Fitrah Anak Suka Bergerak: Jangan Paksa Duduk Diam

Fitrah Anak Suka Bergerak: Jangan Paksa Duduk Diam | IKRAM

“Bosanlah ibu. Asyik kena duduk diam, tak boleh bergerak langsung dalam kelas.”

Luahan jujur ini adalah suara hati jutaan anak kecil di Malaysia. Kita sering menganggap visual murid yang duduk tekun sebagai potret disiplin yang ideal. Namun, dari sudut neurobiologi, adakah duduk diam itu merehatkan, atau sebenarnya sebuah penyeksaan fizikal yang halus?

Hakikatnya, memaksa kanak-kanak, terutamanya di peringkat prasekolah (5 tahun) sehinggalah ke sekolah rendah (6 hingga 12 tahun) berada dalam keadaan statik terlalu lama adalah tindakan yang bertentangan dengan fitrah fisiologi mereka. Di sebalik tubuh yang kaku, otak mereka sedang bergelut hebat; tenaganya habis dikerah bukan untuk berfikir, tetapi untuk melawan desakan biologi badan yang mahu bergerak!

Jeritan saraf yang terpenjara: Biomekanik tubuh statik 

Fasa usia 5 hingga 12 tahun merupakan tempoh kritikal pertumbuhan fizikal. Walaupun murid berusia 10 hingga 12 tahun dilihat lebih mampu mengawal diri untuk duduk statik, sistem muskuloskeletal mereka sebenarnya sedang melalui perubahan pesat yang menjadikan postur duduk tidak ergonomik sangat berisiko.

Memaksa mereka, daripada anak prasekolah yang sangat dinamik sehinggalah kepada murid yang sedang melalui lonjakan tumbesaran (growth spurt) untuk duduk lama di kerusi yang tidak menyokong anatomi tubuh, hanya mengundang tekanan mekanikal pada pinggul, lutut dan tulang belakang yang boleh “mengunci” postur mereka ke arah masalah jangka panjang.

Lebih kritikal, sistem saraf manusia mempunyai deria proprioception, radar dalaman untuk mengesan posisi tubuh melalui reseptor di sendi dan otot. Apabila anak dipaksa kaku, reseptor ini “tertidur” akibat ketiadaan stimulasi. Akibatnya, otak terpaksa menggunakan tenaga mental yang besar semata-mata untuk mengawal otot agar kekal statik.

Sisa tenaga yang sepatutnya digunakan untuk menyerap ilmu akhirnya “hangus” begitu sahaja, meninggalkan minda yang kosong dan kelesuan kognitif yang kronik. Kesannya? Anak bukan sahaja cepat mengantuk, malah mereka akan mudah merintih bosan kerana otak mereka sedang “kebuluran” stimulasi deria.

Kamus CELOTEH: Bahasa sebenar anak 

Jangan tersilap menilai “protes fizikal” mereka sebagai kedegilan. Fahami isyarat biologi ini:

  • Melorot ke bawah meja: Mechanical stress pada tulang belakang sudah mencapai tahap maksimum; badan sedang mencari keadilan postur secara semula jadi.
  • Kerap minta ke tandas: Otak sedang “kebuluran” stimulasi; tandas adalah “tiket” untuk mengepam semula oksigen ke otak (brain break).
  • Goyang kaki/ketuk pensel: Pergerakan mikro adalah “enjin” kecil untuk membantu sistem saraf mereka kekal fokus dan terjaga.

 

Saranan kepada ibu bapa 

Sebagai persediaan, ibu bapa boleh menyokong fitrah fizikal anak di rumah melalui:

  1. Aktiviti Fizikal: Galakkan anak bermain di luar sekurang-kurangnya 1–2 jam sehari. Aktiviti memanjat, berlari dan melompat bukan sahaja mengeluarkan tenaga, malah merangsang pertumbuhan badan dan kecergasan otak.
  2. Sokongan Kokurikulum: Berikan galakan penuh kepada aktiviti sukan sekolah. Aktiviti luar bilik darjah adalah elemen kritikal untuk pembentukan kanak-kanak yang holistik.
  3. Hadkan “Screen Time”: Pastikan penggunaan telefon atau TV tidak melebihi 2 jam sehari bagi mengelakkan ketagihan yang membantutkan daya kreativiti.
  4. Nasihat Pakar: Jika anak mempunyai masalah tumpuan yang melampau sehingga mengganggu fungsi harian, dapatkan nasihat doktor bagi mengenal pasti punca, termasuk kemungkinan gangguan neurokognitif seperti ADHD, agar intervensi yang tepat dapat diberikan.

 

Sentuhan nabawi dan fitrah insani 

Rasulullah SAW tidak pernah memenjarakan fitrah kanak-kanak. Baginda meraikan fitrah mereka yang sentiasa mahu bergerak. Dalam sebuah riwayat masyhur (HR An-Nasa’i), Rasulullah SAW membiarkan cucu Baginda, Hasan atau Husain, memanjat belakang Baginda ketika sedang sujud, sehinggakan Baginda memanjangkan sujudnya demi menghormati “ruang pergerakan” anak kecil itu. 

Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddin menegaskan: “Memaksa anak duduk diam dan melarangnya bermain hanya akan mematikan hatinya dan merosakkan kecerdasannya.”

Kesimpulan 

Hakikatnya, memaksa anak duduk diam kaku bukanlah kunci untuk mereka belajar. Sebaliknya, kita sedang menutup peluang mereka untuk fokus sepenuhnya. Jika sistem yang kaku ini terus kita amalkan, adakah kita sebenarnya sedang mengehadkan ruang anak-anak untuk berkembang dengan lebih cerdas?

Nantikan Artikel 10, penutup kembara Siri CELOTEH kita. Kita akan mula membongkar “sumpahan” sejarah di sebalik reka bentuk bilik darjah lama, serta melihat bagaimana sains neurobiologi moden dan asakan ekonomi digital global menuntut kita untuk merombak segera acuan usang ini demi masa depan anak-anak.

Dr Farin Masra
Pensyarah Perubatan Kanan dan Pakar Pediatrik (Reumatologi Pediatrik), UKM &
Ahli Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Malaysia

Dr Safiya Amaran
Pakar Perubatan Kesihatan Awam &
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak
Wanita IKRAM Malaysia

Nota: Artikel ini ialah artikel kesembilan daripada Siri CELOTEH oleh Wanita IKRAM Malaysia.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia