Antara manusia dengan politik

Namun begitu, keputusan yang dianggap tidak penting ini mempunyai implikasi atau kesan yang mendalam. Sebagai makhluk yang sentiasa mencari makna dalam kehidupan, manusia seringkali membuat keputusan dengan mengaitkannya dengan nilai-nilai tertentu. Perkara ini ‘betul’, perkara itu ‘salah’. Tindakan ini ‘baik’, tindakan itu ‘tidak baik’.

 

Pada tahap yang lebih tinggi, nilai-nilai ini mencorak sebab musabab pemilihan seseorang pemimpin atau sesebuah kerajaan. Dengan itu, tidak silap untuk kita nyatakan bahawa manusia dengan politik berpisah tiada kerana manusia sentiasa membuat keputusan, sama ada sedar atau tidak.  

 

Kita sedia maklum bahawa keadaan politik negara pada masa ini tidak begitu baik (ayat sebegini juga menunjukkan bahawa penulis tidak dapat lari daripada konsep ‘nilai’ yang telah dipelajari melalui pengalaman hidup dan diterapkan dalam diri).

 

Rakyat dibelenggu ketidakpastian. Hala tuju negara masih menjadi tanda tanya. Buat sementara waktu, kegusaran mengenai wabak COVID-19 diketepikan untuk memberi ruang kepada pelantikan menteri-menteri baharu dalam kabinet Perdana Menteri Malaysia ke-8, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Muhammad Yassin.

 

Dengan angkat sumpah Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, jentera baharu politik negara sudah dihidupkan.   

 

Penulis percaya bahawa suara rakyat itu merupakan suara keramat. Menteri-menteri yang baru sahaja dilantik tempoh hari (9 Mac 2020) harus menggalas tanggungjawab sebagai wakil kepada rakyat. Apakah yang dimaksudkan dengan menjadi wakil kepada rakyat?

 

Sudah semestinya, mereka yang diberi kepercayaan ini perlu sedar dan faham bahawa mereka bekerja demi kebaikan rakyat, demi kesejahteraan bersama tanpa mengambil kira latar belakang, ras, jantina, kaum, agama, dan pengenal pasti sosial yang lain.

 

Bukan setakat perbualan kosong atau ungkapan yang tidak membawa erti, pemimpin perlulah menyelaraskan niat dengan tindakan, nawaitu dengan usaha.

 

Penulis percaya bahawa rakyat sudah jemu dengan janji-janji yang tidak ditepati sebelum ini. Rakyat sudah letih dan lesu dengan pergelutan politik yang hanya menonjolkan kerakusan beberapa individu bagi mendapatkan kuasa.

 

Kita tahu bahawa hal-hal pentadbiran negara tidaklah mudah, namun apa yang ditagih rakyat ialah ketelusan dalam melaksanakan tanggungjawab dan kegigihan bersama dalam membangunkan negara.

 

Sejarah seharusnya dijadikan pengajaran dan iktibar demi kebaikan semasa dan juga masa hadapan. Antara contoh yang dapat kita garap mengenai kuasa rakyat adalah semasa Revolusi Perancis (1789-1799).

 

Dalam tempoh ini, rakyat Perancis telah memusnahkan dan membentuk semula lanskap politik negara mereka menerusi penggulingan institusi-institusi tertentu, termasuk sistem feudal yang berkecenderungan menindas golongan bawahan.

 

Penindasan sebegini bukan sahaja tertumpu di negara-negara Eropah tetapi dapat dilihat di benua Asia juga. Sistem kasta di India menindas golongan Dalit (paria) yang dianggap hina dan tidak boleh disentuh.

 

Dalam hierarki masyarakat India, golongan Brahma (pendeta/pemuka agama) berada di atas, diikuti oleh golongan Ksatria (bangsawan/raja/pegawai pemerintahan), Waisya (pedagang, petani, nelayan), Sudra (masyarakat umum) dan Dalit (buruh rendahan).

 

Perbezaan antara sistem feudal di Perancis dan sistem kasta di India adalah pengaruh agama dalam menentukan taraf seseorang dalam masyarakat. Pada akarnya, sistem feudal menyebabkan berlakunya pergelutan makna dan penindasan berasaskan perbezaan antara manusia yang dianggap mempunyai darjat berbeza.

 

Bagi penulis, sistem feudal seharusnya diganti dengan sistem yang tidak membezakan manusia menerusi kaum atau status sosial, tetapi mengambil kira keupyaan individu untuk meyumbang kepada masyarakat berlandaskan akhlak dan nilai-nilai murni.

 

Berbalik kepada Revolusi Perancis, secara tuntasnya, pergolakan ini berpunca daripada kegusaran yang berleluasa terhadapa dasar ekonomi Raja Louis XVI yang dianggap menindas rakyat.

 

Walaupun revolusi tersebut terkandas dalam mencapai keseluruhan matlamatnya, namun Revolusi Perancis merupakan pemangkin kepada pembentukan negara-negara moden. Revolusi Perancis menunjukkan kepada dunia betapa pentingnya hubungan antara pemerintah dengan yang diperintah, antara kerajaan dengan rakyat.

 

Kehendak rakyat tidak boleh dipandang remeh dan seharusnya diambil kira sebelum merangka dasar-dasar yang akan diterapkan dalam sesebuah negara. Sebagai ketua, pemerintah atau pentadbir, kepentingan sendiri harus diletak tepi supaya kepentingan masyarakat diangkat dan diberi perhatian sewajarnya.

 

Bagi negara seperti Malaysia yang kaya dengan sumber asli, ianya menjadi satu kehairanan dan kebingungan mengapa masih ada lagi kelompok yang miskin dan lebih teruk lagi; daif.

 

Kita harus berganding bahu dalam mengenal pasti kaedah terbaik untuk menangani isu kemiskinan dalam dan luar bandar. Kemelut kemiskinan merupakan masalah asas yang harus diselesaikan sebelum sesebuah negara dapat bergerak selari dengan arus pemodenan.  

 

Apa yang penulis cuba sampaikan bukanlah untuk bertindak secara melulu dengan menggunakan kekerasan terhadap mereka yang berkuasa. Mereka manusia juga; tetapi manusia yang memiliki mandat politik.

 

Dalam pada itu, pentadbir negara dan ahli politik secara amnya, harus ingat bahawa keputusan politik yang diambil mempunyai kesan mendalam terhadap rakyat Malaysia.

 

Penulis berharap agar rakyat dapat bersabar dalam pertukaran kuasa yang baru sahaja berlangsung, tanpa melupakan bahawa kuasa sebenar adalah milik rakyat. Seperti yang telah diutarakan, suara rakyat itu suara keramat. Itulah politik sebenar. 

 

“Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertaqwalah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)

 

Penulis, Arief Subhan merupakan seorang Pembantu Penyelidik bagi ‘Political Futures Experts Group (PFEG)’ di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).

Penafian: Artikel ini pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya menggambarkan pendirian IKRAM.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia