Isu Pelarian Rohingya: Langkah Kerajaan & Peranan NGO

rohinya

Isu pelarian Rohingya bukanlah perkara baharu bagi Malaysia, ia menjadi salah satu cabaran geopolitik dan kemanusiaan paling rumit yang dihadapi oleh negara ini sejak beberapa dekad lalu. 

Negara ini telah menjadi destinasi pelarian bagi puluhan ribu etnik Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan, keganasan dan pencabulan hak asasi manusia yang sistematik di wilayah Rakhine, Myanmar. 

Namun kini, isu ini melangkah ke fasa yang lebih kompleks, daripada sekadar simpati kemanusiaan kepada tekanan infrastruktur domestik, keselamatan negara dan keperluan terhadap pengurusan dasar yang lebih mampan.

Sejarah kedatangan Rohingya ke Malaysia

Isu kehadiran etnik Rohingya di Malaysia bukanlah polemik baharu, sebaliknya telah berlarutan sejak hampir tiga dekad lalu. Mereka telah lama berdepan diskriminasi sistematik dan tidak diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar, dan majoriti mereka hidup tanpa kerakyatan atau stateless.

Selain Bangladesh, sebahagiannya cuba meloloskan diri ke Malaysia melalui jalan laut yang berisiko tinggi, kerana melihat negara ini sebagai destinasi selamat bagi masyarakat Islam dan mempunyai peluang pekerjaan yang lebih baik.

Menurut data terkini UNHCR, Malaysia kini menempatkan sekitar 181,000 pelarian dan pencari suaka, dengan kira-kira 103,000 daripadanya merupakan etnik Rohingya, yang membentuk kumpulan pelarian terbesar di negara ini.

Cabaran semasa isu Rohingya di Malaysia

Walaupun ramai Rohingya datang atas faktor kemanusiaan, isu ini semakin kompleks kerana melibatkan pelbagai dimensi.

Cabaran utama yang dihadapi pada masa kini melibatkan beberapa faktor kritikal antaranya populasinya yang padat memberi tekanan kepada kemudahan awam, sistem kesihatan dan mencetuskan persaingan ekonomi dalam sektor perniagaan kecil.

Selain itu, mereka dikategorikan sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), yang mengehadkan akses mereka kepada pekerjaan sah dan pendidikan formal, ditambah lagi dengan kebimbangan masyarakat ekoran penempatan haram, isu kebersihan, serta penglibatan segelintir individu dalam aktiviti jenayah atau konflik dengan penduduk tempatan.

Perkembangan mutakhir juga menunjukkan dinamika sentimen masyarakat tempatan terhadap pelarian Rohingya mengalami anjakan yang ketara, antaranya wujud desakan melalui petisyen dalam talian agar komuniti ini ditempatkan semula ke negara ketiga atau dihantar pulang. 

Langkah-langkah kerajaan

Kerajaan Malaysia mengambil pendekatan yang cuba mengimbangi antara tuntutan kemanusiaan dan kepentingan keselamatan negara, dengan melaksanakan beberapa langkah strategik meskipun tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

  1. Pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP)

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperkenalkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, sebagai mekanisme tunggal dan rasmi kerajaan dalam menguruskan pelarian di Malaysia.

Langkah ini memberi jaminan bahawa pelaksanaan program DPP tidak akan membuka ruang kepada pelarian untuk kekal bermastautin di Malaysia. Golongan terbabit tetap tertakluk kepada tiga ketetapan utama iaitu dihantar pulang ke negara asal, ditempatkan di negara ketiga, atau diusir sekiranya melanggar undang-undang negara.

  1. Penguatkuasaan dan Kawalan Sempadan

Kerajaan memperketat kawalan sempadan dan memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi membendung kemasukan pendatang tanpa izin di sepanjang laluan maritim utara Selat Melaka dan sempadan darat melalui operasi bersepadu seperti Operasi Benteng.

Agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen memainkan peranan penting dalam mengawal kemasukan pelarian secara tidak sah, dan mengekang aktiviti sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi pelarian Rohingya menggunakan bot-bot uzur. 

3. Diplomasi Serantau dan ASEAN

Di peringkat serantau dan antarabangsa melalui platform ASEAN dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia terus mengangkat isu Rohingya dengan menegaskan bahawa penyelesaian sebenar mesti datang daripada Myanmar sendiri melalui jaminan keselamatan dan hak kewarganegaraan kepada Rohingya. 

Malaysia juga aktif bekerjasama dengan negara jiran seperti Bangladesh bagi menyelaraskan bantuan kemanusiaan serta membangkitkan isu ini dalam persidangan ASEAN demi mencari penyelesaian jangka panjang berterusan.

Peranan aktif NGO

Sudah pasti kerajaan tidak mampu menangani isu ini secara bersendirian. Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta masyarakat madani memainkan peranan yang sangat penting sebagai “jambatan” yang menguruskan aspek kemanusiaan di peringkat akar umbi bagi mengelakkan konflik sosial.

Pelbagai NGO tempatan dan antarabangsa membantu menyediakan akses pendidikan tidak formal kepada kanak-kanak pelarian, perkhidmatan kesihatan asas, bantuan makanan serta sokongan psikososial. Bantuan ini amat penting kerana kebanyakan pelarian tidak mempunyai akses penuh kepada sistem kebajikan negara.

Selain itu, NGO turut membantu dalam usaha pembangunan komuniti dan latihan kemahiran bagi meningkatkan keupayaan pelarian untuk berdikari. Terdapat juga inisiatif yang dijalankan oleh komuniti Rohingya sendiri bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada keganasan serta eksploitasi.

NGO juga berperanan menyebarkan fakta yang tepat bagi membendung penularan berita palsu atau sentimen xenofobia (kebencian terhadap orang asing) di media sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Masyarakat pula boleh memainkan peranan melalui pendekatan yang seimbang dan rasional. Di satu pihak, rakyat berhak menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan dan kepentingan negara.

Namun pada masa yang sama, pendekatan berasaskan fakta dan kemanusiaan perlu diutamakan bagi mengelakkan stereotaip serta diskriminasi terhadap keseluruhan komuniti pelarian.

Kemanusiaan Rohingya, keadilan rakyat

Kesimpulannya, isu pelarian Rohingya adalah ujian bagi nilai kemanusiaan dan kedaulatan bangsa Malaysia. Islam mengajar kita untuk memuliakan tetamu yang dizalimi, namun keadilan kepada rakyat sendiri turut menjadi kewajipan.

Jalan terbaik ialah pendekatan yang menggabungkan dasar kerajaan yang tegas dan telus, peranan aktif NGO dalam memberi bantuan langsung, serta diplomasi serantau yang berkesan untuk menyelesaikan akar punca krisis di Myanmar.

Hanya dengan kerjasama semua pihak, cabaran yang telah berlarutan selama puluhan tahun ini dapat ditangani secara adil, bermaruah dan lestari, demi kestabilan Malaysia dan kesejahteraan insan yang terlibat.

Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti

Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat

Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia