RPM 2026-2035: Hidupkan Nilai Ketuhanan di Bilik Darjah

rancangan pembelajaran

Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah pun meletakkan asasnya – soalnya kini, bilakah kita mahu menghidupkannya di dalam bilik darjah?

Setiap kali kita melaungkan Rukun Negara, patah pertama yang kita sebut ialah “Kepercayaan kepada Tuhan”. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) pula dengan jelas menyatakan bahawa pendidikan negara adalah “..berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan…”

Namun satu soalan mudah masih belum terjawab: Di manakah Tuhan itu dalam sistem pendidikan kita sehari-hari?

Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 sebenarnya membuka peluang besar untuk menjawab soalan ini. Bahkan dalam mukadimahnya, RPM telah mengangkat dua tiang seri utama – Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan – dengan penegasan bahawa RPM menterjemahkan kedua-duanya kepada tindakan nyata.

Pendidikan berasaskan ketuhanan bukan sekadar soal subjek agama atau hafazan ritual. Ia lebih mendalam – melibatkan pembentukan orientasi jiwa dalam proses menuntut ilmu.

Ia menanam kesedaran bahawa ilmu bukan wujud dalam kekosongan, tetapi dalam kerangka kewujudan yang bermakna, yang menghubungkan manusia dengan Pencipta dan tanggungjawabnya sebagai makhluk.

Hakikatnya, sistem pendidikan moden banyak dipengaruhi oleh pandangan materialistik yang memisahkan ilmu daripada dimensi ketuhanan. Sains diajar sebagai fakta dan formula tanpa ruang untuk rasa kagum terhadap keteraturan alam.

Ekonomi sering dilihat sebagai usaha memaksimumkan keuntungan tanpa menimbang nilai amanah dan keadilan. Sejarah pula kadangkala dipersembahkan seolah-olah tamadun bangkit dan runtuh tanpa dimensi moral yang lebih besar.

Akibatnya, pelajar mungkin cemerlang dalam peperiksaan, tetapi gagal menjawab persoalan asas kehidupan: mengapa saya wujud, apakah tujuan  saya, dan kepada siapa saya bertanggungjawab? Di sinilah jurang yang perlu kita tangani – kerana FPK bukan sekadar dokumen, tetapi amanah pembinaan insan.

Inilah jurang yang perlu kita renung. FPK bukan sekadar dokumen formal. Ia adalah amanah yang belum ditunaikan sepenuhnya.

Pendidikan berasaskan ketuhanan bukan bermaksud menjadikan setiap kelas sebagai kelas agama. Ia adalah soal pendekatan – cara guru memanfaatkan detik-detik pembelajaran untuk membuka ruang refleksi tentang kewujudan, tujuan dan tanggungjawab.

Dan yang indahnya, pendekatan ini boleh dilaksanakan dengan neutral dari segi agama, sesuai untuk murid Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh mahupun kepercayaan lain.

Dalam kelas Sains, pelajar boleh diajak bukan sekadar menghafal hukum fizik, tetapi bertanya: “Mengapa alam ini mengikuti hukum yang konsisten dan boleh dikaji?”

Dalam Biologi, kompleksiti sel – dengan kod DNA-nya, mekanisme pembaikannya, jentera yang terlalu halus untuk terjadi secara kebetulan – boleh menjadi titik tadabur. Dalam Matematik, keindahan dan keteraturan nombor boleh direnungi bukan sekadar sebagai alat, tetapi sebagai refleksi keteraturan semesta. 

Dalam Ekonomi, konsep amanah, keadilan dan had boleh ditekankan – nilai yang bertemu dalam semua tradisi agama di Malaysia. Dalam Geografi, bumi bukan sekadar sumber untuk dieksploitasi, tetapi amanah untuk dijaga sebagai khalifah. Dalam Sejarah, kebangkitan dan keruntuhan tamadun mengajar kita tentang akibat kezaliman dan kepentingan akhlak kolektif.

Pendekatan ini tidak menambah beban kurikulum, sebaliknya memperkaya pengalaman pembelajaran. 

Ia bermula dengan guru. Seorang guru Sains yang, setelah menerangkan sistem saraf otak, berhenti sejenak dan berkata, “Bukankah menakjubkan bahawa organ yang kita guna untuk berfikir masih belum dapat memahami dirinya sendiri sepenuhnya?”

Pada kala ini, sang guru telah menanam benih rasa hairan dan rendah diri yang jauh lebih berharga daripada sekadar jawapan betul dalam peperiksaan.

Malaysia, dengan kepelbagaian agamanya yang unik, sebenarnya berada dalam kedudukan yang amat istimewa. Murid yang memahami bahawa konsep amanah dalam Islam, stewardship dalam Kristian, darma dalam Hindu, dan dana dalam Buddha semuanya membawa mesej yang serupa tentang tanggungjawab terhadap alam dan sesama manusia – bukan menjadi pelajar yang keliru, tetapi pelajar yang diperkaya.

Menghidupkan Rukun Negara pertama dalam pendidikan bukanlah tentang menambah kandungan baharu, tetapi tentang menghidupkan semula roh pendidikan itu sendiri. Rukun Negara dan FPK telah memberi asas yang jelas.

Cabarannya kini adalah menterjemahkannya dalam bilik darjah agar pendidikan benar-benar melahirkan insan yang seimbang, bertanggungjawab dan sedar akan hubungannya dengan Pencipta serta sesama manusia.

Dr Omar Yaakob

Ketua Kumpulan Fokus (Pendidikan)

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia