Bilik Darjah Pasif, Gaya Kilang Rosakkan Mental Anak? (Bhg. 1)

Jika artikel Siri CELOTEH 9 sebelum ini telah membongkar “jeritan biologi” dan impak buruk memaksa anak-anak duduk diam dari sudut sains perubatan, artikel 10a ini pula akan membawa kita melihat kesan yang lebih besar. 

Kita akan menyelami bagaimana acuan bilik darjah yang menyekat pergerakan ini sebenarnya telah mencetuskan krisis kesihatan mental yang parah di sekolah, sehinggalah kepada kegagalan melahirkan generasi yang mampu bertahan dalam asakan ekonomi digital hari ini.

Sumpahan “Revolusi Industri” di bilik darjah 

Mengapa susunan bilik darjah di kebanyakan sekolah di Malaysia masih tegar menghadap ke depan kelas? Reka bentuk ini sebenarnya warisan zaman Revolusi Industri.

bilik darjah

Dahulu, sistem kuno ini sengaja dicipta untuk melatih murid supaya sentiasa patuh, boleh duduk diam lama-lama, dan hanya menerima arahan sehala. Sifat-sifat inilah yang sangat diperlukan untuk melahirkan buruh kilang pada zaman tersebut [1].

Ironinya, walaupun dunia luar sudah lama meninggalkan era tersebut, susunan gaya lama ini masih tegar dipertahankan di sekolah kita. Kita seolah-olah mengharapkan anak-anak bersedia untuk masa depan yang dinamik, namun pada masa yang sama, kita masih mengurung mereka dalam ruang fizikal yang direka khusus untuk melatih pekerja abad ke-19.

Lensa neurobiologi: Apabila sains mengiktiraf hak pergerakan 

Bagaimanapun, pegangan zaman Revolusi Industri ini terbukti meleset sama sekali dengan penemuan sains moden. 

Melalui data sains saraf dan teknologi imbasan otak, pakar perubatan kini boleh melihat dengan jelas bahawa fungsi otak murid diaktifkan pada tahap terbaik untuk menyerap maklumat kesan daripada pergerakan tubuh mereka [2].

Imbasan neuroimaging membuktikan bagaimana aliran darah dan oksigen melonjak ke bahagian yang mengawal tumpuan serta fungsi kognitif aras tinggi, sejurus selepas anak-anak dirangsang dengan aktiviti fizikal.

Bukti ini jelas menunjukkan bahawa memenjarakan tubuh murid di atas kerusi sepanjang hari secara biologinya menumpulkan ketajaman otak, sekali gus menukarkan organ utama pembelajaran ini kepada mod pasif.

Iktibar krisis global : Fleksibiliti bukan sekadar ikutan 

Seawal era 1990-an, negara-negara maju di Eropah mula dilanda krisis sosiopendidikan yang parah. Antara punca utamanya adalah  membina tekanan mental kerana suasana kelas yang kaku yang terbukti menindas fitrah semula jadi anak-anak.

Sekatan fizikal sebegini lama-kelamaan membina tekanan mental yang berterusan, sekali gus menjadi antara faktor penyumbang utama kepada masalah disiplin dan kes buli di sekolah [3].

Pada masa yang sama, kejatuhan sektor pembuatan dan penutupan kilang berskala besar di negara mereka mendedahkan lagi kepincangan sistem lama. 

Ketika sekolah masih rancak “mencetak” murid yang pasif dan sekadar menurut arahan, pasaran kerja era 90-an sudah pun beralih ke industri digital yang menuntut kreativiti dan keupayaan berfikir. Ketidakpadanan ini akhirnya melahirkan lambakan generasi muda yang menganggur kerana watak kaku mereka tidak lagi menjadi tunggangan utama ekonomi moden [1].

Merapatkan jurang era digital: Memecah acuan sistem lama 

Jurang ini menjadi semakin parah dengan kedatangan era digital dan Kecerdasan Buatan (AI). Pasaran kerja hari ini mendambakan pekerja yang menguasai kemahiran insani 4K iaitu Kreativiti, Pemikiran Kritis, Kolaborasi dan Komunikasi [4].

Atas dasar itulah, penggubal dasar di negara maju bergerak agresif memecahkan acuan lama sistem sekolah mereka. Mereka sedar bahawa mustahil untuk melahirkan generasi 4K sekiranya minda pengurusan sistem masih mengekalkan bilik darjah yang pasif dan terkunci [5]. 

Krisis sosiopendidikan di Malaysia

Namun di Malaysia, ketika negara luar sudah lama menuai hasilnya, kita baru sahaja terkial-ial mahu bermula. Kelewatan ini adalah akibat daripada acuan sistem kita yang masih terperangkap dalam jurang ketinggalan mencecah 30 hingga 40 tahun.

Sebagaimana krisis mental remaja yang pernah mencemaskan Finland pada era 1970-an sehingga mencetuskan reformasi pendidikan mereka [6], Malaysia kini berhadapan badai yang sama. Data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) oleh KKM mengesahkan peningkatan membimbangkan isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja [7].

Uniknya di Malaysia, badai ini dipacu oleh “ramuan” tersendiri: tekanan silibus tebal, kitaran pembelajaran yang pasif serta lambakan KPI akademik yang membuatkan emosi murid sarat dan berserabut.

Sains persekitaran sekolah membuktikan bahawa bilik darjah yang menyisihkan fitrah bergerak ini bukan sahaja memadamkan fokus murid, malah melonjakkan stres yang akhirnya meletup sebagai masalah disiplin dan kes buli yang parah [3].

Dari bilik darjah kaku ke lambakan graduan “pasif”

Laporan Bank Dunia bertajuk Raising the Ceiling, Raising the Floor mendedahkan realiti getir: ketika hampir 45% pekerjaan di Malaysia terdedah kepada impak AI Generatif, benteng utama untuk graduan bertahan adalah penguasaan kemahiran sosioemosi and daya adaptasi yang tinggi [8]. 

Namun di lapangan, majikan kerap mengadu lambakan graduan kita lemah berkomunikasi, rimas dengan perubahan dan gagal bekerja dalam pasukan. Krisis ini tidak bermula di universiti, sebaliknya merupakan kesan langsung daripada sistem sekolah yang melatih anak-anak menjadi penerima maklumat yang pasif.

Model pendidikan berorientasikan “kilang” abad lepas terbukti runtuh kerana mengabaikan aspek keunikan setiap murid. Hari ini, kita mengulangi kesilapan lama dengan mengurung anak-anak dalam budaya “duduk diam dan hafal” selama 11 tahun, kemudian kita hairan mengapa mereka gagal berfungsi di alam kerjaya yang dinamik.

Jika dunia luar sudah agresif merombak bilik darjah mereka, bagaimana pula dengan sekolah kita? Apakah idea praktikal dan solusi tanpa kos yang boleh kita tiru serta-merta?

Kita akan semak contoh dari negara luar dan panduan mudah ini dalam artikel Siri CELOTEH akan datang. Jumpa lagi!

Dr Safiya Amaran
Pakar Perubatan Kesihatan Awam &
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Malaysia

Nota: Artikel ini ialah artikel kesepuluh daripada Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia. 

Rujukan

[1] UNESCO. (1996). Learning: The treasure within (Report of the International Commission on Education for the Twenty-first Century). UNESCO Publishing.

[2] Ratey, J. J., & Hagerman, E. (2008). Spark: The revolutionary new science of exercise and the brain. Little, Brown and Company.

[3] Barrett, P. S., Zhang, Y., Davies, F., & Barrett, L. C. (2015). Clever classrooms: Summary report of the HEAD project. University of Salford.

[4] World Economic Forum. (2025). The future of jobs report 2025.

[5] RSA. (2010, October 14). Changing education paradigms [Video]. YouTube.

[6] Sahlberg, P. (2011). Finnish lessons: What can the world learn from educational change in Finland?. Teachers College Press.

[7] Institut Kesihatan Umum. (2022). National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2022: Adolescent health survey. Kementerian Kesihatan Malaysia.

[8] World Bank. (2026). Malaysia Economic Monitor, April 2026: Raising the Ceiling, Raising the Floor – The Jobs Agenda as a Productivity Agenda. World Bank Group.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia