Kerja Rumah Bukan Tanggungjawab Isteri Semata-mata

Tanggungjawab Isteri

Dalam budaya masyarakat kita, masih wujud tanggapan bahawa urusan rumah tangga merupakan tanggungjawab wanita. Sejak kecil, anak perempuan sering dibiasakan membantu ibu memasak, mengemas dan mencuci pakaian, sedangkan anak lelaki tidak diberikan tanggungjawab yang sama.

Apabila dewasa dan berumah tangga, kebiasaan ini diteruskan sehingga kerja domestik dianggap sebagai kewajipan seorang isteri, tanpa mengira beliau bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa.

Keadaan ini menimbulkan dilema dalam kehidupan keluarga moden. Ramai wanita hari ini turut bekerja dan menyumbang kepada ekonomi keluarga, namun masih memikul sebahagian besar tanggungjawab mengurus rumah, menjaga anak-anak dan memenuhi keperluan ahli keluarga. Setelah seharian bekerja, mereka meneruskan pula tugas domestik yang seolah-olah tidak pernah selesai.

Lebih membimbangkan apabila penglibatan suami dalam urusan rumah dianggap hanya sebagai membantu isteri, seolah-olah semua pekerjaan tersebut merupakan tanggungjawab mutlak wanita.

Persoalannya, adakah tanggapan ini benar-benar mencerminkan tuntutan Islam, atau sebahagiannya terbentuk daripada kebiasaan budaya yang diwarisi turun-temurun tanpa sedar?

Rumah tangga sebagai amanah bersama 

Islam meletakkan institusi keluarga sebagai asas pembinaan masyarakat sejahtera. Perkahwinan tidak hanya terbatas kepada ikatan antara lelaki dengan wanita, tetapi amanah yang menuntut kerjasama, tanggungjawab dan saling menghormati.

Allah SWT menjelaskan dalam Surah ar-Rum, ayat 21 bahawa antara tujuan penciptaan pasangan ialah memperoleh ketenangan (sakinah), kasih sayang (mawaddah) dan belas ihsan (rahmah).

Ketiga-tiga nilai ini memberikan asas penting dalam kehidupan berkeluarga. Ketenangan sukar dicapai apabila seorang pasangan sentiasa dibebani tanggungjawab sehingga mengalami keletihan fizikal dan tekanan emosi.

Walaupun Islam menetapkan tanggungjawab tertentu kepada suami dan isteri, termasuk kewajipan nafkah kepada suami, hal ini tidak bermaksud semua urusan domestik semestinya dibebankan kepada seorang individu sahaja.

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan teladan melalui penglibatan Baginda dalam urusan keluarga. Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Baginda membantu urusan keluarganya ketika berada di rumah dan keluar menunaikan solat apabila tiba waktunya (Riwayat al-Bukhari).

Teladan ini memperlihatkan bahawa melakukan kerja rumah bukanlah sesuatu yang merendahkan kedudukan seorang lelaki, sebaliknya mencerminkan sifat tawaduk, ihsan dan tanggungjawab.

Maqasid asy-Syariah dan kesejahteraan keluarga 

Maqasid asy-Syariah menekankan pemeliharaan kemaslahatan manusia melalui lima kepentingan asas iaitu agama (hifz ad-din), nyawa (hifz an-nafs), akal (hifz al-‘aql), keturunan (hifz an-nasl) dan harta (hifz al-mal). Dalam konteks keluarga, kelima-lima prinsip ini memberikan panduan terhadap pengurusan rumah tangga yang sejahtera.

Pemeliharaan agama diterjemahkan melalui amalan amanah, ihsan dan saling membantu. Pemeliharaan nyawa pula menuntut perhatian terhadap tempat tinggal yang selamat dan kondusif, kesihatan fizikal dan emosi ahli keluarga. Justeru, pembahagian kerja yang munasabah dapat mengurangkan keletihan serta tekanan berpanjangan.

Pemeliharaan akal berkait dengan kesejahteraan mental dan ruang untuk berehat, manakala pemeliharaan keturunan menekankan persekitaran keluarga yang stabil bagi perkembangan anak-anak. Pemeliharaan harta pula menuntut pengurusan kewangan dan sumber keluarga secara berhemah dan tidak berlebih-lebihan.

Justeru, dari sudut maqasid, pengurusan rumah tangga bukan hanya memastikan setiap tugasan disiapkan, tetapi memelihara kesejahteraan manusia yang tinggal di dalamnya.

Mengubah budaya, membina tanggungjawab bersama 

Perubahan budaya perlu bermula dengan kesedaran bahawa kerja rumah bukan ukuran kedudukan atau peranan berdasarkan jantina semata-mata.

Ia merupakan keperluan kehidupan yang menuntut sumbangan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan masing-masing. Malah kemampuan untuk menguruskan rumah termasuk dalam kemahiran utama (life skills) yang perlu dipandang penting oleh semua pihak.

Kerjasama sebenar bukan hanya membantu apabila diminta, tetapi mempunyai inisiatif untuk mengenal pasti dan melaksanakan keperluan keluarga. Tanggungjawab ini termasuk pekerjaan yang tidak kelihatan seperti merancang perbelanjaan, mengurus jadual persekolahan anak-anak dan memastikan kebajikan ahli keluarga terpelihara.

Namun, keadilan tidak semestinya bermaksud semua pekerjaan dibahagikan sama rata. Pembahagian perlu mengambil kira kemampuan, kesihatan, masa dan keadaan setiap individu.

Budaya ini juga perlu dipupuk sejak kecil. Anak lelaki dan perempuan sama-sama wajar dididik dengan kemahiran asas kehidupan seperti mengemas bilik, menyediakan makanan dan menjaga kebersihan rumah. Pendidikan sedemikian membentuk disiplin, kemandirian serta penghargaan terhadap pengorbanan orang lain.

Langkah praktikal membina budaya kerjasama keluarga 

Perubahan budaya tidak semestinya memerlukan pendekatan yang besar. Ia boleh dimulakan melalui amalan kecil yang dilakukan secara konsisten.

Pertama, mulakan dengan menunjukkan contoh yang baik daripada ibu dan bapa sebagai ketua dan serikandi rumah tangga. Saling membantu dalam sekecil-kecil amalan menguruskan rumah seperti membuang sampah adalah satu permulaan yang baik.

Kedua, bahagikan tugas mengikut kemampuan, bukan jantina. Suami, isteri dan anak-anak boleh mengambil tanggungjawab tertentu secara bergilir seperti menyediakan sarapan, mencuci pinggan, mengurus pakaian atau membersihkan rumah. Pembahagian ini boleh diubah mengikut keadaan pekerjaan, kesihatan dan keperluan semasa.

Ketiga, pupuk sikap berdikari dalam kalangan anak-anak. Biasakan anak-anak mengemas tempat tidur, menyusun barang peribadi dan membantu menyediakan meja makan.

Anak lelaki dan perempuan perlu diberikan peluang yang sama untuk mempelajari kemahiran pengurusan rumah. Pupuk sikap ini hingga menjadi tabiat yang berakar dalam diri. Tugasan ini kelak tidak menjadi beban, malah akan dilakukan secara sukarela dan penuh keikhlasan.

Keempat, jadikan waktu makan sebagai aktiviti bersama. Penyediaan sarapan atau makan malam boleh menjadi ruang kerjasama keluarga. Ada yang menyediakan makanan, mengatur meja dan mengemas selepas makan. Amalan ini bukan sahaja meringankan pekerjaan, tetapi mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Kelima, hargai sumbangan dan pelihara ruang rehat. Ucapan terima kasih, penghargaan terhadap usaha pasangan dan kesediaan mengambil alih tugas apabila diperlukan dapat membina suasana saling menghormati. Setiap ahli keluarga juga perlu mempunyai masa untuk berehat dan menjaga kesejahteraan diri.

Rumah sebagai ruang membina kemanusiaan 

Akhirnya, rumah yang sejahtera bukan semata-mata rumah yang bersih dan tersusun, tetapi rumah yang penghuninya saling memahami, menghargai dan melengkapi.

Menguruskan rumah bukan tanggungjawab ibu semata-mata, bukan juga tanggungjawab bapa seorang diri. Rumah ini ialah ruang kehidupan bersama, maka kesejahteraannya perlu dipelihara bersama.

Di sinilah maqasid asy-syariah menemukan maknanya dalam kehidupan seharian, apabila nilai agama diterjemahkan melalui kasih sayang, keadilan, ihsan dan penghormatan terhadap kemanusiaan.

Kebersihan dan kekemasan tidak bermakna mewah dan mahal. Keteraturan tidak memerlukan kekayaan dan kemampuan kewangan. Namun, ia adalah sikap yang mendiami diri setiap dari ahli keluarga yang boleh dipupuk dan dilatih.

Tanpa kita sedari, meskipun amalan yang dilakukan untuk membantu menguruskan rumah itu kecil, ia adalah usaha yang mempunyai timbangan yang berat di sisi agama kerana rumah yang bersih dan kemas serta tersusun amat penting untuk menjamin sebuah tempat tinggal yang sejahtera demi menjaga nyawa dan jiwa sebagaimana yang dikehendaki oleh Yang Esa. 

Prof. Madya Dr. Hamidah Mat
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Open University Malaysia (OUM)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia