamil telah diumumkan sebagai Johan Anugerah Guru Berwibawa Sekolah Swasta sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026, yang merupakan guru Sekolah Rendah Islam I-Musleh (SRIIM), Melaka.

Pendidik sebuah sekolah rangkaian MUSLEH (institusi pendidikan IKRAM) itu menerima anugerah tersebut daripada Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek di Kinta Riverfront Hotel, Ipoh pada Jumaat.

Syabas dan tahniah kepada Muallimah Natasha Faradilla atas anugerah ini sebagai pengiktirafan kecemerlangan profesionalisme guru di sekolah, sekali gus menyerlahkan komitmen tinggi warga pendidik di sekolah MUSLEH dalam mendidik generasi soleh wa musleh yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah bagi MUSLEH Integrated Education Berhad (MIEB), Dr. Omar Yaakob merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh murabbi dalam rangkaian pendidikan MUSLEH di seluruh negara, atas setiap detik masa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam mendidik anak-anak ummah.

“Dunia pendidikan hari ini berubah dengan sangat pantas. Murid kita berhadapan dengan ledakan maklumat tanpa sempadan, pengaruh teknologi dan kecerdasan buatan (AI), krisis identiti dan jati diri, serta cabaran emosi dan kesihatan mental,” ujarnya dalam perutusan sempena Hari Murabbi Musleh 2026.

Dalam keadaan ini, tambahnya, para guru dan murabbi tidak lagi cukup dengan hanya menyampaikan ilmu, bahkan mereka seharusnya menjadi pembimbing arah, penapis nilai dan pembina jiwa.

Jelasnya, bertemakan “Murabbi Bitara, Nadi Pembina Ummah Rabbani” sempena Hari Murabbi MUSLEH, ia mengingatkan kita bahawa kekuatan sistem pendidikan tidak terletak pada struktur semata-mata, tetapi pada kualiti murabbi yang menghidupkannya.

Untuk menjadi murabbi bitara, beliau menggariskan enam perkara penting yang perlu dihayati, iaitu:

  1. Ikhlas dan Rabbani dalam tujuan
  2. Menjadi qudwah, bukan sekadar penyampai
  3. Mendidik dengan hikmah dan empati
  4. Teguh prinsip, anjal pendekatan
  5. Menguasai ilmu dan kemahiran masa hadapan
  6. Membina hubungan dan ekosistem tarbiah

 

Dr. Omar juga menyeru kepada semua murabbi agar terus memperbaharui niat, meningkatkan kompetensi diri, dan menghidupkan roh tarbiah dalam setiap aspek pendidikan. 

Baginya, perubahan ummah bermula dengan perubahan diri sebagai murabbi, dan mengharapkan segala usaha ini diberkati dan menjadi asbab lahirnya generasi rabbani yang akan memimpin ummah dengan ilmu, iman dan akhlak.

Hari Murabbi MUSLEH tahun ini disambut meriah di semua sekolah rangkaian MUSLEH bagi menghargai jasa dan pengorbanan para murabbi di sekolah.

Antaranya, Majlis Apresiasi Hari Murabbi & Guru telah diadakan buat seluruh warga pendidik Pusat Pendidikan Al-Itqan pada Jumaat di Lexis Suites Penang, yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Majlis itu lebih bermakna apabila IKRAM Pulau Pinang meraikan warga Al-Itqan dengan pemberian kek khas kepada semua warga pendidik, dan pemberian bunga buat semua staf wanita.

Sang Murabbi

Di Pusat Pendidikan Al-Ikram pula, IKRAM Pulau Pinang dan IKRAM Tasek Gelugor turut membuat ‘kejutan’ ringkas namun penuh makna dengan menghadiahkan beberapa biji kek buat para murabbi sekolah, seterusnya menikmati jamuan makan malam bersama-sama dan menyertai program Malam Bina Iman dan Takwa (MABIT).

SRI I-Musleh (SRIIM) juga tidak melepaskan peluang mengadakan sambutan Hari Murabbi dalam suasana penuh meriah, ceria dan bermakna dengan mengetengahkan tema pakaian “Kampung People” pada Jumaat. 

Warga sekolah tampil segak dan anggun dengan busana tradisional serta gaya kampung yang unik, ditambah dengan sesi pemberian hadiah daripada anak-anak murid kepada para murabbi sebagai tanda penghargaan. 

Suasana menjadi lebih menyentuh hati apabila mereka hadir dengan pelbagai hadiah, ucapan dan doa, diiringi muzik yang dimainkan secara langsung oleh I-Musleh Futurist Band, bahkan diserikan lagi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya sukan guru, persembahan murid dan persembahan khas para muallim dan muallimah.

 

Pada petangnya, IKRAM Bandaraya Melaka turut menganjurkan Majlis Minum Petang di Pejabat IKRAM Melaka sebagai tanda penghargaan buat para murabbi dari SRIIM dan Sekolah Menengah Agama I-Musleh (SMAIM).

Semoga sambutan Hari Murabbi MUSLEH kali ini akan terus menyemai rasa hormat, kasih dan penghargaan terhadap insan bergelar guru dan murabbi, bagi membina insan rabbani dalam sistem yang holistik, bersepadu, seimbang dan dinamik berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.

Baca teks penuh: Perutusan Hari Murabbi Musleh 2026

Foto sambutan:

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia